Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

PENYELEWENGAN DARI JALAN DAKWAH; MUHASABAHKAN DIRI


Setelah beberapa minggu kita bersama-sama membincangkan serta mengupas tajuk-tajuk awal berkenaan dengan dakwah, marhalahnya serta menilai kesilapan yang dilakukan di dalam proses memenuhi marhalah-marhalah dakwah ini, alhamdullillah, ternyata jalan dakwah ini amat terang dan disuluhi dengan cahaya petunjuk dari pelbagai sumber khususnya Al-Quran dan Sunnah Rasul s.a.w. Berpegang kepada cahaya yang telah Allah s.w.t. sediakan untuk kita, pasti perjalanan dakwah ini akan sentiasa berada di atas jalan yang benar.

Namun sudah menjadi lumrah sebagaimana kita semua fahami, ia tidaklah semudah itu sahaja. Pada kala perjalanan dakwah kita ini disuluhi cahaya, kadangkala, mata kita ini terhijab atau tertutup dari melihat cahaya sebenar dan akhirnya mula menyeleweng dan tersasar dari jalan yang benar ini. Menurut Ustaz Mustafa Masyhur, penyelewangan ini kerapkali berlaku dan pernah pun berlaku dikala ummat sedang bangkit untuk menegakkan kebenaran. Ia disebabkan oleh keghairahan pendakwah-pendakwah muda yang ingin membuat pembaharuan serta penambahbaikkan yang akhirnya membawa kepada perubahan niat perjuangan mereka sendiri. Ramai juga dikalangan mereka yang tersalah sangka kepada orang yang mereka ikuti. Nampaknya seperti memperjuangan Islam sebagai cara hidup, tetapi rupa-rupanya sekadar pada nama dan kata-kata tetapi tidak dari segi tingkahlakunya.

Rujukilah abang-abang kita dalam usaha dakwah ini dan bersabarlah agar kita semua tidak tergelincir disebabkan kurangnya pengetahuan dan penerangan tentang perkara-perkara yang tidak kita ketahui. Usaha-usaha sebegini amat penting. Ia akan memberikan kesan besar kepada generasi seterusnya kerana ia adalah untuk memperbaiki unsur-unsur di dalam diri kita sebelum berusaha memperbaiki dan merubah unsur-unsur yang terdapat pada musuh-musuh kita. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-An’aam ayat 153 yang bermaksud;

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa” (Al-An’aam: 153)

Penjelasan Allah itu amat mudah difahami. Lorongan Allah s.w.t. kepada kita untuk berada di jalan dakwah yang penuh dengan mehnah dan tribulasi ini merupakan ruangan untuk kita mempersiap diri dan mengukuhkan kefahaman kerana ia adalah jalan yang lurus dan menuju kepada cita-cita yang benar InsyaAllah. Bahkan, pilihan selain dari jalan-Nya ini, akan menyebabkan kita semua berpecah belah dan saling bermusuhan sesama sendiri yang akhirnya, kesejahteraan dunia yang kita harapkan tidak kesampaian bahkan akhirat jua yang kita korbankan. Perjuangan untuk menuju ke syurga ini juga telah Allah perjelaskan dan mohon dipertegaskan di dalam diri kita dengan firman-Nya di dalam surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud;

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain" (Yusuf: 108)

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian.

Perjelaskanlah kedudukan dan ketegasan di dalam diri bahawasanya, kerja dakwah ini hanya untuk Islam, mengemis kepada ummat manusia lain untuk kembali hidup berTuhan dan rujukilah Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. serta kehidupan dan persekitaran yang menjadi bukti jelas dan nyata.

FAKTOR-FAKTOR PENYELEWANGAN DALAM DAKWAH

Terdapat beberapa faktor yang dibincangkan oleh Ustaz Mustafa Masyhur di dalam bukunya Jalan Dakwah. Ia amat bersesuaian dengan senario kita pada hari ini, yang mengakui berada di dalam jemaah Islam, bekerja dan menghabiskan segala upaya demi menegakkan Islam di dalam diri kita. Semngat sahaja tidak mencukupi rupanya. Faktor utama yang menyumbang kepada penyelewangan adalah disebabkan oleh kekosongan jiwa agama. Ini jelas, apabila yang berjuang tidak punya pegangan yang jelas dan fahaman yang baik tentang agama Allah ini, maka mereka juga membawa perjuangan kosong yang hanya dipenuhi dengan keseronokan dan kesenangan.

Hasilnya perjuangan mereka telah hilang kanun atau undang-undang dalam strategi dakwah mereka. Ia bertitik tolak dari keadaan jahil dan merasakan semangat serta cita-cita memadai tanpa mahu memperbaiki diri sendiri. Kita juga sedar dan harus merasa tanggungjawab kerana semangat mereka itu tiada bimbingan daripada mereka yang lebih baik pengetahuannya. Kelemahan ini jelas dapat kita lihat dipersekitaran kita sendiri. Rakan, teman, sahabat yang pada satu ketika dahulu kita mereka begitu seronok kerana mempunyai ramai teman yang berfikiran dan bertindak sebagaimana kita. Tetapi bagaimana kita dan mereka hari ini? Konsep perjuangan atas jalan dakwah ini telah berubah kerana hanya disebabkan oleh mereka-mereka yang tidak faham dan dosa kita pula apabila hanya menyatakan kesalahan tetapi tidak sama-sama memperbaiki mereka. Hidayah adalah hak mutlak Allah s.w.t. dan bukan kita. Kita tidak harus menuding jari dan mencari salah bahkan sepatutnya bersama-sama berusaha mencari pintu keluar dan sentiasa saling nasihat-menasihati.

PENYELEWENGAN YANG BERLAKU

Ilmu merupakan satu keperluan yang tinggi dalam usaha menyampaikan dakwah dan peringatan kepada seluruh ummat manusia dari dulu sehingga kini. Maka, merasakan diri sudah cukup berilmu merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima pakai sebagai seorang pendakwah. Akhir-akhir ini, ramai dikalangan teman-teman dan sahabat-sahabat kita sudah mula menolak dan tidak mahu menerima sebarang nasihat atau peringatan yang disampaikan kepada mereka. Bahkan, mereka lebih mudah untuk menjauhkan diri mereka dari si pemberi peringatan ini. Oleh yang demikian, timbullah di dalam hati mereka perasaan merendah dan memudahkan pandangan dan urusan orang lain. Kedangkalan ilmu ini juga melahirkan corak-corak perjuangan yang hanya tertumpu kepada sesuatu bidang sahaja. Kata mereka, “Kita sudah melakukan apa yang tidak upaya mereka lakukan”. Akhirnya perasaan kelazatan itu menutup keupayaan lain yang sebenarnya dapat dibangunkan dan diterjemahkan ke dalam hidup seorang pendakwah.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah sekalian.

Marilah bersama kita belajar dan tuntut ilmu-ilmu yang berguna dan memberikan manfaat lebih besar kepada ummat dan diri kita sendiri. Usahlah kita melampaui batas dalam usaha ini dan bersederhanalah. Jangan pula kerana ghairah menuntut ilmu akhirnya kita melupakan kerja dakwah dilapangan. Wujudkanlah perasaan bersangka baik dengan apa sahaja ilmu yang kita terima dan ketahuilah pastinya ia adalah ilmu yang terbaik berbanding dari apa yang belum kita ketahui. Cantumkan pengetahuan itu dengan amal kerana pengetahuan sahaja menjadikan ia maklumat, amal sahaja menjadikan ia sesuatu yang sia-sia, tetapi apabila dicantumkan pengetahuan dengan amal menjadikan ia ilmu dan dari Dia datanglah faham. Sebarkanlah. Berlapang dadalah dan janganlah dibekukan kefahaman itu. Letakkanlah nilai manusia iatu pada tempatnya, bak penyataan Muhammad Natsir di dalam penulisannya, ‘Wahyu Memanggil Fitrah dan Fitrah Menghajatkan Wahyu’.

Apabila ilmu menjadi bekal yang sentiasa diperkembangkan, maka, ummat dan ahli jemaah kita sendiri tidak akan lagi memperbincangkan tentang perkara cabang bahkan dasar yang menjadi keutamaan. Penyelewangan perkara cabang dan dasar ini berlaku apabila terdapat sesetangah daripada kita, pendakwah ini yang lebih mudah melihat perjuangan yang hasilnya dapat dilihat berbanding yang disembunyikan Allah s.w.t. Mereka tidak mahu menilai dari sudut hatinya tetapi fizikalnya. Apabila yang dikejar adalah keseronokan tetapi bukan keberkatan. Usahanya lebih kepada persahabatan dan persaudaraan berbanding ikatan hati yang jitu kerana Allah s.w.t. Sifatnya lebih kepada Islam yang kepura-puraan berbanding kepercayaan dan sifat Ihsan kepada Allah s.w.t. Akhirnya amal mereka tidak tertumpu kepada keredhaan Allah s.w.t. tetapi hanya mengharap keredhaan manusia semata-mata. Akhirnya, sesebuah gerakan Islam itu akan dicemuh dan mereka lari darinya. Ingatlah sahabat-sahabatku, fokus kita adalah Allah s.w.t. dan akidah yang benar serta cara hidup Islam yang terbaik.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu”. Mesej ini sangat mudah untuk difahami. Allah tidak akan jemu dengan apa yang kita lakukan untuknya samaada dosa atau pahala, tetapi kita akan lebih mudah berasa jemu apabila kita lakukan sesuatu tidak mendatangkan hasil atau mendapat penghargaan orang lain. Pesan Ustaz Mustafa Masyhur, di dalam usaha dakwah usahlah terlalu keras dan bersusah payah. Ini akan membebankan kita. Keutamaannya adalah istiqamah. Nafsu ini diibaratkan sebagai anak kecil, apabila diberikan susu secara cuai, mereka akan terus memintanya sehinggalah berusia 9 atau 10 tahun. Tetapi jika dari awal ianya dibendung pasti tidak sukar.

Nafsu yang tidak dididik akan melahirkan diri yang terburu-buru serta berlewahan dari segi tindakan dan amalan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud;

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah: 286)

Peringatan Allah s.w.t. ini menunjukkan kemampuan manusia itu tehad dan bergantung kepada ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita. Tidak upaya menanggung bukan bermakna tidak berbuat apa-apa bahkan perlu melakukannya pada kadar yang termampu dan di dalam ayat ini Allah s.w.t. juga memerintahkan kepada kita supaya menyerah diri atas perintah Allah tadi. Namun, ramai dikalangan sahabat-sahabat kita apabila diberikan amanah dakwah ini, mereka lakukannya dengan terburu-buru dan ada sebahagiannya yang berlewah-lewahan sahaja. Melakukan ia bak melepaskan batuk di tangga. Allah s.w.t. sebutkan di dalam ayat di atas, pahala untuk kebaikan dan dosa untuk kejahatan. Jalankan amanah dakwah itu kebaikan dan pahala untuknya, bahkan menyatakan bahawa dakwah itu amanah, tetapi perbuatannya jauh dari apa yang diperkata, nescaya Allahlah yang Maha Menghitung.

Terburu-buru dalam erti kata dakwah adalah tidak mengikut perincian dan perancangan yang ditentukan oleh jemaah. Terdapat sebahagian dari kita yang melihatkan usaha dakwah ini tidak berkesan, lantas mengambil jalan pintas untuk melibatkan diri dalam ruangan yang juga dakwah tetapi terlalu optimis yang usaha dakwah mereka akan berjaya. Mereka menjangkakan tindakan itu wajar dan patut sedangkan mereka lupa bahawa tunjangnya mungkin mereka rasakan ada iaitu akidah dan iman, tetapi yang menuruti keduanya adalah persatuan dan perpaduan dari sudut fikrah dan tindakan. Kemudiannya barulah datang kuasa dan persenjataan, itupun jika sekiranya amat-amat perlu.

Terburu-buru ini lebih jelas dalam konteks ahli gerakan yang memilih politik berbanding tarbiyah. Apa yang berlaku, mereka mula merasakan tarbiyah ini suatu tugas hanya untuk pendakwah dan politik hanya kepada mereka yang berada di dalam salurannya. Mereka lupa bahawa politik juga memerlukan tarbiyah yang benar dan jitu dan semestinya berasaskan akidah yang kuat imannya terhadap Allah s.w.t. Pemikiran mereka mula dicorak berdasarkan pemikiran politik bukan lagi tarbiyah. Kuantiti lebih bermakna pada mereka berbanding kualiti. Teriakkan dan omongan kosong lebih perlu berbanding berkata benar. Mendapat sokongan manusia itu lebih bermakna dari keredhaan Allah. Berkata apa yang manusia hendak dengar dapat meraih sokongan berbanding mengingatkan manusia tentang perkara yang benar. Inilah bezanya tarbiyah dan siasah. Ingatlah sahabat-sahabatku, hari ini gerakan Islam bukan tiada kuantiti, tetapi tiada kualiti.

Sahabat-sahabat seperjuangan.

Manusia memang sering melakukan kesalahan dan kadang-kadang ada juga sifat benarnya. Apa yang utama buat kita semua adalah berpegang kepada tali Allah. Jika ada yang bersalah, tegur dan betukanlah. Jika ada perbezaan pendapat, maka baiki dan berlapang dadalah. Oleh sebab itulah, di dalam perbezaan pendapat, ada adab dan sentiasa meletakkan pergantungan itu kepada Allah s.w.t. Inilah ertinya dakwah dan manusia. Keutamaan yang wajar kita berikan adalah dari sudut tolong-menolong dan bahu-membahu. Perbezaan itu mematangkan dan mendewasakan kita jika paksinya adalah kerana Allah s.w.t. dan kita mencari kebenaran. Tetapi jika ada niat untuk menang atau menjaga kepentingan kemudian disebarkan untuk mendapatkan perhatian, itu adalah dakwah yang membuang masa kerana selepas itu kita terpaksa menghabiskan masa untuk mengatasi perpecahan di dalam gerakan dakwah itu.

Fahamilah dengan benar peranan dan tanggungjawab kita. Celikkan mata, lapangkan hati, bukakan minda kita supaya dapat melihat dan memerhati ciri-ciri penyelewangan ini di dalam wadah yang kita sertai. Keluar bukan bererti selamat, berhenti bukan bermakna terlepas dari amanah. Bahkan akan ditanya akan ia kepada kita tentang tanggungjawab dan peranan, adakah kita rasa sudah ada jawapannya atau sekarang baru kita terfikir tentangnya? Segala yang baik itu datang dari Allah s.w.t. dan yang lemah itu datang dari diri sebagai manusia biasa, haknya Allah s.w.t. berikan kepada kita untuk melakukan pilihan.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang