Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

HALANGAN DI ATAS JALAN DAKWAH


PENGENALAN

Perbincangan kita hari ini telah sampai ke satu fasa yang penting dan harus difahami bersama. Namun begitu, kepentingannya tidaklah mendahului kepentingan-kepentingan aspek lain yang telah kita bincangkan di dalam usrah SISMA ini sejak dahulu lagi. Jalan dakwah ini merupakan satu jalan kemuliaan dan tinggi nilai martabatnya. Jalan ini yang terjamin akan mendapat keredhaan dari Allah s.w.t. Jalan ini juga yang sentiasa dicari oleh setiap peribadi yang ingin berada tinggi di sisi Allah s.w.t. Ya Allah Ya Tuhan Kami, jadikanlah diri kami ini tetap berada di atas dan bersama jalan ini. Bersama berada di dalam gerabak yang telah didahului oleh para Rasul dan para Salihin.

Namun jalan ini, tidaklah seindah dan semudah yang kita pernah lalui atau fikirkan. Ia tidaklah selapang yang kita rasakan. Bahkan ia penuh dengan cubaan dan dugaan yang datang dari pelbagai sudut dan keadaan. Bagi seorang Muslim yang mengenali dan memahami tugas dakwah ini, pasti akan terbeban dengan rasa tanggungjawab serta menjalankan dakwah ini dengan sebaik mungkin. Namun, sejauhmana motivasi ini akan mampu berterusan? Ruangan penerusan kerja dakwah atau lebih mudah kita fahami sebagai istiqamah inilah yang membuka dan membentuk pelbagai rintangan serta halangan di atas jalan dakwah.

DIANTARA RINTANGAN DAN PENYELEWENGAN

Penyelewengan bererti menyimpang dari jalan sebenar. Apabila kesilapan demi kesilapan terus dilakukan dan kita tidak mahu memperbaiki diri dan kembali kepada hal yang benar, maka penyelewengan itu akan menjadikan kita semakin jauh menyimpang dari jalan yang benar. Rintangan pula adalah perkara-perkara yang menjadi sekatan kepada pergerakan kita yang akhirnya memberikan kesan negatif kepada pendakwah itu sendiri. Ia termasuklah dalam soal sekatannya, melemahkan motivasi diri pendakwah, mengambil tindakan hasil dari kekeliruan, memusnahkan usaha dakwah, yang akhirnya semua usaha itu tiada kesan atau bekasnya juga tiada manfaat dan natijah kebaikannya.

Penyelewengan dan rintangan adalah lumrah dalam usaha-usaha dakwah ini. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Alif Lam Mim. Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta". (Al-Ankabut: 1 - 3)

Maka, pasti apabila kita sudah berada benar di atas jalan dakwah ini, apabila kebenaran yang menjadi halutuju pergerakan dan disertakan dengan kesungguhan yang mendalam, maka, isu rintangan dan halangan ini menyusul dan ia amat penting untuk diperbincangkan dan agar menjadi kayu ukur dan perhatian kita semua.


RINTANGAN DAN HALANGAN DI DALAM JALAN DAKWAH

1) Apabila Manusia Meninggalkan Dakwah

Manusia akan mula berpaling dari mereka yang berdakwah. Jika ada dikalangan kita yang berdakwah ini, berasa sedih dan meninggalkan medan dakwahnya kerana dibenci atau tidak mendapat tempat, usahlah diharapkan lagi mereka kerana nescaya mereka tidak akan meneruskan usaha tersebut. Maka fahamilah bersama bahawa ia adalah amat penting bagi kita sebagai pendakwah untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi kesukaran yang pastinya tidak dapat dibayangkan. Kini, kita masih lagi diliputi dan dihujani pujian dari masyarakat. Mereka juga masih menerima kita dalam keadaan yang baik, percaya dan masih mengharap. Namun malangnya bagi kita, usaha kita masih ditahap yang kurang memberangsangkan. Perasaan malu dan merendah diri dalam melaksanakan tugasan agama ini meletakkan kita menjadi amat-amat kurang berkesan. Mungkin kerana kita sentiasa meletakkan diri kita dalam keadaan yang selesa dan senang yang akhirnya menjadikan kita amat lembap dan bermasalan.

Bagaimana mereka, para pendakwah terdahulu, melepasi zaman itu? Bersabar dan istiqamahlah. Jadikanlah Rasulullah s.a.w. sebagai contoh terbaik dalam usaha dakwah ini. Tiada yang mustahil dalam kerja dakwah ini. Bahkan, Al-Kitab juga menjadi saksi perjuangan dakwah para Rasul yang tidak pernah kenal erti putus asa dan mengalah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

“Nuh berkata, 'Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang maka seruanku itu hanyalah menambah meraka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sombongnya. Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka kepada iman dengan terang-terangan kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan cara rahsia". (Nuh: 5 – 9)

Tugas kita hanyalah menyampaikan dakwah ini tetapi bukan membincangkan berapa ramai yang berhasil kita dakwahkan. Firman Allah lagi;

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi hidayah kepada seorang yang kamu kashi, tetqapi Allah memberi hidayah kepada orang yang dikehendakiNya". (Al-Qasas: 56)

Inilah tugas kita dan hidayahnya datang dari Allah s.w.t. Sebagaimana yang kita bincangkan dalam siri usrah terdahulu, kerja dakwah ini adalah suatu kerja yang panjang dan ia tidak harus dianggapi sebagai sesuatu yang mudah dicapai. Ia ibarat tanaman yang memerlukan siraman dan baja yang berterusan. Ia akan subur dan baik sekiranya dijaga dan dipelihara dengan baik.

2) Apabila Dipersenda Dan Di Ejek

Sekali lagi Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik di dalam rintangan ini. Lihat dan kenangi sahaja bagaimana Rasulullah s.a.w. dihina, disimbah air, najis serta herdikan yang tidak upaya kita menerimanya. Namun baginda tetap tenang. Malah Nabi Muhammad s.a.w. berkata, "Hai Tuhanku berikanlah kepada mereka kerana sesungguhnya mereka itu tidak mengetahui". Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru manusia kepada Allah dan beramal soleh dan berkata, ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri’. Tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Dan tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang di antaramu dan dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar". (Fusillat: 33-35)

Maka, janganlah dipersendakan mereka yang melakukan kerja-kerja dakwah dan usahlah bergundah-gulana, kerana itulah punca bermuram durja dan tidak mahu meneruskan usaha. Ingatkanlah semula kata-kata Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, "Jadilah kamu dengan manusia seperti pokok buah-buahan yang mereka lempari dengan batu tetapi pokok itu sebaliknya melempari manusia dengan buah-buahnya".

3) Penyiksaan

Penyiksaan ini kebiasaannya datang daripada pemerintah, kaum atau masyarakat yang berada disekitar pendakwah. Jika dikenang pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, ia datang dari kaum jahiliyyah dan pengalaman teman-teman terdahulu adalah daripada sistem pemerintahan yang menyekat kebebasan mereka dan mereka ini dianggap sebagai ancaman. Namun, mereka yang terdahulu memiliki segala yang besar. Jiwa mereka, kehendak mereka terhadap agama, bahkan kata-kata yang mampu menjatuhkan serta memberikan kesan kepada mereka. Oleh yang demikian, mereka terpaksa bertindak menggunakan cara si penakut. Menggunakan cara pemerintahan zalim dan berkuku besi, menangkap, memukul dan sebagainya. Namun rupa-rupanyanya, perlakulah apapun, tekanlah mereka sehingga ke tahap manapun, mereka masih gagal menyekat mereka. Firman Allah s.w.t;

"Mereka mahu memadamkan nur Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah enggan kecuali menyempurnakan cahayanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir". ( At-Taubah: 32)

Keadaan ini pasti dilalui oleh sesiapa sahaja yang berada di dalam jalan dakwah ini. Firman Allah s.w.t. lagi;

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dam kesengsaraan, serta digoncangkan (bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah bahawa sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat". (Al-Baqarah: 214 )

Persoalannya, adakah kita sudah merasainya? Adakah kita telah sampai ke tahap dicemuh dan dicaci? Atau diberikan ugutan-ugutan bunuh? Kita masih selamat dan diberikan ruangan yang sebaiknya untuk berdakwah. Malangnya, kita telah mensia-siakannya. Bahkan, apa yang menjadi kekhuatiran kita, segala kesenangan kita ini adalah disebabkan kita takut untuk menyatakan kebenaran dan hanya mengharapkan kata baik dari orang lain dan tidak berkata yang benar. Kita berada di dalam bahaya jika itu benar. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;

"Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu (ini)." (Muhammad: 38)

"Barangsiapa yang berjihad maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu dari semesta alam)." (Al-Ankabut: 6)

Sesungguhnya, perintah berdakwah dan berjihad adalah untuk diri kita sendiri. Maka, tabahkan hati dan bulatkan tekad untuk terus berjalan di atas jalan ini. Apabila yang mula memusuhi, semaklah diri sama ada kita berada atas jalan-Nya atau menyimpang dan menimbulkan kesesatan yang nyata. Jika ternyata benar, tabahlah, jika ternyata tersalah, bertaubatlah. Ini semua semata-mata nilai syurga sebagai ganjaran hidup kita, redha Allah s.w.t. dan bukan redha manusia. Mereka tidak mampu berbuat apa-apa jika tidak kerana izin dari-Nya. Firman Allah s.w.t.

"Dan sesungguhnya telah didustakan Rasul-rasul sebelum kamu akan tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan terhadap mereka, sampai datang pertolomgan kami kepada mereka. Tidak ada seorang pun yang dapat merubah kalimah-kalimah (janji) Allah". (Al-An 'aam: 34)

KELAPANGAN DAN KESENANGAN SELEPAS KESUSAHAN

Berkat kesabaran dan kesungguhan dalam menghadapi pelbagai rintangan dalam jalan dakwah ini akhirnya membuahkan hasil usaha yang membanggakan dan memberangsangkan. Laluan berliku yang direntasi ustaz dan ustazah, generasi yang terdahulu, diteruskan generasi baru menggantikan mereka dengan mewarisi pelbagai kemudahan dan kelapangan tersedia hasil dari penat lelah pejuang terdahulu itu, dan mungkin kesabaran dan kesungguhan dalam dakwah itu sendiri. Namun, ini peringkat yang paling berbahaya kerana padanya juga ada rintangan yang besar. Rasa senang dan ringan itu menjadikan para pendakwah khususnya kita kini, terpengaruh dan merasakan apa yang kita lakukan sentiasa benar dan tiada yang salah. Akhirnya kita akan sentiasa membenarkan setiap tindakan dengan apa cara sekalipun dan memilih untuk melakukan yang ringan berbanding yang perlu. Ingatlah apabila datang kesenangan dan kelapangan hanyalah untuk memperbaharui tekad dan azam serta merencana pergerakan lebih baik dan terancang. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A’raaf bermaksud;

"Dan tanah yang baik, tanam-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah". ( Al-A'raaf: 58)

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang