Saya memohon berjuta kemaafan kerana tidak berupaya menulis buat beberapa ketika memandangkan menghadapi beberapa masalah kesihatan yang agak panjang tempohnya dan diselang-seli dengan kesibukan kerja dan beberapa tugasan dan amanah yang perlu dilaksanakan. Namun perjalanan kehidupan perlu diteruskan kerana masa terus berlalu tanpa dia memandang ke belakang atau menantikan kita untuk bersamanya.
Teringat saya pada 22 Jun (2013) yang lalu. saya berpeluang memberikan tazkirah Asar bersempena sambutan Jubli Perak 24 Tahun SMAKL-SMKAKL. saya memetik firman Allah s.w.t yang bermaksud;
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran."
Besarnya kuasa Allah s.w.t menggambarkan kerdilnya kita dengan pula masa ini dipinjamkan untuk kita dan bakal disoal tentang pinjaman ini yang merupakan modal kehidupan di atas dunia. Pengalaman kembali ke SMAKL ini juga mengembalikan pelbagai nostalgia pahit manis yang di dalam hati saya ini seolah-olah tidak luput masih segar dan masih mahu mengingatinya walaupun pahit.
Lebih membanggakan saya lagi, dengan kuasa Allah s.w.t, telah meletakkan saya sebagai panelis forum pertama Alumni SMAKL pada hari kejadian bersama Kak Azah sebagai moderator, Dr. Riza (generasi pertama) dan (Cikgu) Dr. Mazalan. Saya sempat berkongsi pengalaman, cerita, perasaan, rasa bangga serta pesanan-pesanan yang sempat dilintaskan dibibir untuk dijadikan pesanan serta pengharapan kepada generasi-generasi baru di SMKAKL.
Saya bangga kerana inilah yang saya usahakan dalam kehidupan seharian ini, untuk sentiasa menjadi orang yang bermanfaat di mana sahaja saya berada. Semoga memori indah ini menjadi kenangan terbaik adik-adik di SMKAKL dan sentiasa berusaha untuk lahir dan berjaya sebagai Mukmin yang memberi manfaat dan berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Comments