Kita telah pun memasuki pertengahan bulan Syawal. Bulan yang dimulai dengan perayaan kemenangan umat Islam. Kemenanngan apa? Sebahagian kita berasa, nikmat yang ditahan telah dikembalikan. Sebahagian berasa kemenangan itu adalah kemenangan menahan lapar dan dahaga. Biar apa pun maksud peribadatan kita berpuasa di bulan Ramadan, yang pastinya ia adalah untuk Allah s.w.t dan kepada DIAlah kita harapkan amal itu diterima sebagai sebahagian amalan orang-orang yang beriman. Firman Allah s.w.t di dalam Kitab Allah yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar." (At-Taubah 9: 111)
DIA telah membuat perjanjian jual beli dengan kita hamba-hamba Nya yang serba dhaif serta kekurangan. Jual beli yang langsung tidak membawa keuntungan buat DIA apatah lagi tidak akan mampu merugikan DIA jika kita berpaling atau tidak mahu meneruskan perjanjian atau kita tidak amanah dan pecah amanah kepada DIA dalam soal jual beli ini. Kenapa DIA ingin berjual beli dengan kita? Jawapannya pasti, kerana DIA Tuhan Yang Maha Kuasa, Yang Maha Memiliki segala apa yang ada di dunia dan di akhirat. DIA tidak akan rugi bahkan dengan kasih sayang Nya, DIA terus memberikan keuntungan untuk kita. Tidakkah mahu kita berurusan dengan Nya?
Ramadan merupakan medan kita yang baru berlalu memulakan langkah untuk 11 bulan yang mendatang. Kita menyerahkan jiwa kita kepada Nya lebih pada bulan Ramadan yang lalu, kita serahkan lebih harta kita dan kita berjihad sekuat-kuatnya untuk mempertahankan keimanan, mempertahankan puasa dan berusaha untuk mendapat syurga Allah s.w.t. Allah berkata,
"...Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya
itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah
kemenangan yang besar." (At-Taubah 9: 111)
Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud;
"(Mereka itu ialah) orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)." (At-Taubah 9: 112)
Maka wajarlah untuk kita mengekalkan kesinambungan Ramadan itu dengan sifat-sifat yang telah Allah senaraikan, yang telah kita usaha untuk bangunkan di dalam diri kita sepanjang bulan Ramadan. Sifat 'at-taibun' yakni sifat mereka yang sentiasa memohon ampun dan bertaubat atas kesalahannya di dunia. Sifat 'al-'abidun' iaitu orang yang menjadikan dirinya hamba kepada Allah dan sentiasa beribadah kerana dan kepada Allah s.w.t dalam setiap inci modal kehidupannya.
Sifat 'al-hamidun'. Sifat yang terciri pada akhlak kita seorang yang sentiasa memuji-muji dan mengagungkan kebesaran Allah s.w.t melalui apa yang diperlihatkan melalui deria mata, yang diperdengarkan melalui deria telinga dan dirasakan melalui deria rasa kita. Sifat 'as-sa ihun' yang bermaksud pengembara. Sifat yang menggalakkan kita memcirikan diri dengan sifat 'al-hamidun'. Mengembara bukan semestinya bermaksud berjalan jauh. Tetapi persiapan harian kita dengan kehidupan harian kita itu juga, sifatnya haruslah seperti pengembara. Membuat persiapan, mengambil pengjaran, iktibar dan hikmah kejadian.
Moga menjadilah kita manusia yang bersifat juga dengan sifat 'as-saajidun war raki'uun'. Sifat yang pada dirinya bukan sahaja patuh sebagai hamba, bahkan mereka amat berhati-hati dan amat teliti dalam melaksanakan tugas sebagai hamb kepada Allah s.w.t. Mereka yang sentiasa memperbaiki hubungan dengan Allah s.w.t. Sifat orang-orang yang sentiasa mengajak kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran serta sifat manusia yang menjaga batas-batas hukum Allah. Inilah sifat jelas para da'i. Menganjurkan perbuatan yang baik, mencegah niat perbuatan yang salah, menegur perbuatan yang salah, berdiri teguh mempertahankan batas-batas hukum Allah jika ia dikhianati atau dilanggari, dan istiqamah menganjur dan melakukan batas-batas hukum Allah itu jika ia ditinggalkan atau tidak diketahui. Marilah teman-teman semua, sebagai usaha mengekalkan kesinambungan Ramadan, kita cirikan diri kita dengan kecirian keimanan ini, semoga Allah tempatkan kita bersama mereka yang beriman di syurga Nya kelak.
Comments