Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

PERBAIKI DIRI DAN ORANG LAIN


Alhamdulillah kita masih meneruskan usrah kita walaupun telah tertangguh untuk beberapa minggu. Kesibukan kita menyebabkan kita lupa kepada diri sendiri. Kita lupa kepada keperluan untuk membina dan memperbaiki diri. Kita lupa kepada pesanan Nabi Muhammad s.a.w., gunakanlah masa lapang kita sebelum sampai masa sempit.

Kita pun berfikiran bahawa, inilah waktu sempit kita, sehinggakan menghalang kita untuk menghadiri dan melaksanakan usrah. Ternyata, sehingga kini, usrah kita masih belum berjaya melahirkan ahli-ahli yang komited dan bersungguh-sungguh di dalam kerja-kerja dakwah. Kita sudah mula merasai bahawa permintaan untuk memenuhi keperluan diri kita sebagai perkara utama dengan menjadikan alasan bahawa, bagaimana kita boleh berdakwah dengan baik jika diri kita sendiri belum dapat ditampung dan ditanggung? Keinginan dan hasrat yang nampaknya begitu realistik ini akhirnya menjerat diri kita sendiri. Secara tidak sengaja, keinginan peribadi itu telah menjadi pengawal tindakan dan fikiran kita dan secara tidak langsung telah menjadi matlamat peribadi yang utama iaitu untuk memenuhi keperluan kehidupan di dunia semata-mata. Teringat akan kata-kata Sayidina Ali, peganglah dunia di tangan kita, tetapi jangan sampai ia tertanam di dalam hati. Jika ia tertanam di dalam hati, maka sudah tentu sukar untuk kita keluarkannya, sebaliknya jika ia berada di dalam tangan kita, mudahlah kita untuk mengambil atau membuangkannya.

Usaha mencari dunia semata-mata ini sebenarnya menjadikan kita lebih sukar. Kita hanya menumpukan segala usaha kita hanya untuk sebahagian kecil sahaja dari seluruh kehidupan kita. Maka usaha kita bersama untuk kekal istiqamah di dalam perbincangan-perbincangan usrah ini adalah untuk kembali bermuhasabah dan meneruskan usaha memperbaiki diri kita sendiri. Sepertimana yang telah kita bincangkan bersama semenjak bermulanya usrah kita ini, perkara yang paling penting yang perlu kita bersama tumpukan di dalam marhalah ini di atas jalan dakwah ialah memperbaiki diri dan menyeru orang lain kepada jalan dakwah kita. Kita bersama telah faham bahawa memperbaiki diri adalah yang paling utama buat kita.

Pembaikan dan pemulihan diri ini adalah suatu yang besar natijahnya dalam usaha menjalankan dakwah kepada orang lain. Keutamaan dalam usaha pembaikan dan pemulihan diri ini ialah bermula dengan akidah yang tegas dan sejahtera. Mengukuhkan kepercayaan serta meletakkan segala daya hidup di bawah penguasaan yang Maha Pemilik. Inilah kekuatan yang dimiliki oleh golongan salafussoleh yang dengannya terbina keberanian, tawaduk, amanah, kesetiaan dan sifat as-siddiq.

IBADAH YANG TERBAIK

Apabila kita bersama dapat memahami dan menghayati akidah salimah yang membawa kepada kesejahteraan maka bersamanya akan datanglah ibadah yang terbaik. Pemahaman ibadah bukanlah terbatas kepada persoalan solat, puasa, zikir atau zakat sahaja, bahkan ia merangkumi setiap inci kehidupan manusia. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku.” (Adz-Dzariyat 51: 56)

Maka, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. juga menyebutkan tentang setiap amalan itu harus bermula dengan niat. Niat ini akan membantu kita menjadikan setiap perilaku perbuatan itu bukan semata-mata kerana terpaksa atau memenuhi keperluan dan permintaan nafsu, sebaliknya ia menyebabkan setiap perbuatan itu bermakna serta menjurus kepada mencari dan menjadikan kita semakin hampir dan mendapat keredaan dari Allah s.w.t. Walau di mana sahaja, pada bila-bila masa ia akan menjadi ibadah dengan syarat ia sesuai dengan syariat dan jauh dari perkara-perkara yang diharamkan serta dimurkai Allah s.w.t. Oleh yang demikian adalah penting untuk mengetahui hukum-hukum ibadah dan syarat-syarat sahnya. Perlu tahu sunnah dan cara hidup Rasulullah s.a.w. dalam segenap kehidupan seharian.

Pada usrah kita kali ini, marilah kita menanamkan azam untuk mengamalkan ma’thurat setiap hari. Jadikanlah ia disiplin dan salah satu cara untuk mencontohi Rasulullah s.a.w. seberapa rapat yang mungkin. Amalkan dan fahamilah isi kandungannya. Semoga dengan itu, kebergantungan kita hanya terpaut kepada Allah s.w.t. Lakukanlah ianya dengan ikhlas, bukan kerana mengharapkan kata-kata dan untuk dilihat orang lain. Mudah-mudahan amal kita itu di terima Allah s.w.t.

AKHLAK YANG TERBAIK

Akhlak yang juga merupakan asas penting dalam usaha memperbaiki diri kita perlu melihat kepada contoh dan teladan yang telah ditinggalkan Nabi Muhammad s.a.w. Sebagaimana kata-kata Saiyidatina Aisyah bahawa Baginda s.a.w. itu adalah Al-Quran yang berjalan. Maka, rujukan dan contoh ini juga datangnya dari sumber Al-Quran Al-Karim. Akhlak amat berkait rapat dengan hubungan manusia serta makhluk lainnya. Contoh yang praktikal lebih besar pengaruh dan kesannya di dalam jiwa manusia. Sabda Rasulullah s.a.w. “Hanyasanya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, “Barang yang paling berat di dalam timbangan pada hari kiamat ialah takwa kepada Allah s.w.t. dan akhlak yang baik.”

Latihlah diri kita dengan akhlak yang mulia dan secara langsung ia menegaskan kita untuk meninggalkan akhlak yang buruk.

THAQAFUL FIKR

Thaqaful fikr bermakna pendidikan fikiran. Sebagai lelaki yang mempunyai akidah yang mantap dan berada di atas jalan dakwah, seharusnya kita mempunyai budaya berfikir. Terdapat 3 aspek asasi dalam pendidikan fikiran iaitu yang pertama adalah pengenalan yang salim dan sempurna mengenai Islam. Kedua, mengetahui keadaan sebelum dan semasa tentang dunia Islam, mengenali dan mengetahui musuh-musuh Islam serta memahami segala tindak-tanduk mereka. Manakala yang ketiga adalah dengan mempertingkatkan kemahiran pengkhususan di dalam pelbagai bidang lapangan yang berkaitan dengan urusan kehidupan kita. Inilah yang diperkenalkan ABIM sejak awal penubuhannya yang sepatutnya kita fahami dan ketahui, ianya adalah sebahagian dari tuntutan berjemaah iaitu ‘memprofesionalkan ulama’ dan mengulama’kan profesional. Dorongan ini telah pun Allah s.w.t. sebutkan di dalam surah Al-Alaq ayat pertama.

KEKUATAN JASMANI

Sabda Rasulullah s.a.w. “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah s.w.t. daripada orang mukmin yang lemah dan ada kebaikan kepada tiap-tiap individu.”

Penambahbaikan diri kita perlu juga menjurus kepada soal kesihatan dan kekuatan fizikal. Sekiranya kita pernah membaca Risalah Ta’lim yang dicatatkan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, beliau begitu menitikberatkan soal kesihatan sehinggakan beliau mengarahkan agar segera membuat pemeriksaan kesihatan jika keadaan diri tidak sihat. Begitu juga dengan pengambilan makanan, kebersihan dan apatah lagi merapati arak, dadah dan juga rokok.

LAIN-LAIN LAGI

Janganlah kita lupa, kita juga perlu menghidupkan semangat jihad dengan berdepan dengan sebarang masalah dengan berani. Hilangkan dunia material diri kita dengan melawan nafsu yang berusaha untuk merajai kita. Inilah peperangan terbesar kehidupan kita pada hari ini. Begitu juga dengan hubungan kita bersama makhluk lainnya. Sebagai usaha untuk memperbaiki diri, sentiasalah menjadikan diri memberi manfaat kepada orang lain. Senang hati dan bermurah hati walaupun sampai ke tahap ianya tidak diketahui oleh sesiapa pun baik dalam keadaan sedikit mahupun banyak.

“Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.” (Al-Mukminun 23: 61)

Kita juga kerapkali membincangkan surah Al-Asr di dalam usrah bahkan di dalam kursus-kursus yang telah kita anjurkan. Pembuktiannya, harus ada kerana menjaga waktu ini juga merupakan tuntutan perubahan di dalam diri kita. Sabda Rasulullah s.a.w. “Hai Anak Adam aku makhluk baru dan diatas amalmu aku menjadi saksi maka ambillah bekalan dari ku kerana sesungguhnya aku tidak pernah akan kembali lagi sampai hari kiamat.”

Sebagai pendakwah juga, keutamaan dan penambahbaikan perlu dalam setiap tugasan yang dilakukan. Kita haruslah menjadi contoh walau dengan apa jawatan atau tugas pun yang kita diamanahkan. Kita perlu amanah dan laksanakannya pada kadar yang terbaik kerana Allah s.w.t. itu suka kepada yang terbaik. Seruan ‘Haiya ‘Ala-Solah’ dan ‘Haiya ‘Alal-Falah’ menunjukkan betapa kecemerlangan dan kejayaan itu adalah seruan yang perlu dicapai oleh setiap orang Muslim dan Mukmin.

BAGAIMANA UNTUK MELAKUKAN PERUBAHAN?

Itulah sebab mengapa usrah ini dilaksanakan. Ia bertujuan untuk kita selalu mengkoreksi diri sendiri serta tidak berhenti melakukan kerja-kerja thaqaful fikr. Tarbawi takwin atau pendidikan pembentukan ini perlu datang dalam usaha individu juga dalam kelompok berjemaah. Ia perlu direncana dengan pelbagai cara dan alat.

Selain itu, dengan usaha untuk melibatkan diri dengan kerja-kerja Islam di dalam bidang dakwah juga adalah salah satu cara paling mujarab. Sesungguhnya, menyeru manusia kepada Allah s.w.t. dan menentang kebatilan serta pendokongnya merupakan salah satu pendidikan kepada para pendakwah serta ia memberikan kita pengalaman, kecerdikan, keteguhan, ketetapan dan ketahanan di atas kebenaran.

Muat turun artikel ini di sini.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang