Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

PERTEMUAN ATAS DASAR IMAN DAN ISLAM

Permulaan perjalanan usaha dakwah yang dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w telah secara tidak langsung menceritakan babak-babak pengorbanan yang dilakukan oleh mereka yang berada hampir dengan Baginda. Kisah perjuangan Baginda bukanlah sekadar renungan tentang mukjizat dan kekuasaan Allah s.w.t., tetapi Allah telah mengajar kita bahawa, bersama Baginda ada mereka yang turut sama meletakkan jiwa dan raga mereka demi agama Allah serta Rasul utusan-NYA.

Sejarah pengorbanan ini seharusnya dijadikan iktibar dan contoh ikutan buat umat manusia pada hari ini. Bukan satu nama sahaja yang pernah kita dengari bersama dakwah Rasulullah, bahkan puluhan mungkin ratusan dari mereka yang boleh kita contohi dan ikuti pada hari ini. Sejarah dilakar dengan kisah penurunan wahyu dan kita sama-sama telah saksikan dan diberikan pendidikan bagaimana Baginda menerima wahyu dan diperintahkan untuk menyampaikannya. Namun adakah pengajarannya dekat dengan kita atau sekadar perbincangan dan menjadikannya sebagai satu kisah yang menyentuh hati?

Bak kata-kata yang pernah diungkapkan oleh teman seperjuangan, mereka sudah lama meninggalkan kita, yang harus kita fikirkan adalah diri kita. Bagaimana dengan diri kita? Bersediakah bertemu dengan Allah? Banyakkah bekal kita? Banyakkah persiapan kita? Layakkah kita berada disisi Rasulullah s.a.w.?

Teman Seperjuangan Sebagai Pemangkin Keyakinan Diri

Apabila sampai seruan untuk menyebarkan Islam, maka Baginda sebelumnya telah mempersiapkan rakan-rakan, para sahabat untuk bersama dengannya. Adakah Baginda tiada upaya? Atau adakah Allah tidak upaya membantu Baginda? Itulah pemikiran dangkal yang mungkin kita sendiri terfikir, sedangkan Allah mengajar kita sebagai manusia melalui sejarah ini untuk menunjukkan betapa pentingnya bekerja, hidup dan bersama dengan kelompok manusia atau jamaah. Melalui mereka ini, sedikit sebanyak telah menambah keyakinan Baginda untuk berdakwah dan berhadapan dengan ancaman musyrikin Quraisy pada ketika itu.

Begitulah jua dengan gerakan Islam yang ada pada hari ini. Ia harus dibentuk dengan pemikiran hidup berjamaah dan membangun diri bersama dalam mendatangkan rasa takut kepada Allah s.w.t.. Antara agenda penting dalam gerakan Islam yang harus menjadi disiplin para ahlinya adalah usrah. Usrah merupakan menjadi agenda penting dalam memastikan kita sebagai kelompok manusia yang mengakui sebagai da’i dan juga sebagai penggerak agenda dakwah. Menyertai usrah, bukanlah sesuatu yang bersifat terlalu ilmiah tetapi ia lebih menjurus kepada pembinaan hubungan kasih sayang, saling mempercayai, sifat saling membantu dan kenal antara satu sama lain serta mengambil berat.

Bermula dari suasana mahabbah dan ukhuwah itulah, maka akan lahir insan-insan yang berkaliber, berketrampilan serta sentiasa komited dengan tugas dakwah dan agama mereka. Ini kerana, dari suasana kelompok yang kecil, mementingkan hubungan silaturrahim serta budaya hormat menghormati antara satu sama lain, akan mampu memupuk semangat setiakawan serta daya kepemimpinan diri yang tinggi. Bahkan suasana ini diperkuatkan lagi dengan perhubungan yang bertunjangkan Iman dan Islam. Asas yang dimulai dengan Ta'aruf, Tafahum dan Takaful itu sememangnya akan melahirkan kelompok manusia yang hidup benar perjuangan mereka untuk agama dan bangsa.

Usrah Meninggalkan Kesan Pada Individu Muslim

Pembinaan usrah ini harus tepat dan jitu matlamat perjalanannya. Usrah yang terbaik harus memiliki keutamaan dalam setiap aktiviti dan perbincangannya. Usrah harus ditunjangi dengan keikhlasan untuk bersama-sama. Senang bersama, susah saling membantu pula. Oleh yang demikian, untuk menjadikan usrah itu berkesan untuk ahlinya, setiap usrah itu haruslah ditunjangi dengan ‘aqidah Islam yang jelas. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 160 yang bermaksud;

“Jika Allah menolong kamu maka tidaklah ada orang yang dapat mengalahkan kamu.”

Apabila keimanan itu merupakan tiket pertama untuk bersama menggerakkan usrah itu, maka secara tepatnya, pengamalan serta tindak-tanduknya juga haruslah menurut cara hidup Islam (Ad-Din) sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Maidah ayat 15 hingga 16 yang bermaksud;

“Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkan, dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan.”

Begitulah rujukan utama perjalanan seorang Muslim dan Mukmin tidak lain tidak bukan adalah Al-Quranul Karim. Sebagaimana kata Aisyah, bahawasanya Muhammad itu adalah Al-Quran yang bergerak. Maka, cara hidup yang terbaik, paling cocok adalah cara hidup Islam yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Selain itu, usrah juga memainkan peranan dalam mengikat silaturrahim yang terjalin atas dasar Iman dan Islam tadi. Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran dari surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud;

“Sesungguhnya, orang-orang Mukmin itu bersaudara.”

Bina Dan Perbaiki Diri Melalui Usrah

Sebagai ahli dalam gerakan Islam, kita harus sentiasa berhasrat untuk memperbaiki apa sahaja kekurangan pada diri kita. Oleh kerana itu, peringatan dan nasihat yang diberikan di dalam usrah haruslah diambil iktibar dan pengajaran kerana setiap kita dianugerahkan pemahaman yang berbeza. Jadikanlah usrah ini untuk kita bersama memperbesarkan kepercayaan dan keyakinan kita terhadap apa yang telah Allah sediakan untuk kita. Firman Allah s.w.t. dari surah At-Taubah ayat 120 yang bermaksud;

“Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kesusahan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah dan tidak (pula) memijak satu tempat yang membangkitkan kemarahan orang-orang kafir dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan ditulis bagi mereka dengan yang demikian itu satu amal soleh, sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik.”

Semoga dengan keterlibatan kita bersama usrah yang dibangunkan itu, akan meningkatkan keyakinan kita bahawa kita haruslah menjadi sebahagian daripada usaha perkembangan Islam itu sendiri kerana, bukan Allah yang memerlukan kita, tetapi kita yang perlu mencari dan mendapatkan kasih sayang Allah. Allah telah berikan kita nikmat Islam dan nikmat Iman, maka bersyukurlah dan sebarkanlah berita gembira ini kepada mereka masih berada di dalam kealpaan.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang