ALLAH MENGHIDUPKAN, MEMATIKAN DAN MEMANJANGKAN UMUR


ALLAH MENGHIDUPKAN, MEMATIKAN DAN MEMANJANGKAN UMUR

Kehidupan adalah masa yang terus berjalan dan berjalan tanpa menghiraukan sesiapa yang mensiakan bahkan yang sentiasa menyusun dan merancangnya. Tiada yang istimewa bagi masa kerana sifatnya adalah tidak menoleh ke belakang dan tidak akan dikembalikan. Pada tika masa kita merancangnya, kadangkala terganggu perancangan apabila atas perancangan itu ada perancangan Allah s.w.t. yang Maha Kaya dan Kuasa. Sering kali kita rasakan bahawa itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana kita telan merencanakan semuanya. KAMZ juga tidak terkecuali, kerap kali mengeluh apabila yang direncanakan terganggu oleh perkara yang kita rasakan remeh. Kadangkala terlepas juga rasa marah dan tidak suka kepada apa yang berlaku. Astaghfirullahal ‘azhim. KAMZ bertaubat dan memohon ampun kepada Allah s.w.t.

KAMZ menelaah Al-Quran hari ini dan berupaya diberikan hidayah Allah s.w.t. yang sangat ingin dikongsi dengan teman-teman pembaca yang dikasihi sekalian. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Al-Karim dari surah An-Nahl, surah yang ke 16 ayat 70 yang bermaksud;

“Allah yang menciptakan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, ada pula antara kamu yang dikembalikan Nya kepada peringkat umur yang sangat lanjut sehingga dia menjadi tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Berkuasa.” (An-Nahl 16: 70)

Begitulah Allah s.w.t. memberikan kita peringatan penting untuk memenuhi tuntutan kehidupan. Menjadikan hidup ini bermakna dan ‘hidup’. Allah yang menciptakan kita! Ini ayat tauhid yang penting yang menjadikan manusia wajib taat kepada yang telah Menciptakan bahkan Dia telah memberikan nikmat yang sekian banyaknya sehingga tidak terkira dengan jari-jemari kita. Apabila Dia yang menciptakan, maka akan adalah kesempurnaan dan gugurlah segala kekurangan jika dibandingkan dengan apa sahaja yang diciptakan manusia. Dia juga memberitahu kita bahawa, apabila Dia yang menciptakan maknanya pasti ada sebab yang perlu kita ambil pengajaran darinya.

KAMZ bermuhasabah dengan ayat Al-Khaliq ini. Allah s.w.t. yang ciptakan kita? Apa sebabnya, apa peranannya? Dia tidak hanya ciptakan kita bahkan Dia juga yang berhak mematikan kita. Bila? Di mana? Semuanya atas perencanaan Dia yang Maha Merencana. Siapa pula kita? Apa yang kita boleh buat? Apabila tiba perintah mematikan maka tiadalah akan lewat walau sesaat pun dari masa yang ditetapkan. Pada tika mati sahaja seorang manusia maka terputuslah hubungannya dengan dunia melainkan 3 perkara Rasulullah sebutkan iaitu, doa anak yang soleh, ilmu yang dimanfaatkan dan sedekah amal jariah.

Dek kerana itu Allah s.w.t. mengingatkan kita juga, bahawa ada juga di kalangan manusia yang Dia akan lanjutkan usianya sehingga nyanyuk yang mana, umum manusia lahir sebagai bayi yang perlu diuruskan kehidupan mereka, kemudian membesar menjadi remaja dan dewasa. Namun ada sebahagian dari kita akan kembali menjadi kanak-kanak yang perlu diuruskan dalam kehidupan seharian kita. KAMZ membayangkan, jika KAMZlah yang dipilih Allah s.w.t. sebagai seorang yang nyanyuk, maka anak-anak mungkin akan hilang sabar dengan cemuhan, kata-kata jiran dan sebagainya. Kerana pada masa itu mungkin kita ini akan menjadi bebanan kepada anak-anak.

Namun pastinya, ada hikmah dan pengajaran bagi mereka yang diberikan nyanyuk ini. Bagi anak yang menanggung ibu ayah mereka yang nyanyuk, Allah s.w.t. berikan ruang yang amat luas untuk mereka terus berbakti kepada ibu ayah sebelum mereka menghembuskan nafas mereka yang terakhir berbanding teman-teman KAMZ sendiri yang Allah s.w.t. telah kembalikan mereka ke rahmat Nya. Untuk orang-orang yang melihat, pasti merasai malu sendiri dan itu pengajaran besar untuk kita memelihara diri kita agar tidak membawa kepada kesia-siaan pada hari tua. Teringat KAMZ kepada pesan emak KAMZ apabila ada yang menegur emak tentang nenek KAMZ yang pada usia 80-an, masih lagi baik akal fikirannya dan waras. Emak kata, “Inilah kelebihan bagi mereka yang sentiasa menghidupkan kehidupan mereka dengan membaca Al-Quran.” Minda kita itu berjalan, mentadabbur isi kandungannya dan sentiasa berfikir tentang keagungannya.

Maka, usahlah kita rosakkan pemikiran dengan perkara maksiat dalam akal kita kerana itu mungkin akan mengundang nyanyuk itu kepada diri kita. KAMZ berpendapat, setiap yang datang itu ada pengajaran dan ada juga pembalasan yang sebagai seorang Muslim perlu reda dan menyerahkannya kembali kepada Allah s.w.t. Begitulah kata-kata Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. Wallahua’lam.


Kamarul Azami, Kuala Selangor
1 Januari 2011, 8.00 pagi


Muat turun artikel ini di sini.

No comments: