Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

FOKUS DALAM ISLAM - Asas Ideologi Islam

Asas terpenting dalam mengenal dan menghayati Islam adalah dengan mengenal Allah sebagai Tuhan Maha Esa, pentadbir sekalian alam. Asas ini terlalu penting dan telah menghasilkan pelbagai bentuk perbincangan, penulisan makalah serta buku dalam usaha untuk memberikan lebih banyak kefahaman kepada seluruh ummat. Terdapat ramai di kalangan manusia yang mendatangkan keraguan terhadap keEsaanya Allah s.w.t. Keraguan mereka seringkali terperangkap di dalam bentuk kajian-kajian sains atau disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan pengalaman. Pemahaman ketuhanan ini juga sering disalahertikan kerana konsep-konsep ketuhanan yang ada pada kepercayaan agama-agama lainnya.

Setiap keluarga ada ketuanya, setiap jabatan ada pengarahnya, setiap organisasi ada pengerusinya, setiap negeri ada MBnya dan setiap Negara ada PMnya. Tidak ada keraguan bagi sesiapa pun, setiap yang terbina di alam ini adalah hasil dari pembinanya. Setiap keindahan yang dapat dilihat pasti ada pencoraknya. Ini semua, tidak akan mampu menyekat perkembangan akal manusia yang pastinya akan mencari dan meneroka pelbagai lagi khazanah keindahan dan inovasi kehidupan sehinggalah mereka menemukan persoalan kejadian malam dan siang, turunnya hujan, dunia yang tiada penghujung, langit yang tidak bertongkat begitu juga gunung-ganang yang menjadi pasak kemenjadian bumi ini.

Boleh kita jelaskan bagaimana segala kehebatan alam ini dibentuk? Boleh kita ceritakan apakah rahsia-rahsia disebalik setiap penciptaan yang ada ini? Kita sama-sama sedar, sebuah keluarga tidak akan dapat diurus dengan baik tanpa ketuanya. Tidak aka nada kerajaan yang dapat dibentuk dan berkembang tanpa ada peranan dari ketua pemerintahnya. Kita sepakat dalam hal ini bahawa, tidak ada perkara yang berlaku hanya dengan sendirinya. Kemudian, bersama kita perhatikan, perjalanan alam semesta ini yang serba-serbi tersusun rapi dan kemas bahkan ia telah berfungsi jutaan tahun lamanya melalui pembuktian penemuan yang pelbagai oleh ahli-ahli sosiologi dan arkeologi. Adakah boleh kita mengatakan bahawa kewujudan fosil, hasil-hasil bumi ini sebagai secara tidak sengaja atau ia telah disusun? Atau adakah boleh kita mengatakan bahawa keberadaan manusia ini adalah kerana tidak disengajakan?

Jika benar kehidupan kita manusia adalah secara tidak sengaja, maka apa sahaja yang telah berlaku atau bakal berlaku ke atas diri kita juga adalah sesuatu yang tidak disengajakan. Persahabatan yang tidak disengajakan, perkahwinan yang tidak disengajakan, persekolahan juga terdedah kepada tidak disengajakan. Jadi, jika semua itu tidak sengaja, apa mendorong kita untuk hidup? Apa lagi yang perlu kita fikirkan kerana hidup ini tidak disengajakan. Kenapa manusia merancang? Kenapa manusia mempunyai cita-cita? Matlamat? Setiap kelompok dari kalangan manusia pasti membuat perancangan. Sudah tentu, hasil dari perancangan tadi menatijahkan keberhasilan yang diharapkan. Melalui perancangan itulah, manusia di nilai keberkesanan kehidupannya, sebaik mana mereka merancang maka akan berhasillah sebagaimana yang mereka rencanakan. Mahu berkahwin dapat berkahwin, mahu belajar dapat belajar, mahu berkawan dapat berkawan dan sebagainya. Mahu itu adalah cita-cita dan kita akan berusaha ke arahnya.

Kita wajib sedar bahawa kita hanyalah unit kecil dalam keseluruhan alam ini. Jika unit yang kecil ini diberikan peranan untuk merancang kehidupan mereka sudah tentulah terdapat kuasa yang merancang perjalanan seluruh alam ini. Sudah tentu terdapat ‘Great Force’ dalam memastikan segalanya teratur. Kuasa itu sudah tentulah kuasa yang Maha Hebat, Maha Kreatif dan kita sebagai Muslim dan Mukmin mengenali Nya sebagai Allah s.w.t.

“Yet man represents only a very small portion of the great universe. And if he can make plans and appreciate the merits of planning, then his own existence and the survival of the universe must also be based on a planned policy. This means that there is a Designing Will behind our material existence, and that there is a Unique Mind in the world to bring thins into being and keep them moving in order.” (Hammudah Abdalati, Islam In Focus)

DIA bukan manusia kerana tiada manusia dapat membuat manusia. DIA bukan binatang juga bukan tumbuh-tumbuhan. Bahkan DIA lah sebab atas setiap kejadian alam ini. DIA bukan patung atau dewa-dewa, DIA bukan bulan atau bintang, kerana DIA tidak sama dengan apa sahaja yang baharu. DIA adalah pencipta semuanya dan DIA lah yang menguruskan semuanya. Sebab itu dapat kita lihat, alam ini mengalami pelbagai perubahan kerana itu adalah bukti bahawa alam ini ada penjaga dan pengurusnya.

“Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. Yang bersifat demikian ialah Allah, Tuhan kamu; yang menciptakan tiap-tiap sesuatu (dari tiada kepada ada); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; maka bagaimana kamu dapat dipalingkan (daripada menyembahnya)? Sebagaimana terpalingnya mereka itu (daripada menyembah Allah), terpaling juga orang-orang yang mengingkari keterangan-keterangan Allah. Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan ia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam. Dia lah yang tetap hidup; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadanya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-Mukmin 40: 61 – 65)

Firman Allah s.w.t. lagi;

“Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur. Dan ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.” (Al-Jaatsiyah 45: 12 – 13)

DIA lah yang Maha Berkuasa dan Pencipta segala apa yang ada. DIA tidak menyerupai apa yang diciptakannya dan kita hanya dapat mengenalinya melalui muhasabah dan penyerahan diri yang sepenuhnya kepada DIA. Manusia haru berpegang kepada keyakinan kewujudannya, barulah kehidupan manusia itu mempunyai halatuju yang sebenar dan hakiki. Melalui keyakinan itulah akan membuka mata hati manusia serta memberikan penjelasan sebenar mengenai DIA. Sudah tentulah ia menatijahkan jalan kehidupan dunia yang terbaik buat yang meyakininya.

Apabila manusia meyakini akan kewujudan dan keEsaan Allah, maka mereka harus tahu nama-nama Allah agar kita semua maklum bahawa pada Nya tiada sebarang kelemahan apatah lagi kecacatan. Lebih jelas lagi, kita harus tahu;

  1. “Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; "Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (Al-Ikhlas 112)
  2. “Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dia lah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; ia menghidupkan dan mematikan; dan ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dia lah yang awal dan yang Akhir; dan yang zahir serta yang batin; dan Dia lah yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Dia lah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas ‘Arasy; ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dia lah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. Dia lah yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam (silih berganti); dan Dia lah Yang Maha mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.” (Al-Hadiid 57: 1 – 6)
  3. “Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan dia; yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan dia; yang menguasai (sekalian alam); yang Maha Suci; yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); yang Maha Melimpahkan Keamanan; yang Maha Pengawal serta Pengawas; yang Maha Kuasa; yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); yang Melengkapi Segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan dengannya. Dia lah Allah, yang menciptakan sekalian makhluk; yang mengadakan (dari tiada kepada ada); yang membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadanya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Hasyr 59: 22 – 24)
  4. “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Ali Imran 3: 31)
  5. “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Huud 11: 6)
  6. “(Oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Faathir 35: 15)
  7. “Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaaq 65: 2 – 3)

Setiap nama-nama itu adalah pencirian kepada Allah s.w.t. Maha Suci Allah, hanya DIA lah yang layak menerima segala puji yang agung. Bahkan di dalam Al-Quran terdapat banyak pencirian Allah s.w.t. sehinggakan tidak terkira. Allah s.w.t. adalah Maha Agung dan Maha Tinggi, tetapi DIA akan menghampiri mereka yang bertaqwa kepada NYA. DIA akan menjawab permintaan mereka. DIA pasti sayangkan mereka yang menyayanginya dan mengampunkan mereka. DIA berikan segala-galanya. Kesejahteraan, keamanan, kekayaan, kefahaman, kejayaan serta keselamatan. Melalui pencirian nama-nama Allah itu kita sedar dan ketahui bahawa DIA mengalu-alukan kita yang inginkan kedamaian, DIA ajarkan segala perbuatan yang baik serta menegah segala yang buruk dan jahat. Segtala pencirian Nya adalah di luar batas pemikiran manusia. Kasih sayang Nya menjadikan kita dapat merasai nikmat kehidupan dan keizinan Nya kita mendapat pemahaman dan melihat perkara yang benar. DIA telah mengutuskan Jibrail menyampaikan wahyu kepada Rasul Nya yang terakhir, Muhammad. Itulah Al-Quran yang dipelihara sehingga ke hari ini.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (An-Nisa’ 4: 48)

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (An-Nisa’ 4: 116)

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.” (Az-Zumar 39: 53 – 54)

Allah tidak memerlukan kita, sebaliknya kitalah yang memerlukan Allah s.w.t.

RUJUKAN BUKU - ISLAM IN FOCUS oleh Hammudah Abdalati

8 Disember 2016
Usrah Mingguan Cuti Sekolah, ABIM-PEPIAS Kuala Selangor
AYG Tanjong Karang

Penulis merupakan seorang fasilitator sepenuh masa bersama IQ Class Management. Awal pendidikan beliau di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Air Panas Setapak dan kemudiannya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) - yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur. Tamat pengajian sarjana muda beliau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan mengambil peluang menambah pengetahuan di dalam ilmu asas kaunseling di KUISCell dalam Sijil Asas Kaunseling 1. Aktif di dalam NGO di Malaysia seperti PEPIAS, ABIM, BBM dan YATIM dan kini beliau masih aktif menjadi fasilitator, melatih fasilitator, menganjurkan program fasilitator serta memberikan ceramah melalui syarikat beliau.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang