Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

PERINGATAN DALAM DUKACITA


Allah itu Maha Besar. Syukur rasanya apabila sehingga ke saat ini, saya masih dapat berdiri, berjalan, melakukan tugas harian seperti biasa dan masih segar ingatan-ingatan semalam. Bermain dengan anak-anak, bermanja dengan si isteri dan dapat pula keluar dengan keluarga tersayang. Ya Allah, apakah yang Kau mahukan dari segala kesenangan ini Ya Allah? Saya faham dan saya sedar, saya tahu dan saya ingat, inilah pemberian yang Allah tidak pernah berhenti memberi kepada setiap makhluk-Nya, namun setiap nikmat yang datang, yang akan saya kembalikan kepada Al-Khaliq adalah dosa.

Pada tanggal 18 September yang lalu, saya bersama isteri dan beberapa orang ahli keluarga yang lain mendapat jemputan kenduri kahwin di Gemas. Perjalanan yang panjang itu membuat diri saya penat namun rasa berbaloi, dapat bersua dengan sanak saudara jauh dan dekat. Tika dalam perjalanan pulang saya, kami berhenti singgah di Rembau. Suasana sibuk bersiap dan bersalaman untuk kami berangkat pulang ke Putrajaya.

“Kring, kring...”, telefon isteri saya berbunyi. Lalu diangkatnya. “Hello, assalamualaikum”, dia memulakan bicara. Kami mula bergerak untuk keluar dari rumah tersebut. “Hah, macamana boleh jadi macam tu?! Astaghfirullahal’azim”, terdengar isteri saya dengan suara terkejut dan cemas. “Kenapa?”, tanya saya kebingungan. “Hafizi jatuh dalam kolam ikan rumah mak, lemas, Izan bagitau”, jawab isteri saya. Tersentap darah naik terus ke kepala, Ya Allah, apakah ujian mu ini? Berdebar rasa jantung, timbul rasa risau dan pelbagai perkara yang difikir. Terbayang dalam lubuk fikiran saya wajah anak kecil ini bertatih berjalan.

“Dah besar ke budaknya?” tanya Mak Andak Azizah. “Kecik lagi, baru setahun 3 bulan”, jawab isteri saya. Saya membayangkan, dalam keadaan cemas saya dan isteri, bagaimanalah keadaan Husna dan Edli? Emak dan Ayah kandungnya sendiri? Ya Allah, betapa hebat ujian yang Engkau timpakan kepada keluarga mereka. Tentu tinggi kasih sayang Mu terhadap mereka sehingga ujian nyawa yang Kau berikan kepada mereka.

Semalam (20 September), dalam sibuk saya mempersiapkan kerja yang bertangguh akibat menyambut hari raya berlebihan (sepatutnya 1 Syawal aje), hadir lagi berita yang mendebarkan apabila adik ipar saya yang sarat mengandung telah dimasukkan ke hospital dan dijangka akan melahirkan anak. Ya Allah, ini ujian besar untuknya. Anak pertama, bukan senang orang kata. Saya, belum ada pengalaman bahkan tidak akan ada pengalaman melaluinya sendiri. Bertarung nyawa untuk satu nyawa yang lain. Sampai sahaja berita kepada ibu mertua saya, sibuklah dia mengajak ke hospital untuk temankan anaknya. Saya bersedia, “Jomlah bu, boleh je...”, jawab saya selamba.

“Toing...”, bunyi mesej pesanan ringkas telefon bimbit sayaberbunyi. “Salam, saudara Engku Azri telah kembali ke ramatullah pada jam 11.15 pagi tadi, Al-Fatihah...”, tersentak dan tergamam saya sebentar. Ya Allah betul ke apa yang saya baca? Saya tatap sekali lagi dan saya pun mula membalas, “siapa ni?”. “Anwar bang, betul, abang boleh call hp dia, adik dia pegang, dia kebumi kat Terengganu”, balas pesanan itu tadi. Ya Allah, bertimpa-timpa peringatan Allah kepada saya. Apa persiapan saya? Saya tidak dapat cara lain melainkan sebarkan berita ini kepada orang lain. Macam berita Hafizi juga, saya hantarkan pesanan kepada seramai yang mungkin, harapan saya agar ia dapat melegakan perasaan Husna dan Edli, dan pada masa yang sama, ramai yang akan mendoakan aruah Abang Azri.

Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Perginya abang Azri, pada hari yang sama Allah lahirkan Nayla anak Izan yang juga anak buah saya. Ya Allah Yang Maha Agung, kau buktikan kuasa Mu dengan pelbagai perkara dihadapan mata. Tetapi mengapa saya masih selalu lupa dan alpa? Bagaimana kalau saya yang menjadi tugasan seterusnya Izrail? Setiap kesakitan, kematian, pasti ada yang terbaik yang telah Allah sediakan. Engku Azri meninggalkan isteri dan anak-anaknya pada usia yang baru mencecah 38 atau 39 tahun. Subhanallah. Ujian ini terlalu berat untuk sesiapa pun. Tetapi siapa yang dapat menghalang? Siapa yang boleh hentikan? Tiada siapa, bahkan kita tidak akan mampu merancang untuk menjauhkan diri dari kematian dan kesakitan. Tidak upaya.

Pengajaran yang paling besar buat saya adalah, Allah telah menunjukkan sesuatu padaku. Perkara yang kita fikirkan ya, boleh, ok tetapi Allah boleh pindahkan sekelip mata. Kejadian Hafizi, perginya Abang Azri ke rahmat Allah. Tiada siapa yang dapat fikirkan ia akan berlaku. Pada hari yang sama, saya diberikan makluman bahawa 2 harapan pendapatan saya Allah sekat, Allah tidak lorongkan buat saya. Mungkin sebab saya lupa dan saya tidak berdoa dan bersyukur. Bila bercakap meninggi diri dan bila berbuat sesuatu dengan niat bukan kerana Mu Ya Allah.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; “Allah s.w.t. berfirman, ‘Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku.’” (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksud hadis riwayat Muslim; “Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah.” Seorang hamba yang bersangka baik dengan Allah;

1. Apabila melakukan sebarang ibadah, dia bersangka baik bahawa Allah kan menerima ibadahnya itu dan membalas dengan sebaik-baik ganjaran pahala.
2. Apabila berdoa dia tahu bahawa Allah akan memakbulkan doanya.
3. Apabila dia berdosa, segera bertaubat dan bersangka baik bahawa Allah pasti menerima taubatnya dan mengampunkan dosanya.
4. Apabila ditimpa musibah, dia akan bersangka baik bahawa di sebalik ujian itu ada hikmahnya.

Apa yang berlaku dalam hidup saya adalah takdir Allah s.w.t. yang tidak boleh diubah. Namun, ambillah iktibar. Kematian, kemalangan dan kesakitan ada di mana-mana. Ia akan menjauh dari kita hanya dengan izin dari-Nya dan ia datang serta menyerang kita juga adalah dengan izin-Nya. Janganlah bersangka bahawa jika tidak kepada kita, maka kita dikasihi-Nya sedangkan Allah memberikan ujian itu bersebab. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Tidak ada satu musibah kesusahan pun yang menimpa seorang Muslim melainkan Allah s.w.t. akan mengampunkan dosanya disebabkan musibah itu, termasuklah sekadar duri yang dipijaknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Doakanlah keselamatan Hafizi, kesihatan Izan dan Nayla serta kesejahteraan keluarga Abang Azri. Hadiahkan al-fatihah untuk mereka, TUNE-lah diri kita.




Selasa, 21 September 2010
Rumah PKNS, Kuala Selangor
10.29 pagi

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang