Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

PENJELASAN DAN PENERANGAN MARHALAH ‘TA'RIF’


Kita menyambung perbincangan kita kepada tajuk seterusnya selepas membincangkan pendahuluan atau pembukaan tajuk ‘Jalan Dakwah’. Kembali kita mengingatkan semula, bahawasanya, di dalam menelusuri jalan dakwah yang menjadi pilihan hidup kita bersama, terdapat tiga peringkat yang wajib berjalan seiringan. Tahap pertama adalah pengenalan (Ta’rif), kedua tahap pembentukan (Takwin) serta ketiga tahap perlaksanaan (Tanfiz). Hal ini harus dikongsikan dengan sebaik mungkin. Ia mempunyai ciri-ciri serta nilainya yang tersendiri pada setiap tahap atau marhalah dan seharusnya menjadi rujukan untuk persiapan generasi kini dan akan datang.

PENGENALAN DAKWAH (TA’RIF)

Peringkat pertama ini merupakan peringkat yang amat penting dalam melalui jalan dakwah yang sebenar. Ianya akan mempengaruhi tahap-tahap yang seterusnya. Ini bermakna, rosak bermakna rosaklah pada marhalah atau tahap yang kedua dan ketiga. Usaha-usaha yang dilakukan dalam marhalah satu ini seharusnya sahih, benar dan sejahtera.

KEMURNIAN DAKWAH

Usaha dakwah adalah amat perlu dilaksanakan dalam suasana dan keadaan yang sangat murni dan baik. Kemurniaan itu bermaksud, segala usaha dakwah ini seharusnya bersih dari sebarang campur-aduk pandangan atau matlamat perjuangannya. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak, baik penentang agama Islam itu sendiri bahkan yang lebih dikhuatiri adalah musuh-musuh yang datang dari dalam selimut sendiri. Pada hari ini, perjuangan serta usaha dakwah ini telah dicampur-adukkan dengan pandangan politik, kesamarataan yang disitilahkan juga sebagai adil, keadilan yang berlatarbelakangkan rujukan kitab hak asasi manusia dan pelbagai lagi kerosakan perjuangan dakwah yang akhirnya menyesatkan serta melahirkan para da’i yang menyimpang dan berjalan luar dari jalan dakwah sebenar.

Ini lebih membimbangkan apabila usaha dakwah ini disaingi oleh bentuk-bentuk pemikiran yang merosakkan yang dijana oleh musuh-musuh Islam sehinggakan mereka tidak lagi meletakkan Islam sebagai cara hidup. Kemurnian sebenar dalam urusan dakwah ini perlu kembali menjadikan Al-Quran sebagai dustur atau rujukan utama yang mana ia juga merupakan mukjizat dari Allah s.w.t. dengan janji-Nya bahawa ia akan terpelihara sehingga ke hari kiamat. Al-Quran perlu kembali menjadi keutamaan dalam diri setiap pendakwah dan dituruti dengan amalan dan tinggalan dalam sunnah Rasulullah s.a.w. Kita mesti kembali kepada kefahaman yang benar sebagaimana kefahaman para salafussoleh di zaman Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Ar-Rasyidin r.a.

Kefahaman ini turut telah diberikan pesanan oleh Imam Hassan Al-Banna. Antara pesanannya yang utama adalah pendakwah bukan datangnya dari golongan ‘qadhi’ atau penghukum. Ini kerana pandangan seseorang pendakwah diisi dan dipenuhi dengan perasaan kasih sayang sehinggakan mereka yang melakukan maksiat atau kesalahan adalah orang yang penting untuk diselamatkan dan diberikan peringatan. Oleh yang demikian, dengan apa yang berlaku pada hari ini, dengan pelbagai gejala dan kerosakan, maka sebagai pendakwah, tugas kita pasti bertambah dan memerlukan lebih banyak pengorbanan serta menyebarkan lebih luas makna kasih dan sayang. Mereka wajib difahamkan bahawa dengan cara hidup Islam sebenar dan bukan tugas kita untuk mewujudkan dinding serta tabir kebencian serta rasa takut mereka terhadap pendakwah itu sendiri melalui kekerasan mahupun tindakan yang mempersendakan mereka.

DAKWAH SEMPURNA DAN MENYEMPURNAKAN

Tugasan kita adalah untuk menyampaikan dakwah agama yang telah sempurna. Usaha dakwah yang sempurna ini telah didahului oleh Rasulullah s.a.w. Contoh yang wajib diteladani tetapi malangnya sudah suram dan tidak diikuti. Apa yang telah ditunjukkan oleh Ar-Rasul s.a.w. adalah gambaran Islam sebagai satu cara hidup yang aman, selamat dan penuh dengan kesejahteraan. Permulaan perjalanan dakwah Baginda s.a.w. penuh dengan pelbagai ranjau yang dilalui dengan tabah dan sabar. Begitulah tulusnya Baginda s.a.w. bahkan berdoa, “Wahai Tuhanku, berilah hidayah kepada kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Hidup manusia merupakan satu lambang kesatuan yang sempurna lagi menyempurnakan. Islam pula datang untuk menyempurnakan cara hidup mereka. Islam merupakan pelengkap dalam kehidupan serta ia juga perlukan kelengkapan yang Allah s.w.t. seperti fahaman-fahaman ideologi yang pelbagai yang diciptakan oleh manusia sendiri. Oleh demikian, berlakulah tugas sebenar sebagai seorang Muslim dan ia perlu diterjemahkan dengan selengkapnya tanpa sebarang pemecahan dan penyelewengan. Dasar utama dalam dakwah Islam yang sempurna lagi menyempurnakan dicatatkan oleh Al-Imam Hassan Al-Banna di dalam ‘Rukun Fiqh’ yang beliau menyatakan;

“Islam itu satu nizam, satu sistem hidup yang lengkap, syumul dan merangkumi setiap realiti kehidupan. Jadi Islam itu adalah daulah dan tanahair atau pemerintahan dan ummah. Ia adalah akhlak dan kekuatan serta rahmah dan keadilan, ia adalah kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Ia adalah harta benda atau usaha dan kebudayaan, Ia adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah sebagaimana ia sebagai akidah dan ibadah.”

PARA PENDAKWAH

Pendakwah seharusnya memiliki serta beriltizam untuk membina sifat-sifat asasi peribadi da’i yang sahih dan benar. Ia adalah penting dalam usaha untuk merealisasikan cita-cita dalam memperkenalkan dan memperkembangkan kerja-kerja dakwah. Satu dari sifat yang utama adalah menjadi contoh dan teladan yang baik bagi setiap mereka yang melihat. Maka ia mestilah bermula dari diri yang menunaikan segala rukun Islam, mengikuti sunnah dan cara hidup Rasulullah s.a.w. serta menjauhi perkara yang dilarang Allah s.w.t. Ia juga harus diterjemahkan ke dalam kelompok keluarga serta masyarakat.

Keikhlasan pendokong dakwah dalam melaksanakan tugas mereka juga merupakan satu faktor penting. Ia memerlukan kebulatan hatinya hanya kerana Allah s.w.t. bukan atas dasar kepentingan dan keuntungan dunia yang amat kecil. Keikhlasan itulah melahirkan kata-kata yang mampu menembusi hati serta mendatang kesejahteraan dalam jiwa mereka yang mendengar. Pendek kata, bagi seorang pendakwah, cakap itu dakwah, jalan itu dakwah, hidupnya juga dakwah. Ia semuanya adalah kerana dan bersama dakwah.

Untuk meningkatkan keberkesanan dalam dakwah, pendakwah haruslah mempunyai pengetahuan dan ilmu yang luas. Ia harus hadir melalui pembacaan, mengikuti perkembangan semasa serta memahami pelbagai ideologi dan aliran pemikiran semasa. Hasilnya, mereka akan menggambarkan Islam dengan sebaik-baiknya dan mereka akan dapat menyebarkan dakwah dengan lebih berkesan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl ayat 125;

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Setiap da’i harus mengetahui tahap pemikiran masyarakat yang didakwahkan serta menyesuaikan apa sahaja maklumat yang disampaikan. Selain itu, haruslah mereka tahu maksud dan tujuan pada setiap kata dan tingkahlaku mereka. Setiap kerja dakwah mestilah dimulakan dengan perkara akidah dan iman dan dielakkan daripada perkara-perkara cabang sehinggalah menjelaskan cara hidup Islam yang sebenar. Tugas menyampaikan dakwah ini adalah tugas untuk menyeru manusia kembali ke jalan Allah yang dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Namun kerapkali berlaku keadaan dimana usaha-usaha dakwah ini seolah-olah telah terpedaya berdasarkan kepentingan-kepentingan lain yang datang bersama usaha dakwah tersebut. Maka diperingatkan wahai para du’at, usahlah terpedaya dan alpa dengan kejayaan yang kamu terima kerana sesungguhnya golongan yang mengikuti kamu ini adalah amat sedikit.

Walau sedikit, usahlah berputus asa kerana inilah yang dijanjikan Allah s.w.t. dan yang telah dilalui oleh para Rasul dan sahabat-sahabat Baginda serta orang-orang soleh selepasnya. Usah pula bersedih sekiranya usaha-usaha itu diganggu. Jika dibandingkan usaha itu dengan apa yang telah dilalui mereka yang terdahulu, nescaya kita hanya melalui sedikit dari apa yang telah mereka lalui. Jika kita berhenti, bayangkanlah jika mereka yang terdahulu berhenti dari menyampaikan dakwah hanya kerana diganggu, pasti hari ini Islam tidak dapat dirasai. Pesan Al-Imam Hassan Al-Banna, “Jadilah kamu dengan manusia itu sepohon pokok buah-buahan, mereka melemparnya dengan batu dan dia (pokok) melemparkan mereka dengan buahnya.”

12.49 pagi
19 Oktober 2010
Rumah PKNS, Taman Malawati, Kuala Selangor

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang