PANDANGAN DAN PENERANGAN MARHALAH AT-TAKWIN


PANDANGAN DAN PENERANGAN MARHALAH AT-TAKWIN


Sebagaimana yang telah dibincangkan di dalam siri usrah kita yang terdahulu, bahawasanya terdapat 3 peringkat asas dalam usaha kerja dakwah yang disebutkan sebagai marhalah yakni marhalah al-ta’rif (pengenalan), al-takwin (pembentukan) dan marhalah al-tanfiz (perlaksanaan). Perbincangan dalam usrah yang lalu yang mengkhususkan perbincangan kepada marhalah pertama telah memperlihatkan perlunya sifat benar dalam menyampaikan dakwah kepada mereka yang mahu turut serta dan menyumbang dalam usaha dakwah dan penyebaran agama Islam yang mulia ini.

Peringkat seterusnya adalah peringkat at-takwin iaitu peringkat pembentukan. Sebelum kita mengupas dan membincangkan marhala kedua ini, adalah menjadi tanggungjawab dan kemestian untuk kita, bagaimanakah persiapan untuk kita memenuhi kriteria di dalam marhalah kedua ini. Peringkat pengenalan adalah asas dalam pembentukan peribadi yang sesuai untuk meneruskan kesinambungan di dalam marhalah yang kedua. Ia perlu diwujudkan ciri-ciri tersebut memandangkan, pada tahap kedua yakni marhalah at-takwin ini, ia akan menguji benar persediaan dan persiapan pejuang dan pendakwah itu sendiri.

Antara fokus persiapan mereka dari marhalah al-ta’rif memasuki marhalah at-takwin adalah dari sudut persiapan dan penumpuan matlamat sebenar perjuangan dakwah dan kehidupan itu sendiri. Kerapkali kita lihat berlaku di dalam jemaah kita ini, mereka yang berjuang tetapi tidak jelas matlamat juang yang mereka letakkan. Apakah keutamaan mereka melahirkan lebih ramai pejuang agama Islam atau meramaikan orang yang hanya menempel di dalam sesebuah jemaah Islam itu sendiri? Adakah perjuangan kita dan mereka itu hanya untuk melihat rakan-rakan ini berjuang atas nama Islam atau berjuang untuk Islam? Akhirnya usaha juang agama ini hanya jatuh kepada orang ramai yang hanya pandai bercakap tetapi tidak berbuat apa-apa. Sekiranya mereka itu buat pun, mereka tidak bersungguh-sungguh dan berjihad untuknya. Jika mereka lakukannya bersungguh-sungguhpun, kesungguhan mereka tersasar dan tersimpang dari perjuangan yang sebenar. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saf ayat 3;

“Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”


Selain itu, apabila masuk ke marhalah yang kedua ini juga adalah bersangkutan dengan amanah yang besar dan usaha untuk menyebarkan agama yang agung. Ia bukanlah perkara mudah dan pastinya akan datang ujian yang besar dan memerlukan ketabahan yang jitu. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ankabut ayat 2 hingga 3;

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta”


Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-Baqarah ayat 214;

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”

Jelas sekali, di dalam jalan perjuangan pada tahap yang kedua ini, memerlukan mereka yang berjuang itu keupayaan untuk bertahan dan istiqamah dengan perjuangan yang dipikul dan dibebankan untuknya. Kebiasaannya apabila datang ujian-ujian yang besar ini, maka akan terserlahlah keikhlasan perjuangan mereka dan itu secara tidak langsung akan menampakkan kelayakan sebenar mereka untuk berada di dalam perjuangan ini dan memikulnya. Pada sudut pandangan ini jika diteliti dan disepakati, melahirkan pejuang ini bukan sekadar semangat retorika mereka sahaja tetapi bersama itu datang juga jiwa pejuang yang jitu dan mampan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah ayat 44;

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”


Jika kita nilai rakan-rakan seperjuangan kita, kita khuatir, mereka ini akan ditelan usaha yang sia-sia sahaja, nampaknya enak di dunia, tetapi rupanya kerosakan dan bebanan apabila berhadapan dengan Allah s.w.t. pada masa akhirat yang mendatang.

Jiwa pejuang perlu dilengkapi dengan pengorbanan yang mencakupi hal kepentingan diri, harta, masa dan juga kesihatannya. Dakwah perlu ada dalam diri sehingga ia menguasai akal dan fikiran kita, sebati dengan jiwa dan hati kita, menjadi darah dan daging kita serta mampu kita untuk membezakan antara yang hak dan yang batil. Dasarnya tidak lain dan tidak bukan, keimanan yang mendalam terhadap agama Allah dan usaha dakwah islamiyah itu sendiri. Inilah persoalan kualiti yang kerapkali kita bincangkan di dalam gerakan kita hari ini. Persoalannya, adakah semua usaha dakwah itu sebati dalam diri kita seperti yang digambarkan atau sebenarnya hari ini kita Cuma menempel dan bersama perjuangan tetapi tidak di dalamnya?


PERSEDIAAN MARHALAH KEDUA DAKWAH

Persiapan untuk berada di dalam marhalah kedua ini harus disulami dengan marhalah pertama. Maknanya, marhalah pertama dan kedua mestilah seiringan memandangkan proses itu harus berlaku secara serentak. Ini bermakna, proses pengenalan perlu berterusan disamping perlu adanya perancangan strategik untuk bersama dan memulakan fasa kedua. Apa yang berlaku dalam fasa pertama atau marhalah al-ta’rif itu adalah proses memberikan kesedaran mengenai agama dan tanggungjawab terhadap agama Allah itu. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11;

“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya”


Ini menunjukkan bahawa, apabila ahli gerakan itu telah mendapat kesedaran, maka perlu ada dorongan untuk ke peringkat seterusnya yakni beramal atau mengambil tindakan. Pesanan Imam Hassan Al-Hudhaibi, “Tegakkan Daulah Islamiyah di dalam hatimu, supaya ditegakkan di atas bumi kamu.”

Dorongan Imam Hassan Al-Hudhaibi ini menampakkan keperluan bahawa menggerak dan motivator ke arah tindakan itu adalah bermula dengan diri sendiri. Mulai dengan pembinaan akidah tauhid sehinggalah melahirkan halawatul iman. Aspek perubahan ini perlu dijelaskan di dalam marhalah kedua iaitu pembentukan itu sendiri. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ar-Ra’d ayat 17;

“Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan”


Maka, seseorang yang akan dipersiapkan itu, pasti akan menuju ke arah melahirkan seorang yang sejahtera dari sudut akidahnya, sihat ibadah mereka, teguh akhlaknya, terdidik fikiran, kuat tubuh badan dan berusaha, sanggup berdikari dan berkorban, ada usaha dan upaya yang kuat untuk memerangi hawa nafsu juga tetap disiplin dengan masa mereka serta urusan dan tanggungjawabnya. Hasil dari pembentukan diri dan peribadi ini akhirnya akan memberikan natijah kepada usaha membina keluarga, masyarakat serta keluarga Islami. Oleh sebab itu juga, Imam Hassan Al-Banna memberikan garis panduan dan fokus yang utama di dalam pembentukan peribadi seseorang ahli gerakan itu. Beliau memberikan keutamaan kepada individu yang mempunyai tahap faham agama yang tinggi dan berdasarkan Al-Kitab dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Penyelewangan amat jelas berlaku apabila rujukan mereka bukan lagi Al-Kitab dan qudwah yang mereka ikuti bukan lagi Nabi Muhammad s.a.w. Kedua, dari sudut darjah keikhlasan yang besar terhadap kerja dakwah itu sendiri. Ia mestilah bukan bersifat ganjaran, kepentingan diri dan mengutamakan kerja dari berkata-kata. Kita juga amestilah membulatkan diri untuk dakwah yang mana kita membebaskan diri kita dari sebarang fahaman-fahaman yang lain. Ketiga, usaha yang dibentuk di dalam diri pejuang dan pendakwah itu juga haruslah bersifat melengkapkan diri untuk berjihad yang mana kebanyakannya adalah pengorbanan meninggalkan kemuliaan dan kesenangan jiwa, harta, waktu dan usaha. Harus diingat, perjuangan dan jihadnya bukanlah dalam satu tempoh yang ditetapkan, tetapi dalam jangkamasa yang sehingga ditentukan masa kita untuk menghadap Allah s.w.t.

Usaha yang keempat adalah wajib untuk kita yang berada di dalam jemaah ini beriltizam dengan mematuhi amanah dan perintah yang diberikan oleh pimpinan selagi mereka tidak mencanggahi perintah Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Ini termasuk samaada di dalam keadaan senang atau susah mahupun suka atau benci. Ikuti kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 246 sehingga 252.


SYARAT-SYARAT YANG PERLU KITA ADAKAN SEBAGAI PENDAKWAH

Pertama, pastikanlah amalah kita ini berpaksikan kepada Allah dengan sepenuh keikhlasan di dalam jiwa. Hakikat keikhlasan menurut Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’-Ulumuddin menjelaskan bahawa ikhlas ialah sesuatu yang bersih dari campuran yang dicemarinya dinamakan sesuatu yang murni. Manakala menurut pandangan al-Fudhail beliau berkata bahawa, “Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’ dan beramal kerana manusia adalah syirik sedang keikhlasan itu ialah bila Allah s.w.t. membebaskan kamu dari kedua sifat itu.”

Kedua, kita harus berusaha dalam diri kita untuk menjadi teladan dan contoh terbaik kepada orang yang melihat kita. Qudwah Hasanah ini telah ditonjolkan dan dibuktikan kejayaan dakwah Baginda Rasulullah s.a.w. melaluinya. Ketiga adalah metodologi yang dipelbagaikan agar penyampaiannya sampai ke setiap peringkat lapisan masyarakat. Kreativiti di dalam menggunakan persekitaran sebagai ruang dakwah adalah yang paling berkesan sebagaimana yang telah dibuktikan di dalam sejarah dan usaha dakwah mereka yang terdahulu.

Keempat pula, pemilikan ilmu dan penguasaan pemahaman tentang perkara dan isu yang pelbagai juga adalah senjata ampuh yang perlu kita tingkatkan bersama. Ia termasuklah memperhalusi permasalahan di dalam masyarakat setempat dan kelompok yang hampir dengan kita. Ilmu psikologi juga perlu bagi memahami konteks dan diri mereka yang menjadi mad’u kita dalam usaha dakwah. Kelima, pula berkenaan dengan perkara yang lemah lembut di dalam usaha-usaha dakwah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesiapa yang memerintah kepada yang makruf, maka hendaklah berurusan dengan cara yang makruf,” atau dalam riwayat yang lain yang maksudnya, “Sesiapa yang menyuruh perkara yang makruf maka hendaklah bercakap dengan lemah lembut.” Sifat sabar dan cekal juga perlu dijadikan tunjang kepada usaha dakwah itu sendiri. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Luqman ayat 17;

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”


Keenam, seorang pendakwah perlulah faham bahawasanya usaha dakwah ini adalah untuk mengembalikan Islam sebagai yang haknya dan bukan mencampuradukkan keperluan dan kepentingan beberapa pihak dan peribadi. Ciri-ciri ini adalah sebahagian dari perbincangan yang boleh kita aturkan dan perbaiki jika kita sebagai pendakwah ini masih diperingkat perubahan dan pembaikkan atau islah. Semoga persiapan ini dapat kita adakan dalam melalui proses yang kedua sebelum tiba pada peringkat terakhir dalam usaha dakwah kita.


4.59 petang
25 Oktober 2010
PKM A, Kuala Selangor


Penulis juga adalah;
Perunding Utama Latihan dan Motivasi IQ Class Management (http://iqclassmanagement.blogspot.com)
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia (BBM)
Setiausaha ABIM Cawangan Negeri Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)


No comments: