Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

LAGI TENTANG PENYELEWENGAN ATAS JALAN DAKWAH


Semakin kita bersama membincangkan isu penyelewengan ini, seolah-olah Allah membuka mata kita untuk melihat penyelewengan-penyelewengan yang berlaku berhampiran dengan kita. Wahai sahabat-sahabatku, perbaikilah diri mu. Bukan tujuan kita berbincangan perkara ini tetapi semata-mata ingin mencari kesalahan orang lain, sebaliknya inilah muhasabah. Mereka hidup, kita juga hidup, mereka mati kita juga mati dan mereka akan dibangkitkan, kita juga akan dibangkitkan. Adakah ini satu jaminan jika kita dibangkitkan kita akan selamat jika kita tidak menyampaikan berita ini kepada mereka yang sepatutnya mendengarnya? Ini amanah bersama, mereka Islam kita juga Islam, maka lapangkanlah dada, bukakan mata dan pasang telinga. Ini muhasabah untuk kita, dan marilah kita perbaiki diri dan mereka yang hampir dengan kita. Sedarlah, penyelewengan ini boleh membawa kepada kerosakan fikrah dan tersasar dari gerakan yang sebenar sebagaimana yang kita pikul bersama di dalam ABIM mahupun sayap pelajarnya PEPIAS.

KONTRADIKSI DAN KESULITAN

Secara realitinya, kita semua bersetuju yang masing-masing sedang berusaha keras untuk melihat serta menghidupkan cara hidup yang Islami. Ia cita-cita agung yang paling dimahukan oleh sesiapa sahaja yang meletakkan diri mereka di dalam perjuangan menegakkan agama di dalam diri. Adakah kita mempunyai pilihan? Samaada untuk sekadar duduk dan berbincang tentangnya dan melakukan amalan yang baik itu hanya secara bersendirian bahkan bersikap negatif terhadap kemungkaran atau adakah kita bertindak berdasarkan keyakinan akidah kita kepada Allah s.w.t?

Mewujudkan suasana yang Islami itu wajib. Cara yang pertama itu tidak benar kerana ia tidak mendatangkan kesan kepada persekitaran kita. Namun begitu, tindakan kedua itu ada benarnya. Tetapi ia masih boleh berlaku penyelewengan apabila ia didahului oleh pemuda-pemuda yang bersemangat dengan kerja dakwah mereka. Penyelewengan itu mungkin timbul apabila tiada cara ‘bil-hikmah’ yang diterapkan. Berlakunya tindakan membabi-buta tanpa usul periksa. Mengikut rasa binasa, ikut hati mati. Menyalahkan orang lain dan merasakan diri lebih baik dari mereka. Akhirnya memberikan gambaran yang buruk kepada Islam itu sendiri.

SIAPAKAH YANG PATUT DIPERTANGGUNGJAWABKAN?

Adakah patut kesalahan itu dilemparkan kepada golongan yang menyeleweng ini? Penyelewengan ini sebenarnya didasari oleh mereka yang di dalam jemaah itu sendiri. Tindakan mencari kesalahan pada diri orang lain serta tidak memuhasabahkan diri menjadikan tanzim sesuatu gerakan Islam itu lemah. Mereka yang menyeleweng adalah disebabkan tanzim yang lemah di dalam sesuatu jemaah. Merancang tetapi tidak merujuk, merencana tetapi tidak melaksana. Bimbingan itu seharusnya kembali kepada cara dan bentuk contoh yang ditunjukkan Rasullullah s.a.w serta menelusuri sejarah perjuangannya. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa’: 107)

Firman Allah s.w.t. lagi di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

Ketaqwaan juga menjadi ukuran dalam menentukan tanzim serta kesungguhan dalam menentukan gerak kerja dakwah. Penilaian taqwa hanyalah ada pada Allah s.w.t. tetapi secara jelas, apabila ada dikalangan penggerak dakwah yang melewatkan solatnya secara sengaja, tidak menepati janji, tidak bersungguh dalam melaksanakan amanah, ini adalah petanda longgarnya ketakwaan mereka terhadap Allah s.w.t. Bahkan, mereka meninggi diri menyatakan mereka lebih baik dari orang lain. Inilah merupakan kewajipan kepada para senior. Mengingatkan tentang fikrah dan amal Islami. Peringatkan mereka tentang jalan yang benar di dalam kalimah-kalimah yang hak. Semata-mata mengharapkan keredhaan Allah s.w.t.

SYUMUL DAN BERPANDANGAN JAUH

Para pendokong dakwah seharusnya mengikat diri mereka dengan ruhul jihad dan perjuangan Islam. Mereka semestinya mempunyai pandangan yang syumul (lengkap) dan mendalam dalam usaha bekerja demi Islam. Tidak cukup hanya dengan laungan semangat serta kata-kata indah perjuangan jika ia tidak datang dari kesyumulan Islam itu sendiri. Tugas dakwah ini adalah tugas yang agung. Ia bukan sekadar tugas sebahagian, tetapi ia adalah tugas yang menyeluruh dan universal. Dakwah bersifat sejagat dan ditambahi dengan dunia globalisasi hari ini, menjadikan dunia dapat mengetahui sesuatu dengan amat pantas sekali. Dakwah tidak bersifat tempatan bahkan ia adalah seluruh dunia. Oleh yang demikian, persediaan kita adalah untuk suatu perjalanan yang amat jauh, bersedia dan sentiasa berpandangan jauh.

JALAN YANG BENAR

Semakin benar jalan ini, maka semakin banyaklah rintangannya. Ini kerana, jalan ini tidak didokong oleh mereka yang kecil jiwanya, tetapi mereka harus memiliki hati yang besar dan kental serta mereka tidak mudah menjadikan halangan dan cabaran itu sebagai alasan untuk berhenti berdakwah. Keadaan yang batil perlu diubah kepada perkara yang hak melalui jalan yang benar. Jalan benar yang diakari dengan jalar dan tunjang akidah yang kukuh. Persiapkan generasi mukmin yang benar dan mampu membuat perubahan, membangunkan rumahtangga muslim, dan menjelmakan Islam dalam setiap aspek kehidupan, bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh dalam memenangi pandangan ummat supaya mereka memihak kepada dakwah Islam. Sesungguhnya, masa itu diukur dengan umur dakwah bukan dari umur hidup kita semua.

Saudara seperjuangan sekalian.

Inilah juga jalan yang telah dibuktikan Rasulullah s.a.w. Inilah dasarnya dan inilah jalan yang benar itu. Inilah janji Allah dan ia akan berlaku lagi sebagaimana berlakunya pada zaman Baginda Rasulullah s.a.w sebagaimana firman Allah di dalam surah Ar-Ra’d ayat 17 yang bermaksud:

“Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.” (Ar-Ra’d: 17)

MERUBAH REALITI DAN MENGHAPUSKAN KEMUNGKARAN

Inilah ujian Allah kepada para pendokong dakwah dalam usaha dakwah kita. Merubah realiti bukanlah semata-mata menghapuskan suasana rosak ketika itu bahkan ia lebih daripada sekadar berbentuk fizikal. Cuba bersama kita bayangkan, adakah ketika zaman Rasulullah s.a.w. itu, ummat Islam tidak berupaya untuk menghapuskan berhala-berhala mereka? Adakah dengan menghapuskan berhala-berhala mereka, mereka akan kembali beriman? Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. melakukan dakwahnya dengan cara yang terbaik. Matlamatnya bukan menghilangkan berhala di dalam diri, tetapi mendatangkan rasa takut kepada Allah s.w.t. semata-mata. Perlihatkan akhlak yang mulia serta datangkan rasa sedar dan akhirnya mereka sendiri yang memilih kesedaran untuk diri mereka. Inilah contoh yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w. Kekerasan bukan jawapan, tetapi sekadar pilihan. Firman Allah s.w.t:

“Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan Kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari Akhirat).” (Al-Isra’: 8)

SABAR, BERTAHAN DAN SAMPAIKAN

Kita sedar dan tahu, hidayah dari Allah s.w.t. Jadi usahlah gusar tentang tentangan yang diterima kerana Al-Quran boleh menjadi saksi usaha yang didahului oleh para Rasul. Tugas kita hanya bersabar, bertahan serta teruslah menyampaikan.

JIHAD DAN MENJUAL DIRI KEPADA ALLAH

"Orang yang telah menjual dirinya kepada Allah tidak berhak ke atas orang yang menyiksanya. Sesungguhnya Allahlah yang mempunyai hak ke atasnya sama ada Dia hendak mengampuninya ataupun menyiksanya" – Kata-kata Hukamak

Oleh itu, sepatutnya tidak ada kegusaran dalam jiwa para pendakwah jika mereka sedar dan benar-benar bertakwa kepada Allah. Serahkan hak diri kepada Allah dan lakukanlah hanya keredhaan-Nya, nescaya Allah redha dan akan sentiasa memberikan pendahuluan kepada kita.




Sila muat turun artikel ini disini.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang