LAGI TENTANG HALANGAN DI ATAS JALAN DAKWAH


LAGI TENTANG HALANGAN DI ATAS JALAN DAKWAH



Betapa agungnya ciptaan Allah s.w.t. ini, apabila ia diciptakan dari tanah dan kemudiannya ditiupkan roh. Maka, manusia itu secara azalinya mempunyai tarikan untuk berada di bumi yang bersifatkan tanah serta sifat roh itu pula secara keseluruhannya mengembalikan manusia kepada ‘Rab’nya. Inilah dia halatuju yang telah diberikan Allah s.w.t. semenjak dahulu lagi kepada manusia, menjadilah ia sebagai tugas hakiki manusia, berbakti kepada tanah asas terbentuknya manusia sebagai khalifah juga pada masa yang sama mengembalikan hak roh kepada Sang Penciptanya.

Inilah dia medan perjuangan kita, dari asal tanah sehinggalah bertemu Dia. Inilah jihad kita dan inilah jalan kita. Oleh kerana itu, diri kita perlu sentiasa dilatih untuk berhadapan dengan fitnah dan kesengsaraan hidup sama ada untuk condong kepada dunia atau mendapat kerahmatan dari Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Asy-Syura ayat 20 yang bermaksud;

“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Asy-Syura: 20)

Maka godaan dan kemudahan duniawi seharusnya dijauhkan dari diri seorang pendakwah kerana ia akan mampu mengundang bencana serta menjauhkan diri kita dari taufik dan pertolongannya. Bahkan jika kita membiarkan godaan dan kemudahan duniawi ini menguasai diri, nescaya kita akan gagal dalam mengawal nafsu diri yang akhirnya nafsu itu menguasai akal maka terdedahlah kita kepada kemurkaan Allah. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah At-Taubah ayat 24 yang bermaksud;

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).’” (At-Taubah: 24)


USAHA MENCARI REZEKI

Mencari rezeki bagi usia muda seperti pelajar, tidak akan punya banyak tekanan dan biasanya mereka tidak berfikir banyak di dalam usaha itu kerana hidupnya masih dibawah tanggungan ibu ayah atau pinjaman pelajaran mereka. Namun sebagaimana biasa yang kita dengari, mereka yang belajar ini akan mula memasuki fasa pertama atau musim sejuk pertama iaitu pekerjaan. Keperluan mendesak seperti pendapatan, kedudukan, kereta, rumah dan sebagainya akhirnya menjadi sebab kepada rezeki mereka bukan keberkatan hidup dari Allah. Mereka mula melihat bahawa yang memberikan gaji itulah yang memberikan rezeki bukan lagi Allah s.w.t. Maka kilang alasan pun dibina bagi memastikan pelbagai alasan dapat diberikan atas usaha untuk melepaskan diri dari tugas Allah s.w.t. Persoalannya, terlepaskah kita?

Pasakkan kefahaman dan keyakinan yang kuat bahawa sesungguhnya penentu rezeki kita adalah Allah s.w.t. Keutamaan bagi kita adalah bekerja bersungguh-sungguh dan tidak sesekali berputus asa dengan Allah s.w.t. Berusaha itu wajib dan bertawakal juga wajib. Ia perlu diselarikan dan diberikan keutamaan. Inilah rintangan yang akan mengukur kepercayaan dan keimanan kita terhadap kuasa si Maha Pemberi Rezeki.


ISTERI DAN ANAK-ANAK

Pernah juga kita perbincangkan tentang hijab di dalam hati atau penghalang kepada kerja-kerja dakwah ini. Ini juga hadir dalam musim sejuk kedua iaitu apabila seorang pendakwah itu sudah mempunyai keluarga. Perkahwinan melibatkan kelompok yang besar, bukan sekadar suami dan isteri bahkan keluarga suami dan keluarga isteri. Perkahwinan juga adalah sunnah yang dituntut kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w. untuk dilaksanakan. Namun itu bukanlah sebab untuk mereka yang berkeluarga meninggalkan amanah dakwah mereka. Anak-anak dan isteri tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak melakukan kerja dakwah, lari dan mendiamkan diri.

Apabila menjadi ketua keluarga khususnya untuk para lelaki, maka peranan itu menjadi lebih besar kerana kita akan berada ditahap berikutnya yakni hidup di dalam masyarakat. Ingatlah, jika ayah tidak berjihad, maka anak lelaki akan meninggalkan tanggungjawab dan amanahnya, manakala anak perempuan kita akan hilang maruahnya. Pada ketika itu usahlah kita pura-pura menyesal kerana pada hakikatnya kita telahpun ketahuinya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah At-Taghabun ayat 14 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (At-Taghabun: 14)

Maka memilih isteri dan suami yang memahami amatlah menjadi keutamaan. Maknanya, ia bukan sekadar baik agama itu dari sudut memelihara tiang agamanya sahaja, bahkan dari sudut, hati agamanya, kerja agama keluarganya dan yang lebih penting adalah bagaimana kehidupan mereka terhadap ganjaran agama. Buat saudara-saudara lelaki, fahamilah bahawa, isteri adalah pembantu kita, serta potensi mereka dalam melahirkan lebih ramai petugas-petugas agama Allah s.w.t. Maka pilihlah dari kalangan yang terbaik. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud;

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata, ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.’” (Al-Furqan: 74)

Tugas ini adalah untuk membentuk satu institusi keluarga contoh untuk diikuti berikutnya, membentuk masyarakat yang amat tinggi kedudukannya disisi Allah. Maka akan sampai satu masa, si suami akan berada di tahap fitnah yang besar, kerana usahlah kita memperkecilkan setiap percubaan yang akan Allah s.w.t. berikan kepada kita. Pada saat itu, si isterilah yang terhampir untuk kita, maka persiapkanlah mereka dengan kasih sayang, berfikiran terbuka serta sifat tabah dan kesabaran yang tinggi.


MABUK DUNIA DAN HARTA

Apabila kehidupan ini menginginkan pencarian harta dunia, maka harta dunia yang dicari itu pasti tidak akan pernah mencukupi. Dek sebab itulah, kita akan selalu menghabiskan banyak masa dan hartanya juga dengan tujuan untuk mengumpul lebih banyak lagi harta dunia. Pada peringkat awal, sedikit ruang diberikan untuk berdakwah dan kemudian akhirnya hanya tinggal menderma dengan mengharapkan ganjaran dari Allah s.w.t. tanpa ada sedikit pun usaha jihad yang dilakukan. Sudahnya, derma itu juga terus hilang apabila harta dunia ini menjadi tuhan di dalam jiwa serta merasakan ia adalah sesuatu yang tidak patut dikongsikan.

Mencari rezeki itu halal dan dituntut, tetapi ia bukan agenda utama kehidupan. Ia sekadar memenuhi tuntutan kehidupan sebagai manusia. Ia hanyalah alat untuk mencapai keredhaan Allah. Berusaha dan redha itu ubatnya. Menginfakkan harta itu juga penawarnya. Rintangan ini telah pun didahului oleh abang-abang kita yang akhirnya mereka hanyut dan melupakan segala usaha dakwah ini. Alasannya pelbagai, dan ianya semata-mata demi menjaga kepentingan diri mereka sendiri. Akhirnya yang berbicara tentang ummat jatuh ditangan mereka yang upaya hartanya sedikit, sering mengharapkan bantuan dan derma dari para dermawan. Bahkan mereka hanya bergantung kepada Allah s.w.t. tanpa sebarang usaha. Inilah wajah pendakwah hari ini yang tidak langsung ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Maksud sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim berbunyi, "Sesungguhnya telah berjayalah orang yang telah Islam dan diberi rezeki yang mencukupi sesuai dengan keperluannya dan memberi kepuasan kepadanya dengan apa yang telah dikurniakan kepadanya ". Usahlah angkuh, kedekut dan sombong, kerana segala yang ada itu perlu dikembalikan kepada yang Maha Pemberi semula.


SUARA PENGHALANG DAN MELEMAHKAN

Pernah terdengar rakan-rakan menyatakan ia hati mereka dengan berkata, “Alah kita buat penat-penat bukan dapat duit pun, nama orang lain yang dapat, pangkat tak boleh nak minta-minta.” Suara ini datang dari 2 sudut yang wajib kita awasi iaitu bisikan manusia dan hasutan syaitan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan mereka berkata, ‘Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini’. Katakanlah, ‘Api nereka jahaman itu lebih perit panasnya jikalau mereka memahami.’” (At-Taubah: 81)

"Orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudaranya dan mereka tidak turut pergi berperang, ‘Sekiranya mereka mengikuti kita, tentulah mereka tidak terbunuh’. Katakanlah, ‘Tolaklah kematian itu dari dirimu, jika kamu orang-orang yang benar.’” (Ali-lmran: 168)

"Jika mereka berangkat bersama-sama kamu nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu untuk mengadakan kekacauan di antaramu, sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Dan Allah mengetahui orang yang zalim." (At-Taubah: 47)

"(Iaitu) orang-orang yang mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya sesudah mereka mendapat luka (dalam peperangan Uhud). Bagi orang-orang yang berbuat kebaikan di antara mereka dan bertakwa, ada pahala besar. (Iaitu) orang-orang yang mentaati Allah dan Rasul yang kepada mereka ada orang-orang mengatakan, ‘Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka’, maka kata-kata itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab, ‘Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung’. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) dari Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakutkan kamu dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy), kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada-Ku, jika kamu benar-benar orang yang beriman. " (Ali-lmran: 172-175)

Wahai saudara-saudaraku, kembalikanlah keyakinan kita kepada Allah s.w.t. Segala kerja agama ini harus diteruskan dan tiada sebab kita perlu berhenti melainkan Allah s.w.t. memberhentikan nikmat hidup kita yang terbesar iaitu nyawa. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamu orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali-lmran: 139)

"Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitainya, sedang kamu mengharap dari Allah apa yang tidak mereka harapkan dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (An-Nisaa': 104)

"Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah. Dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh. Allah menyukai orang-orang sabar." (Ali-lmran: 146)

Maka, apabila kita telah serahkan diri pada Allah, waspadalah dengan penghasut dan pembisik seperti ini. Ingatlah kuasa dan janji Allah buat kita. Teruslah berbuat dan jangan sekali-kali menampakkan kelemahan atau kelesuan. "Kekuatan itu adalah paling bagus apabila berada di dalam kebenaran, dan seburuk-buruk kelemahan ialah apabila ia berada di pihak yang batil". (Al-Imam Hassan Al-Banna)


KEKERASAN HATI KERANA LAMA BEREHAT

Antara alasan yang mudah dan kerapkali dapat kita bersama dengari daripada teman-teman seperjuangan yang berehat lama dari kerja dakwah ini kebiasaannya menyebutkan ‘dah lama tinggal’, ‘segan’, ‘apa orang kata nanti’ dan ‘tidak kenal sesiapa’. Percayalah bahawa sesungguhnya kekerasan hati ini tidak datang sekaligus tetapi sedikit demi sedikit. Bermula dengan alasan-alasan yang kreatif untuk membunuh jiwa pejuang yang akhirnya berkarat hati dan semakin jauh dari kebiasaan dahulunya. Bacaan Al-Qurannya tidak sampai ke hati, solatnya hilang khusyuk serta hilang rasa kekesalan dan disebalik itu, maka, hilanglah sifat mukmin di dalam diri kita.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila di sebut Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibarakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal." (Al-Anfaal: 2)

Allah s.w.t menyuruh kita berwaspada supaya kita tidak jatuh tersungkur di dalam kekerasan hati seperti ini di dalam firman-Nya yang bermaksud;

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan kitab. Kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." (Al-Hadid: 16)

Janganlah kita mengasingkan diri dalam usaha dan kerja dakwah dari kawan-kawan. Sentiasalah tolong menolong dalam hal kebaikan, berpesan kepada kebenaran dan kesabaran serta selalulah memperbaiki hubungan dengan kitab Allah s.w.t. Muhasabah mesti dijadikan rutin harian serta buat teman-teman, peringatkanlah teman kamu tentang 4 perkara agama iaitu, tiangnya, hatinya, kerjanya serta ganjarannya.


JANGAN BERASA SELAMAT

Ingatlah, usah biarkan diri kita berasa selamat. Adalah mustahil untuk kita berasa selamat dari rintangan, kerana perjuangan perlu ada rintangan. Adanya rintangan maka akan mendatangkan usaha untuk saling diperingatkan. Juga adalah mustahil untuk kita berjaya melepasi sesuatu rintangan begitu sahaja kerana ia pasti akan datang sepanjang perjalanan dan darinya akan datang usaha untuk istiqamah dan bersabar. Hindarilah perasaan selamat itu kerana apabila merasai selamat, bermakna kita berjaya mengatasi segala rintangan maka akan datang pula perasaan takbur dan bongkak yang sentiasa ditiupkan oleh tentera yag tidak dilihat dengan mata kepala kita. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan jika kamu berjumpa sesuatu godaan syaitan maka mintalah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al-A'raaf: 200)

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Mlah maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka. Dan teman-teman mereka iaitu orang-orang kafir dan fasik membantu syaitan-syaitan dalam menyesatkan dan mereka tidak henti-henti menyesatkan. " (Al-A'raf: 201-202)

"Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan dunia dan di Akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan membuat apa yang dia kehendaki." (Ibrahim: 27)




Muat turun artikel ini di sini.

No comments: