YURAN PERBELANJAAN


Semalam, KAMZ menemani isteri ke Tangkak Johor, balik hari. Penat juga, sampai balik rumah terus pengsan. Namun, dalam perjalanan banyak perkara yang KAMZ fikirkan. Sebagai seorang suami, perjalanan semalam sebagai satu usaha luangan masa bersama dengan isteri yang tercinta. Walaupun dalam keadaan KAMZ sekarang ini sedang sakit mata. Alhamdulillah, perjalanan panjang semalam banyak mengajar KAMZ erti perlunya pengorbanan dan berlapang dada dalam melaksanakan tugas harian serta tanggungjawab atas jawatan.

Kembali KAMZ teringat amanah yang ditinggalkan. Kerja-kerja IQ Class Management dan ABIM Selangor sendiri. Stress pula rasa. Namun dalam perjalanan sempat kami dengar CD ceramah ustaz Azhar Idrus. Apa yang menariknya, di dalam CDnya itu dimuatkan satu sedutan kisah Ustaz Harun Din mengenai mimpinya bertemu dengan Rasulullah s.a.w.. Kami menitiskan airmata bersama. Tidak dapat dibayangkan jika KAMZ bertemu dengan Rasulullah. Persoalannya layak ke manusia yang banyak dosa macam KAMZ ni bertemu dengan Kekasih Allah itu?

Itulah yang menjadi muhasabah diri kami sepanjang perjalanan semalam. Bahkan, jika dirungutkan belanja yang keluar kerana perjalanan semalam pasti tidak setimpal dengan pengajaran yang telah Allah berikan. Jika dirungutkan perjalanan semalam, pasti tidak ternilai berbanding ruang masa bersama suami dan isteri semalam. Itulah dia yuran perbelanjaan yang kita bayar untuk mendapatkan sesuatu yang pastinya Allah s.w.t. telah sediakan yang terbaik buat kita.

Oleh kerana itu, usahlah kita pertikai apa yang telah berlaku atau menimpa kita, sebaliknya anggaplah itu sebagai bayaran modal, perbelanjaan atau pelaburan yang pastinya membawa manfaat jika tidak di dunia, adalah pastinya di akhirat sana. Mudah-mudahan inilah yang akan menjadi obor yang menggerakkan KAMZ untuk terus menghasilkan modul-modul yang terbaik, ceramah yang meninggalkan kesan serta mencurahkan pengalaman dan pengetahuan tanpa hadnya. Kelmarin (21 Februari) KAMZ telah bertandang ke SK Taman Klang Jaya, esok (24 Februari) KAMZ akan ke SK Seksyen 27 (1) Shah Alam. Mudah-mudahan dipermudahkan.

No comments: