PENUHI JEMPUTAN WALAU PERIT ANAK TEKAK


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar! Itu yang mampu terungkapkan apabila KAMZ berjaya mengharungi 2 hari perjalanan program panjang dalam keadaan batuk teruk dan hilang suara. Alhamdulillah, segalanya Allah s.w.t. permudahkan dan perjalanan seolah-olah diberikan keringanan dan kemudahan. Cuma, tidaklah KAMZ lupa, bahawa kemudahan bukan bermakna selamat, tetapi perlu lebih berhati-hati dan berjaga-jaga. Takut juga bila terleka, kita tidak amanah pula dengan tugas yang diberi.

Bermula keperitan apabila KAMZ terpaksa memenuhi undangan program yang telah dipersetujui agak lama juga di SMK Seri Kundang. KAMZ pergi dengan harapan dapat menyampaikan pesan dengan yang terbaik. KAMZ berdoa pada Allah di awal pagi sebelum bergerak, biarlah usaha ini jihad untuk KAMZ demi untuk menyampaikan perkara yang baik kepada pelajar-pelajar.

Tiba di sana, KAMZ rasa, Allah bagi rehat sehingga hampir 1 jam kerana pelajar terpaksa masuk lewat ke dewan. Alhamdulillah, dapatlah ditenangkan hati dan berehat sebentar walaupun terpaksa singkatkan perbincangan memandangkan ia adalah hari Jumaat. Memang perit, bercakap dengan nada suara tak keluar. Sekali lagi KAMZ bersyukur kerana 2 hari yang perit ini ditemani mereka yang 'kuat' Zaki dan Jo. Ia lebih memudahkan apabila Jo dah boleh menjadi tenaga pengajar lagu 'Lai Chi Kang'.

Bila balik dari SMK Seri Kundang, KAMZ rasa badan sejuk dan suara langsung takde dan batuk teruk. Sehinggalah isteri tercinta menghidangkan air Habbatussauda' panas dan malam tu KAMZ tidur lewat pula kerana beberapa tanggungjawab belum diselesaikan. Alhamdulillah bila bangun pada paginya, KAMZ diberikan sedikit rasa lega dan suara juga agak baik berbanding hari sebelumnya. Alhamdulillah, semakin baik dan KAMZ semakin yakin.

Setibanya di sekolah, rupanya pembesar suara sekolah rosak dan KAMZ perlu bercakap tanpa 'mike' kepada 80 orang peserta di SK Taman Klang Jaya. Kasihan guru-guru bertungkus-lumus mencari penyelesaian sebab kesiankan KAMZ agaknya yang suara dahserak-serak basah. Mungkin ini jihad yang KAMZ kena teruskan, lakukan yang terbaik dan paling baik. KAMZ teruskan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Tuhan kamu lebih mengetahui akan keadaan kamu; jika Ia kehendaki, Ia akan memberi rahmat kepada kamu; atau jika Ia kehendaki, ia akan menyeksa kamu. Dan Kami tidak mengutusmu kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang menguasai urusan mereka." (Al-Isra’ 17: 54)

Allah s.w.t. itu lebih mengetahui keadaan kita. KAMZ yakin mungkin ini pengajaran penting agar KAMZ belajar untuk bersabar dan lakukanlah sedaya-upaya kerana pasti Allah datangkan jalan walau dalam keadaan perasaan kita menyatakan ia adalah mustahil. Mudah-mudahan ini adalah rahmat buat KAMZ, Jo, Zaki serta pihak penganjur dan peserta sendiri kerana KAMZ dapat rasa ia lebih bertenaga dari kebiasaannya (mungkin kerana rasa sakit tu kot).

1 comment:

Cik Yaya said...

kesiannye..sabo je lah