Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

ISLAMKAN POLITIK ATAU POLITIKKAN ISLAM?

http://drmaza. com/home/ ?p=619

Disiarkan pada May 31, 2009 dalam kategori Politik |

Saya sering bercakap tentang “Islamkan politik, jangan politikkan Islam”. Mungkin seseorang bertanya apakah beza antara kedua ini? Bezanya adalah jika kita berusaha mengislamkan politik kita memastikan tindak tanduk atau gerakerja politik itu tidak bercanggahan dengan Islam. Juga, jika ada pengamalan politik yang belum islamik, kita akan berusaha untuk mengislamisasikanny a. Dalam ertikata lain, Islam adalah panduan sebelum tindakan.

Sementara mempolitikkan Islam adalah menggunakan Islam sebagai modal politik untuk kepentingan kuasa. Maka Islam bukan panduan tetapi sekadar alasan atau ‘cop halal’ yang dibuat untuk menjadikan masyarakat atau pengikut menerima sesuatu tindakan.

Hasilnya, seseorang akan bertindak dalam gerakerja politiknya tanpa terlebih dahulu melihat kepada ajaran Islam, namun apabila ia dipertikaikan, maka pendapat atau nas Islam akan digunakan untuk membela diri. Dalam ertikata lain mengislamkan politik bererti menjadikan Islam sebagai panduan. Sementara mempolitikkan Islam bererti menjadikan Islam sebagai alat atau alasan.

Maka sesiapa yang menjadikan Islam sebagai dasar atau panduan, maka dia akan bersedia menarik balik pandangan atau tindakan sekiranya dia dapati bercanggahan dengan ajaran Islam. Adapun yang menjadikan Islam sebagai alasan dan alat, dia menggunakan Islam bagi menghalalkan tindakan politiknya sekalipun ternyata salah.

Dia bukan hendak mendengar dalil atau hujah syarak yang kukuh untuk diamalkan, sebaliknya dia mencari orang agama atau pendapat yang sanggup menghalalkan tindakannya sekalipun dia tahu itu pendapat yang diberikan untuk menyokongnya itu lemah dan tidak kukuh. Ini sama dengan golongan taksub dan pengikut mazhab fekah secara membuta tuli dengan tidak memperdulikan alasan dan hujah yang kukuh.

Sehingga al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) mengkritik mereka ini dengan katanya:

“Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadith sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Usaha atau sikap, samada mengislamkan politik atau mempolitikkan Islam bukan semestinya berkaitan parti atau kumpulan tetapi lebih kepada sikap individu dalam kebanyakan hal. Jika salah satu sikap itu menjadi aliran utama dalam sesebuah parti atau kumpulan, maka itu mencerminkan kecenderungan mereka yang sebenar. Untuk berpegang dan istiqamah dengan prinsip Islam dalam mengharungi politik hari ini bukanlah mudah.

Namun, itulah yang patut dihayati oleh setiap kita. Dalam sejarah pertembungan Nabi Musa a.s dengan Fira’un, Fir’aun pernah mempertikaikan tindakan Musa a.s. memukul seorang warga Qibti sebelum beliau lari ke Madyan. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya)

“Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: “Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”. Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?” Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang RasulNya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Surah al-Syu‘ara: 16-22).

Inilah rasul, dia mengajar kita prinsip. Dalam suasana yang sengit, Nabi Musa tetap mengakui bahawa tindakannya memukul warga qibti itu satu kesalahan dan bukan tindakan yang berdasarkan petunjuk yang betul. Nabi Musa tidak cuba menghalalkan tindakannya demi kepentingannya, tidak sama sekali! Yang salah tetap salah.

Nabi Musa a.s. menghadapi kuasa politik yang maha besar di zamannya bahkan paling bersejarah dalam tamadun manusia. Lebih besar dari segala perjuangan hari ini. Pun begitu, prinsip tetap prinsip. Baginda bertindak memastikan manusia menurut wahyu, bukan wahyu diputarbelitkan untuk kehendak manusia.

Dalam politik kita, amat sukar kita dapati seseorang mengakui kesilapan tindakan partinya, atau tindakannya. Berbagai alasan akan dicari demi membela dirinya atau puaknya, sekalipun dia sendiri sedar itu merupakan kesilapan atau kesalahan. Ada sanggup tergadai prinsip daripada tergadai kerusi atau jawatannya. Maka jadilah apa yang jadi. Maka kita lihat lahir suasana maki hamun, cerca mencerca dan berbagai tindakan yang kadang kala di luar dari batas kewarasan dan perbincangan yang matang.

Islam bukan terlalu mengongkong politik. Politik satu bidang yang luas yang membabitkan kemaslahatan umat dan rakyat. Politik bukan satu hobi seperti main golf atau bola sepak. Politik mempertaruhkan kemaslahatan manusia. Maka tindakan dalam politik hendaklah tindakan yang membawa kemaslahatan kepada umat dan rakyat. Bukan untuk kepentingan diri dan parti.

Kemudian, perlu kita ingat, bukan semua yang berada di medan jihad itu mesti masuk syurga. Walaupun mungkin tindakannya itu kadang kala menguntungkan umat Islam, namun empunya diri jika tidak betul niat atau tindakan, atau keduanya, maka dia mungkin tidak mendapat balasan yang baik di sisi Allah sekalipun berjuang menggunakan nama Islam. Bahkan dalam hadis ada individu yang kelihatan hebat berjuang, tetapi menjadi ahli neraka.

Kata Abu Hurairah r.a:

“Kami menyertai Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, “dia dalam kalangan ahli neraka”. Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah s.a.w: “Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati”. Jawab baginda: “Ke neraka”. Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, lantas baginda bersabda: “Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasulNya!”. Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan “jiwa yang muslim” dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam masyarakat kita, agama memang menjadi faktor penarik bagi banyak pihak. Justeru, setiap yang berjuang agama atau memperkatakan agama sebagai bahan ucapan dan tindakannya hendak bertanya diri sendiri, apakah dia memang inginkan agama, atau inginkan kuasa dengan nama agama?. Jika dia telah betulkan niatnya, dia hendaklah memastikan tindakan selaras dengan kehendak Islam, bukan menafsirkan Islam agar kelihatan selaras dengan tindakannya. Maka islamkan politik kita, jangan politikkan Islam kita!


p/s

Saya bersetuju benar dengan artikel ini. Ini membuktikan kita sudah pun berada di zaman akhir kehidupan sebelum datangnya hari kiamat. Mereka sudah mula menjual agama mereka sendiri demi kepentingan diri sendiri. Sedarlah para da'i dan pejuang-pejuang Allah, hindarilah diri kita daripada perkara-perkara yang menjual agama demi kepentingan diri kita sendiri. Biarlah Islam yang bercakap untuk kehidupan kita kerana Islam adalah cara hidup yang amat sempurna. Tibalah masanya untuk kita menyatakan kebenaran dan mengelakkan dari menjadi orang-orang yang rugi sebagaimana maksud firman Allah di dalam Surah Al-Asr yang menyatakan, bahawa golongan orang yang tidak merugi adalah mereka yang;

1. beriman kepada Allah (ramai yang mengaku) dan
2. beramal soleh (ramai yang menunjuk-nunjuk) dan
3. nasihat-menasihati kepada kebenaran (ramai tidak berani) dan
4. nasihat-menasihati kepada kesabaran (ramai yang tidak sabar)


TUNE-lah diri kita.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang