Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

MENELADANI ASY-SYAHID IMAM HASSAN AL-BANNA


Lima Puluh Tahun Di Atas Jalan

Pernah atau tidak diri kita bertanya, adakah aku menghabiskan usiaku dengan cara bermanfaat atau sekadar habis di atas kenderaan kerana kesesakan lalulintas atau perjalanan yang panjang setiap hari? Adakah ia berbaloi dengan panjang masa yang telah Allah s.w.t. anugerahkan kepada kita? Persoalan ini mungkin pernah menjengah kita semua untuk memberikan peringatan agar jangan sesekali kita membuang masa untuk perkara yang amat kurang faedahnya. Mudah-mudahan, usrah SISMA yang telah kita bentukkan dan gerakkan ini, akan menjadi tempat mengukuh serta mempertingkatkan hidup kita kepada cara yang lebih baik dan bermanfaat.

Pada awalan kita memulakan usrah bersama, kita telah membincangkan marhalah-marhalah yang ada secara umum. Pengalaman yang dikongsikan sendiri oleh Ustaz Mustafa Masyhur bersama saratnya pengalaman beliau bersama Ikhwanul Muslimin serta Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Lima puluh tahun lamanya. Kemudian, perbincangan kita terarah pula kepada perkara-perkara yang mampu menyebabkan usaha dakwah ini menyeleweng dari perkara sebenar. Peringkat demi peringkat diperjelaskan beliau yang dituruti dengan halangan dan rintangan yang mungkin kita akan hadapi dan mehnah serta tribulasi dalam melalui jalan dakwah ini yang sedang menanti kita semua.

Kesemua perbincangan ini, apa yang bersama kita harus fahami adalah sebenarnya kata-kata nasihat dari senior dakwah kita yang telah melalui satu proses yang sehingga ke hari ini masih berjalan dan berlangsung, dan di dalam hati mereka, tiada sebarang keraguan bahawasanya, Islam itu pasti akan tertegak jua akhirnya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ahzab ayat 22 24 menjelaskan;

(22) "Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzab, berkatalah mereka, ‘Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya’. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah."

(23) "Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka diantara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun."

(24) "(Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika ia kehendaki, atau ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Al-Ahzab 33: 22 – 24)

Sepanjang sejarah pergerakan Ikhwanul Muslimin, Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna tidak nyenyak di dalam tidurnya kerana memikirkan usaha dakwah yang harus dilakukan dan disampaikan kepada seluruh masyarakat. Beliau telah memulakan usaha dakwahnya dan mengakhiri hidupnya dengan syahid. Usahanya membentuk peribadi yang benar-benar kuat pegangan aqidah serta ikatan persaudaraan yang sangat kukuh dikalangan pejuang agama ini, terbukti mampu menggerakkan usaha dan perjuangan yang telah didahului oleh Rasulullah s.a.w.

Beberapa Petunjuk Di Atas Jalan Dakwah

Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna memberikan peringatan bahawa setiap tindakan kita sudah punya petunjuk dan sumber yang sangat suci dan bersih yakni Al-Quran dan As-Sunnah. Maka, yakinilah pesan beliau, bahawa selagi keduanya menjadi sumber rujukan dan pegangan, maka jalan dakwah ini tidak akan malap bahkan jika kita meninggalkannya, pasti Allah akan menggantikan kita dengan mereka yang lebih baik. Oleh kerana itu, berlaku banyak perkara sehinggakan terdapat dikalangan kita yang sanggup kafir mengkafir hanya kerana ingin meletakkan siapa lebih baik. Hentikanlah, kerana ini hanya berkenaan dengan perkara-perkara furu’ yang akhirnya tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada ummat Islam.

Beliau juga berpesan agar tidak terburu-buru dalam menjalankan usaha dakwah, ia amat bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 75;

“(Sesudah kamu - wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?” (Al-Baqarah 2: 75)

Faktor Zaman

Ini adalah pesan Allah s.w.t. agar kita tidak tamak dalam menyebarkan Islam. Haruslah kita ingati bahawa, ia perlu dilakukan secara berterusan, bukan dikira berapa yang mengikutinya. Ramai orang yang mempersoalkan, telah berpuluh tahun usaha dakwah ini dijalankan, namun tidak dapat terlihat pun bangunan utuh Islam yang terbina dalam bentuk empayar pemerintahan walaupun sekadar sebuah negara yang dipimpin oleh kepimpinan yang benar-benar Islam.

Umur dakwah bukan dikira dari segi berapa usia individu yang melakukannya, tetapi umur ummah dan pendakwahannya. Segalanya adalah di dalam percaturan Allah s.w.t. Sudah berapa ramai yang syahid dengan terbentuknya jalan ini. Kelahiran gerakan-gerakan Islam hari ini yang dipelopori oleh Ikhwanul Muslimin ini, merupakan hadiah dan anugerah Allah s.w.t. kepada ummat manusia setelah runtuhnya pemerintahan Turki Uthmaniah pada tahun 1942. Gerakan Ikhwanul Muslimin yang memulakan pergerakan dalam tahun 1928 sehingga hari ini bukanlah satu kuasa baru mahupun jamaah semata-mata tetapi menurut Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, ia lebih kepada lahirnya roh baru, jiwa baru mencabar dalam tubuh ummah ini lalu memperbaharui hidupnya.

Tabiat Marhalah Ini

Sebagaimana yang kita fahami, apabila kita masih belum melihat bangunan yang terbina, bermakna kita masih berada pada peringkat awal pembinaan dan pemasakan dasar yang merupakan kerja paling sukar dan mendatangkan kesan besar selepas bangunan disiapkan. Maka yang perlu pada kita adalah usaha yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah dalam menjadikan diri ini lebih baik dan biarlah ianya berterusan.

“Dan katakanlah (wahai Muhammad), ‘Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan’.” (At-Taubah 9: 19-05)

Zaman Ini Kepentingan Dakwah Islam

Inilah zaman kebangkitan ummat. Pasti kita merasainya. Ia berlaku dimana sahaja. Sehinggakan mendatangkan ketakutan bagi musuh-musuh Islam. Walaupun dunia melihat Palestin itu mengecil, tetapi dari segi pengIslaman masyarakat seluruh dunia ternyata Islam semakin berkembang dan membesar. Manusia telah mula menolak cara hidup yang tidak mendatangkan manfaat dan hari ini kita boleh melihat kejatuhan nilai dalam kemasyarakatan yang membawa kepada pencarian kehidupan yang lebih menyeluruh. Maka usaha kita harus terus dan buangkanlah penghalang kepada urusan dakwah ini. Baikilah akhlak dan jadikanlah Islam sebagai pegangan hidup dan cara hidup.

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).” (Al-An’am 6: 122)

“...Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu...”
(Al-Maidah 5: 3)

Rintangan Yang Hebat

“Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.” (Ar-Ra’d 13: 17)

Perjalanan ini tidak mudah. Tugas kita adalah meneruskan usaha dakwah dan mengharapkan bantuan dari Allah s.w.t.. Untuk mendapatkan bantuan dari Allah s.w.t. marilah kita sentiasa melakukan taubat nasuha, sentiasa bermujahadah, membina sifat-sifat terpuji serta sentiasa mengharapkan bantuan dari Allah s.w.t. La haulawala quwwata illa billah. Inilah jalan dakwah dan inilah usaha demi masa hidup kita di akhirat. Laluilah dengan ketabahan, kecekalan dan istiqamah.




Muat turun artikel ini di sini.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang