MUHASABAH DIRI

Dunia semakin pantas berputar, berjalan dan bergerak. Kemudahan semakin bertambah seiring dengan hiburan dan perkara yang melalaikan. Apabila KAMZ melangkah masuk ke satu 'cyber cafe' berhampiran rumah KAMZ, dapat dirasakan kehangatan hiburan dalam kehidupan anak-anak muda hari ini yang pada hemat KAMZ sangat tidak bertepatan dengan apa yang bermain difikiran dan dalam hati ini.



Anak muda ini (wanita) tidak perasaan malu dalam diri, bercakap dengan lantang, berpakaian tidak cukup kain, bersolek keterlaluan dan pelbagai cerita yang keluar dari mulutnya, tanpa ada rasa segan menceritakan situasinya bersama pasangannya. Jauh dilubuk hati KAMZ, bertanya bersendirian, mengapa mereka begini?
Mungkinkah mereka menghadapi masalah dalam keluarga sebagaimana kebiasaan yang KAMZ jumpa dalam program-program sekolah? Apa peranan yang KAMZ boleh mainkan? Rasa benci itu memang membakar, tetapi bukan pada orangnya, kepada sikapnya. Bila KAMZ ke kaunter untuk membayar, disambut lemah lembut dan sopan. Bahkan, ada seorang dari kawannya (lelaki) sempat membuka ceramah Ustaz Azhar Idrus. Mereka gembira dan ambil kesempatan sebentar untuk mendengar. SubhanAllah. KAMZ fikir, di dalam hati mereka ada sedikit cahaya, tetapi ditutupi oleh keladak hitam yang belum dibersihkan.

KAMZ sukanya membandingkan diri sendiri dengan mereka. Tahu hukum, belajar tinggi, pengalaman banyak, keluarga baik-baik, baca Al-Quran, hadis tetapi kesan dalam hati seperti sama sahaja dengan mereka. Mereka mungkin tidak tahu hukum, belajar tidak tinggi, pengalaman tidak banyak, keluarga mungkin tidak begitu baik, tak baca Al-Quran, hadis, tidak sampai ilmu itu pada mereka. Bahkan bila dibacakan ayat-ayat Allah ini, kita tujukan pula kepada mereka dan mengatakan mereka begitu dan begini seolah-olah merekalah yang melakukan segala kesalahan dan kemungkaran, astaghfirullah hal azim.

'...Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.' (Al-Baqarah 2:231)

Mudah-mudahan KAMZ dan kita semua tidak termasuk dalam golongan yang menjadikan ayat-ayat hukum ini sebagai ejekan. Permainan dibibir-bibir kita ini dengan ayat-ayat Allah. Nauzubillah hi min zalik.

'...Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.' (Al-Baqarah 2:232)

No comments: