Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

TRIBULASI DI JALAN DAKWAH


Pertemuan usrah SISMA ini telah berlangsung hampir 15 kali yang mana pertemuannya dijalankan setiap minggu. Setiap pertemuan di dalam usrah ini diharapkan agar dapat menambahkan keyakinan kita kepada janji Allah s.w.t. tentang kehidupan yang kekal di akhirat kelak serta mengukuhkan serta meyemarakkan semangat untuk terus melakukan kerja dakwah mengajak ummat agar kembali berada di jalan Allah s.w.t. serta mengamalkan cara hidup yang Islami. Menyambung perbincangan kita yang lalu, tribulasi di jalan dakwah akan terus membincangkan tentang apakah yang mungkin lagi perlu kita tempuhi dalam usaha-usaha berdakwah ini.

BOLEHKAH KITA MENGELAKKAN TRIBULASI ATAU MENGURANGKAN TEKANAN PENYEKSAAN KEPADA USAHA DAKWAH INI?

Kerapkali, kita memikirkan tentang usaha-usaha yang kononnya bijak apabila kita bergandingan atau bersama dengan beberapa pihak yang dikatakan bahawa mereka mampu untuk membantu memperkembangkan usaha dakwah kita ini. Lalu, kita pun merancang untuk memanfaatkan kedudukan, mendapatkan kuasa politik dan sebagainya atas tujuan untuk mengurangkan tekanan-tekanan tribulasi ini. Persoalannya, adakah ia benar-benar berkesan atau hanya sekadar tanggapan?

Sahabat-sahabat seperjuangan yang dikasihi sekalian.

Berpegang teguhlah kepada usaha jalan dakwah yang mana ianya hanyalah akan mengundang lebih banyak mehnah dan tribulasi. Sekiranya kita biarkan diri kita berusaha untuk mendapatkan sesuatu kedudukan, dan kedudukan itu memberikan kita perasaan selesa dan bersenang-senangan, percayalah, kedudukan itu hanya akan menyebabkan kita amat sayangkan kemudahan, keselesaan dan kesenangan. Akhirnya, ia akan memandu kita ke arah untuk mempertahankannya dari cenderung mempertahankan kerja dakwah kita.

Rasulullah s.a.w. telah pun membuka lembaran sejarah ini dengan penuh rasa belas kasihan kepada para pendokong dakwah Islamiyah ini. Baginda s.a.w. amat berasa susah hati dengan apa yang berlaku terhadap ummatnya. Perkara ini telah Allah s.w.t. sebutkan di dalam firman-Nya yang bermaksud;

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin.” (At-Taubah: 128)

Ayat di atas merupakan penjelasan Allah s.w.t. terhadap sikap Rasulullah s.a.w. yang amat mengambil berat kesusahan ummatnya. Bukanlah bermakna dia berdiam diri, tetapi, dia juga manusia yang mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah s.w.t. Oleh yang demikian, apa yang terdaya Baginda s.a.w. lakukan disaat Islam itu memerlukan semangat dan bimbingan adalah berpesan agar terus bersabar, istiqamah serta mempertahankan aqidah masing-masing. Baginda s.a.w. juga menyampaikan berita gembira buat mereka yang Mukmin iaitu tentang janji Allah s.w.t. tentang syurga, pertolongan Allah s.w.t. serta kemenangan yang pasti untuk agama Allah s.w.t.

Imam Bukhari rahmatullah telah meriwayatkan dari Qais berkata, “Aku telah mendengar Khabab r.a. berkata, ‘Aku telah mendatangi Rasulullah s.a.w. sedang Baginda s.a.w. berbantalkan burdadi bawah naungan Ka’abah. Ketika itu kami sedang menerima penyiksaan yang keras dari kaum musyrikin lalu dia berkata, ‘Tidak mahukah kamu berdoa kepada Allah?’’ Lalu Rasulullah s.a.w. duduk dengan merah padam mukanya lantas bersabda, “Sesungguhnya telah terjadi kepada orang-orang sebelum kamu telah disikat dengan sikat-sikat besi yang mencakar-cakar daging-daging dan urat-urat mereka hingga ke tulang-tulang mereka. Itu tidak memalingkan muka dari agama mereka. Satu masa nanti pasti Allah s.w.t. akan menyempurnakan urusan agama ini dengan memberi kemenangan kepadanya di mana orang yang menunggang itu berjalan dari San’a di Yaman ke Hadramaut tanpa rasa takut kecuali hanya kepada Allah s.w.t. dan hanya bimbangkan serangan serigala ke atas kambing-kambingnya. Tetapi kamu ini hendak mencapai kemenangan dengan segera.’”


BILAKAH AKAN BERHENTINYA TRIBULASI INI?

Berpegang dan percayailah perintah serta janji-janji Allah s.w.t. wahai sahabat-sahabatku. Ini kerana, tribulasi ini, ujian dan kesusahan ini atau penyeksaan ini hanya akan berhenti apabila kita sebagai ummat Nabi Muhammad s.a.w. ini berhenti dari meneruskan kerja dakwah yang ditinggalkan oleh Baginda s.a.w. Inilah yang sedang diusahakan oleh musuh-musuh agama Islam. Mereka merosakkan komponen kehidupan Muslim melalui menjauhkan kita dari rumah-rumah Allah, dari Al-Quran dan juga sunnah-sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, apabila kita berhenti dari meneruskan usaha dakwah, itu bermakna, kita mengutamakan diri kita dan kita telah berhenti dari berjihad. Apabila kita berhenti berjihad, maka akan datanglah ketika di mana anak-anak perempuan kita nanti akan sewenang-wenangnya menghilangkan maruah mereka serta anak-anak lelaki kita sudah lagi tidak bertanggungjawab di dalam kehidupannya. Musuh-musuh Islam akan melakukan apa sahaja untuk memastikan usaha mereka ini berjaya. Sama ada dengan cara mengugut, menyeksa, memujuk, memberikan keselesaan atau apa sahaja. Firman-firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: 'Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang d dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).” (Al-Baqarah: 217)

“Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka).” (Al-Mumtahanah: 2)

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Al-Baqarah: 120)

Apa yang berlaku pada hari ini bukanlah sesuatu yang baru bahkan Baginda s.a.w. sendiri juga telah berhadapan dengan cabaran yang hampir serupa. Usaha mereka adalah kepada kelompok yang benar-benar memberikan kesan ke dalam masyarakat yakni mereka yang berdakwah. Untuk mereka yang tidak meletakkan diri mereka sebagai pendakwah, ia bukanlah sesuatu yang merisaukan musuh-musuh Islam ini. Tawaran juga pernah diberikan kepada Rasulullah s.a.w. tetapi dengan jiwa yang besar Rasulullah s.a.w. menolaknya. Baginda s.a.w. menegaskan, “Demi Allah! Sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak akan meninggalkannya hinggalah Allah s.w.t. memberi kemenangan kerananya ataupun aku binasa kerananya.”

Kata-kata dan pesanan Rasulullah s.a.w. itu seharusnya menjadi kata-kata motivasi buat para pendakwah, bahawasanya kita tidak akan berhenti dari meneruskan tugas ini. Kita akan teruskan sehinggalah ke akhir hayat kita.


DAKWAH TERTEGAK DARI KEAZAMAN BUKAN DARI KEMUDAHAN

"Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab Yang besar.” (An-Nahl: 106)

Allah s.w.t. telahpun memberikan keringanan buat kita dalam urusan mempertahankan agama Islam sebagai cara hidup serta aqidah yang jitu terhadap keEsaan Allah s.w.t. Namun, keringanan ini bukanlah bermaksud boleh dijadikan asas dan pokok dalam menetapkan pendirian Mukmin. Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, dakwah tidak terbangun atas dasar ‘rukhsah’ tetapi atas dasar ‘uzmah’.

Rasulullah s.a.w. tidak menjadikan keringanan itu sebagai alasan dan usaha menjauhkan diri daripada gangguan-gangguan, akan tetapi sebenarnya ia disebabkan perasaan belas kasihan kepada pendokong dakwah dan Baginda s.a.w. sentiasa berpesan agar terus bersabar dan bertawakal kepada Allah s.w.t.

“Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. “Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (Wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan).” (Az-Zukhruf: 43-44)

“Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (Mereka - Wahai Muhammad - kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami Dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepada-Nyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)." (Asy-Syura: 15)

Maka, gunakanlah keringanan itu disaat akhir di mana sudah sampai ke tahap sudah tidak mampu ditanggung lagi. Mudah-mudahan kita mendapat keampunan dan kasih sayang dari Allah s.w.t.


MENGELAKKAN TRIBULASI ADALAH SATU PENYELEWENGAN

Saudara seperjuanganku sekalian,

Kita tidak boleh mengelakkan tribulasi kerana ia adalah pakej dalam kerja dakwah. Apabila kita dapat mengelakkannya bermakna kita telah pun memberikan kejayaan percuma kepada musuh-musuh Allah s.w.t. Kita tidak sepatutnya meninggalkan jalan dakwah atau berada dalam usaha dakwah yang penuh dengan kepura-puraan. Musuh-musuh Islam akan mengaburi pandangan mata dengan kemudahan-kemudahan yang dijanjikan. Akhirnya kebergantungan pergerakan dakwah bukan lagi kepada Allah s.w.t. tetapi kepada makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t.

Sabarlah dan pertahankanlah aqidah kita. Bertenang dan percayalah kepada pertolongan Allah s.w.t. Sesungguhnya, mereka bukanlah bermusuh dengan kita tetapi mereka bermusuh dengan Allah dan usaha dakwah yang dijalankan terhadapnya. Oleh yang demikian, jika kita tidak melakukan tugas ini, Allah s.w.t. pasti akan menggantikan kita dengan orang lain yang jauh lebih baik dari kita.

"Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk Kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf: 21)

Kita bukanlah mencari musuh, sebaliknya, tugas kita menyampaikan dakwah kepada semua ummat manusia. Oleh yang demikian, merekalah sebenarnya yang memulakan persengketaan. Maka, bersabar, istiqamah, pertahan aqidah dan terus berusaha demi agama Allah s.w.t.

“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Ali-Imran: 146 – 148)

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang