Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

PENYELEWENGAN DI DALAM MASALAH KAFIR MENGKAFIR


PENGENALAN

Perjalanan usaha dakwah ini perlu diteruskan walau bagaimana sekalipun ujian dan desakan yang datang bertamu. Perbincangan ini tidaklah begitu sesuai untuk kita bersama dibincangkan, kerana Alhamdulillah, keadaan jemaah kita ini tidaklah sehingga tahap saling kafir mengkafir. Tetapi, mengetahui serta memahami tentangnya pasti akan dapat membantu kita melalui beberapa cabaran di dalam menelusuri usaha dakwah ini. Keadaan dan sejarah akan berulang dan kita seharusnya mengambil iktibar dari apa sahaja yang berlaku dahulu agar ia menjadi benteng dan persiapan samaada berhadapan atau mengatasi masalah itu.

ADAKAH MENGHUKUM ORANG LAIN ITU WAJIB BAGI SETIAP MUSLIM?

Hari ini, budaya menghukum ini telah berkembang dan menguasai sebahagian besar dari mereka yang meletakkan diri mereka di dalam kerangka gerak kerja jemaah. Permasalahan ini timbul apabila terdapat sebahagian daripada kita merasakan diri mereka lebih baik dari yang lainnya. Ingatlah wahai sahabat-sahabatku, Allah tidak akan bertanya kepada kita, berapa ramai yang telah kita hukum, tetapi berapa ramai yang telah kita dakwahkan? Menghukum menjadikan manusia itu jauh hati sebaliknya berdakwah menjadikan mereka itu sebahagian daripada kita. Biarlah kerja-kerja menghukum itu dikembalikan kepada mereka yang berada di dalam bidangnya kerana kita tidak akan diberikan balasan jika tidak menjatuhkan hukuman sebaliknya jika sekiranya kita masih menjatuhkan hukuman, kita akan terdedah dengan balasan dari Allah s.w.t.

MENGKAFIRKAN SEORANG ISLAM ADALAH SESUATU YANG AMAT BERBAHAYA

Sesungguhnya, menuduh atau mengkafirkan seseorang yang Islam itu adalah suatu perbuatan mencabul kehormatan yang paling mulia. Berkata Imam Bukhari r.a. bahawa Abu Dzar mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, ‘Tidak boleh seorang lelaki menuduh lelaki yang lain sebagai fasik atau kufur kerana tuduhan itu akan kembali semula kepadanya jika yang dituduh itu tidak sedemikian.’

Membuat pertuduhan sebegitu, kepada sesama ummat Islam adalah suatu perilaku yang sia-sia dan akan menyebabkan lebih banyak kerosakan bahkan tidak menurut syariah Islam. Kita boleh teliti dalam perbuatan yang sama berlaku dikalangan ahli masyarakat kita, kesannya, kerja dakwah tidak berlangsung dan seolah-olah mereka itu tiada lagi hak untuk ke syurga. Syurga neraka adalah ketentuan dari-Nya, tugas kita hanya mengajak yang ma’aruf dan mencegah yang mungkar. Jika jelas dihadapan mata, maka harus kita tangani dengan kuasa, jika tidak lidah jika tidak ada upaya juga, bencilah dengan hati.

Dakwah perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Menghukum, bukanlah cara pandangan pendakwah, oleh yang demikian, usaha dakwah itu pasti tidak akan dibantu Allah s.w.t. sekiranya yang kita cari bukan keredhaan dari-Nya. Kesannya amat teruk. Terputus silaturrahim, membenci ciptaan Allah s.w.t. serta menidakkan hak mereka ke syurga. Ayuhlah, kita hindari peringkat awal permulaan penyelewengan ini iaitu dengan membanding siapa lebih baik atau siapa lebih alim.

MANAKAH YANG LEBIH PERLU DIAWASI?

Maka berhati-hatilah, apabila kita menjauhkan diri dengan kelompok yang kita sangkakan mereka tidak berbuat sebagaimana kita berbuat, maka kita sebenarnya secara sendirinya telah memecahkan usaha dakwah itu. Menjauhkan diri dengan sangkaan kita lebih baik dari mereka sebenarnya adalah lambang kecilnya hati seorang pendakwah yang tidak akan menyuburkan usahanya. Marilah kita bersama beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t. kerana antara sebab perpecahan dan kegagalan kita dalam usaha dakwah ini adalah kuasa menghukum ini. Kita sudah pun diingatkan tentang kita pendakwah bukan penghukum.

Sahabat yang dikasihi. Beranikah kita menyatakan orang yang sakit itu telah mati? Walau dalam keadaan dia tidak sedarkan diri dan koma? Melainkan setelah pasti kematiannya. Bahkan usaha kita sebagai teman atau saudaranya, mencari penawar serta berdoa untuk keselamatannya di dunia dan di akhirat? Keutamaan dalam tindakan kita adalah mencari penawar dan sentiasa mendoakan kesejahteraannya. Apabila kita memarahinya, biarlah kerana Allah s.w.t. bukan kerana benci kepadanya.

BATAS PEMISAH ANTARA KUFUR DAN ISLAM

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Serulah mereka supaya naik saksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah", maka jika mereka mengucapkan demikian maka sesungguhnya darah dan harta mereka telah terpelihara."

Ini juga dikisahkan tentang seorang Muslim yang berperang di dalam barisan musyrikin dan mengucapkan dua kalimah syahadah, kemudian dia dibunuh oleh Usamah bin Zaid r.a. setelah dia mengucap dua kalimah syahadah kerana Usamah menyangkanya sebagai satu helah untuk mengelakkan dirinya dari dibunuh, tetapi Rasulullah s.a.w. sangat marah dan kesal terhadap tindakan Usamah. Usahlah keliru wahai sahabat-sahabatku, kerana mereka itu Islam sebagaimana Islamnya kita. Cuma, di dalam persoalan amalan Islaminya, kita serahkanlah kepada Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui, melainkan dengan jelas telah berlaku penyelewengan dan kesalahan dalam tindakan mereka.

MEMECAHKAN OBJEK DAKWAH

Melakukan pertuduhan samaada mengkafirkan atau sekadar memburukkan mereka hanya akan menjauhkan diri mereka dari usaha dakwah kita. Kita sebenarnya memecahkan objek dakwah kita itu sendiri. Maun dari sudut perbincangan kita bersama, sehingga ke hari ini, yang perlu kita perhalusi bersama belumlah sampai ke tahap kafir mengkafir, tetapi mungkin siapa yang kata diri mereka lebih baik dari yang lain. Namun, kerisauan ini harus ada kerana, ia tidak mustahil berlaku kerana inilah bibit-bibit permulaannya. Jangan kita bersama membuka ruang kepada penyelewengan yang amat berbahaya ini. Harus kita fahami bersama bahawasanya, penyelewengan fikrah adalah lebih berbahaya berbanding penyelewengan harakah. Oleh itu penyempurnaan akidah yang perlu diberikan keutamaan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

JALAN-NYA YANG BENAR

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ahzab ayat 23 dan 24 yang bermaksud:

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak mengubah (janjinya)"'. Supaya Allah s.w.t. memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya dan menyiksa orang munafik jika dikehendakiNya atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab: 23 - 24)

Saranan bersama di dalam usrah SISMA kita hari ini, marilah kita bertaubat kepada Allah s.w.t. Bukan kerana permintaan sesiapa tetapi tanda kesungguhan kita di dalam mencari keredhaan Allah s.w.t. Marilah kita saling memperingatkan akan amanah yang Allah berikan kepada kita. Ini tidak bermakna, kita patut berhenti dari melalui jalan ini. Bertaubatlah kerana dikhuatiri apa yang kita niatkan adalah untuk memenuhi permintaan manusia atau memusuhi sesama manusia. Maka, teruskanlah perjalanan selagi ia tidak menyalahi akidah serta syariah Islam. Perhalusi semula perbincangan kita yang terdahulu dalam urusan mengutamakan yang dasar berbanding yang cabang. Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud:

"Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah s.w.t. dengan hujjah yang nyata. Maha Suci Allah s.w.t. dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik". (Yusuf: 108)





Muat turun artikel disini.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang