Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

KENALILAH DIRIMU WAHAI PEMUDA

Bagaimana agaknya dapat kita mengenali diri kita? Berabad dahulu, Aristotle dan Socrates telah mencanangkan tema ini untuk diperbincangkan tanpa ada sebarang hujah atau panduan yang tepat dan berkesan. Sehinggakan akhirnya, beliau sendiri mati kerana meminum racun. Siapa kita agaknya? Descartes ada menyebut bahawa, "Aku berfikir sebab itulah aku ada". Nah, mana mungkin kita hanya boleh menjalani kehidupan dengan hanya kuasa fikir sahaja. Ia amat tergantung dan tidak memberikan apa-apa makna. Boleh jadi, ramailah manusia yang tidak hidup atau wujud di dunia ini kerana semakin ramai manusia yang tidak boleh berfikir.

Inilah kehidupan manusia hari ini. Kehidupan yang ditonton oleh nafsu dan akal semata-mata. Menjadikan diri mereka sesat dan jiwa mereka sakit berhadapan dengan pelbagai isu kehidupan. Ahli falsafah Jerman, Nietzsche ada melafazkan, "Beriman hatiku kepada Tuhan, kufur otakku terhadapnya". Inilah suasana yang dihadapi manusia pada hari ini. Mereka terus mencari kebenaran tetapi tidak pada tempatnya. Mereka mahukan kesejahteraan, tetapi pengorbanan yang dibuat tidak menjanjikan apa yang dimahukan mereka.

Apatah lagi di zaman serba canggih dan moden ini, era teknologi dan globalisasi ini, pemikiran-pemikiran golongan materialis telah mula menular dan melahirkan golongan-golongan Hegel, Darwin dan Karl Marx yang baru. Lebih maju dan pemikiran yang lebih jauh kehadapan. Apa yang utama buat mereka dalam kehidupan adalah kekayaan dan kebendaan semata-mata. Pada mereka, manusia ini tidak ubah seperti binatang juga, yang ditugaskan untuk mencari apa yang dirasakan perlu untuk mereka. Bukankah itu amat memalukan? Sebagai manusia yang dianugerahkan akal dan diangkat darjat mereka disamakan dengan haiwan?

Sedar atau tidak, pemikiran ini kembali bangkit dan semakin menguasai dunia. Pemuda hari ini telah dijauhkan jiwa dan pemikiran mereka dari fikir agama. Mereka lebih mementingkan diri sendiri serta keseronokan mereka berbanding semangat bakti dan keupayaan memimpin diri ke arah kejayaan yang hakiki. Bagaimana ini berlaku? Sejak berabad lamanya, usaha-usaha memusnahkan generasi muda telah dibentuk dan dijalankan sehingga merosakkan pegangan, fahaman dan budaya kehidupan mereka. Akhirnya kita dapat lihat, keruntuhan moral dan apa sahaja gejala yang berlaku hari ini, berpunca dari lemahnya pegangan hidup dalam beragama mereka.

Inilah persoalan yang perlu dirungkai oleh pemuda kita hari ini. Siapa kita sebenarnya? Dari mana kita datang? Mengapa aku datang? Dan ke mana kita akan pergi selepas ini? Usah angkuh dan sombong kepada Allah s.w.t kerana kita datang dari-NYA dan kita pasti akan kembali kepada-NYA.

Firman Allah s.w.t. di dalam sural Al-Mukminuun ayat 12 hingga 14 yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; Kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang. Kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta."

Hal demikian menunjukan bahawa, hanya Allah yang berhak menjelaskan tentang hal kejadian manusia itu. Ini kerana DIAlah yang menciptakan manusia dan DIAlah yang Maha Berkuasa. Suasana kelahiran manusia ke muka bumi ini telah Allah jelaskan dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur." (An-Nahl 16: 78)

Tentang pertanyaan manusia hendak ke mana Allah jelaskan dengan firman-Nya yang bermaksud:

"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah 2: 156)

"Katakanlah: "(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepada-Nya) Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia-lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya." (Al-An'am 6: 164)

Persiapan sebagai pemuda Islam harus ditunjangi dengan mengenali diri sendiri. Tahu dari mana kita datang, mengapa kita di sini dan ke mana halatuju kehidupan selepas ini. Tujuan kehidupan ini telah dijelaskan di dalam surah al-Dzariyat ayat 56. Penjelasan tentang tugasan sebagai hamba kepada Allah s.w.t. Menjadi hamba yang terbaik disisi Allah merupakan keutamaan dalam perjuangan kehidupan ini. Oleh yang demikian, para pemuda harus diperbaiki pegangan agama mereka dengan kembali mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan memperkukuhkan amal islami mereka dari sudut rukun Islam mereka, diperkuatkan keyakinan dari sudut iman mereka serta ditambahkan ilmu-ilmu yang berkaitan. Rentetan itu, mereka perlu diperkenalkan dengan kerja-kerja kebaktian, roh jihad serta berdakwah kepada masyarakat yang akhirnya akan melahirkan tokoh kepimpinan yang mampan dan diyakini keupayaan mereka.

Marilah kita sama-sama berdoa, memohon ampun kepada Allah s.w.t. atas setiap kesilapan yang kita lakukan dan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah s.w.t.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang