BEREMOSI TENTANG UMMAT


BEREMOSI TENTANG UMMAT

Kesibukan pagiku sentiasa mencari apa yang memulakan setiap hari yang mampu membina iman dan kehidupan yang bermakna jika sekiranya inilah hari terakhir dan inilah saat penghujung sebelum datang Malaikat Izrail memberikan khabar bahawa “Waktumu telah tamat dan tiba untukku melakukan tugasku”. Terfikir juga bagaimana agaknya persiapanku jika tiba-tiba muncul dihadapan mata. Pada ketika itu, tiada ruang atau masa yang boleh ditangguhkan bahkan itulah masanya.

Sebenarnya aku masih tercari-cari, apa yang akan aku tuliskan dan kongsikan sehinggalah tiba-tiba “Kriiing, kriiing, kriiing” sapa telefon bimbitku di dalam bilik. “Wakjam”, kata hatiku. Dialah seniorku yang selalu juga bergaduh dan kadang-kadang terasa hati dengan tindakan dan kata-katanya. Tetapi biasalah, ‘akukan abang’. Namun, dialah juga naqib yang membimbing dan membawa aku kepada kerja-kerja dakwah yang hampir dengan masyarakat sehinggakan hari ini aku amat beremosi dengan ummatku sendiri.

“Assalamualaikum, Kam, sorry lah ganggu pagi-pagi ni, abang dijemput untuk bagi pengisian dalam usrah PEPIAS UIA malam ni, ada apa-apa bekalan nak bagi?” tanya Wakjam kepadaku. Bukan bermakna abang aku si Wakjam ni tiada idea, tetapi aku amat memahami kerisauan yang dia hadapai apabila diminta untuk memberikan peringatan kepada adik-adik khususnya di dalam PEPIAS itu sendiri. Ketika berbicara dengannya, aku terasa amat sayu dan sebak, seolah-olah ingin mengalir airmata apabila mengenangkan wajah-wajah ceria adik-adik PEPIAS.

Aku pun berikanlah beberapa pesanan yang aku rasakan perlu diberikan tumpuan, namun ternyata, apa yang aku fikirkan telah disediakan oleh Wakjam. Cuma dia minta, agar ada pendekatan yang mungkin lebih tersentuh hati untuk memulakan bicaranya. Aku mula terasa amat sayu. Kesayuan ini membuatkan aku teringat kepada pengakhiran program TSCQ aku bersama ABIM dan fasilitator FaDelaT juga beberapa orang fasilitator PEPIAS. Macam-macam fikirku ketika berlangsung program tersebut. Sehinggalah ketika majlis penutup, selepas mendengar ucapan dari Jo, sahabatku yang garang, aku meneruskan tutur bicara menyampaikan pesan kepada adik-adik SMK Seksyen 19 Shah Alam. “Abang tahu, bahawa abang ini memang tidak layak langsung untuk berada di dalam syurga, dengan dosa kesalahan dan kurangnya berbuat amal kebaikan, tetapi apa yang abang sentiasa berdoa dan harapkan, ketika abang menghampiri pintu neraka, nak dicampakkan masuk ke dalam neraka...” tiba-tiba aku memberhentikan kata-kata dan airmataku mula mengalir. “Abang sangat-sangat berharap, akan adalah dikalangan adik-adik ini yang akan beritahu malaikat Malik, jangan masukkan abang Kam ke dalam neraka, kerana dialah yang mengingatkan aku tentang hakikat kehidupan beragama ini”, sambungku dalam keadaan teresak-esak dan cuba menahan tangisan itu.

Apabila aku cuba mengenang semula apalah yang menyebabkan aku beria-ia menangis ketika itu? Aku begitu beremosi dan emosi itu untuk siapa? Teringat kisah bagaimana Rasulullah s.a.w. ketika tiba waktu ajal Baginda, Baginda berpesan kepada Fatimah “Wahai Fatimah, pergilah kamu bertemu Bilal, minta mereka mulakanlah solat Subuh tanpaku kerana aku tidak berdaya untuk bangun”. Fatimah tidak berlengah dan bertemu dengan Bilal. “Mana boleh, mereka tidak akan bersolat jika tidak bersama Baginda!” tegas Bilal dan kemudiannya mengajak beberapa orang lagi bersamanya untuk membawa Baginda ke masjid. Baginda bersolat dibelakang Abu Bakar ketika itu dan Abu Bakar juga amat beremosi kerana dia tahu, inilah hari terakhir kehidupan insan agung itu.

Sehinggalah apabila Baginda berpesan kepada Fatimah “Hari ini aku tidak mahu menerima tetamu kerana ku sedang sakit”. “Tuk, tuk, tuk”, bunyi ketukan pintu rumah Baginda. Fatimah membuka pintu dan memberitahu apa yang dipesan Rasulullah. “Siapa itu Fatimah?” tanya Rasulullah. “Aku tidak kenal dia, tetapi aku sampaikan pesanmu. Apabila aku memandangnya, rasa berdebar jantung wahai ayahku”, jawab Fatimah jujur. “Benarkan dia masuk, sesungguhnya dialah malaikat Izrail”, kata Rasulullah tenang.

Subhanallah, apakah yang akan kita buat apabila Izrail datang bertandang begini? Dipendekkan cerita, Izrail meneruskan tugasnya sebagai malaikat pencabut nyawa. Ketika sedikit demi sedikit Rasulullah ditarik rohnya, Baginda mengerang, “Sakiiit, sakiiit! Izrail aku ini kekasih Allaaah! Tidak adakah cara lain yang lebih baik?” tanya Baginda. Menangis Jibrail yang bersama Rasulullah, apatah lagi Izrail itu. “Tiada Wahai kekasih Allah”, jawab Izrail. Sehinggalah sampai ke saat akhir Rasulullah masih mengerang kesakitan dan bertanya Rasulullah s.a.w. kepada Izrail, “Adakah semua ummatku akan merasai kesakitan ini?”. “Ya”, jawab Izrail.

“Jika begitu, aku pohon agar biarlah semua kesakitan mereka itu aku pikul, agar mereka tidak merasai kesakitan ini”, kata Rasulullah lemah. “Setiap yang hidup pasti merasai mati,” jawab Izrail. Semua kita akan merasai apa yang Rasulullah rasa, begitulah berakhirnya kata-kata ‘ummati, ummati, ummati’ pada lidah Rasulullah. Baginda juga amat beremosi terhadap ummatnya dan nasib mereka di akhirat kelak. Kekasih Allah ini menangis dan merasai kerisauan tentang kita semua ummat Islam, bagaimana dengan kita? Ya Allah, berikanlah kekuatan untuk aku terus berdakwah dan berada atas jalan dakwah ini.

Adik-adik, sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian.

Kita semua berada dan hidup pada hari ini adalah atas kasih sayang Allah memilih kita untuk meneruskan hidup. Kita berada di dalam jemaah PEPIAS atau ABIM ini juga kerana pilihan-Nya. Kita bercakap dan mendengar dengan aman juga atas pilihan-Nya. Kita ada ibu dan bapa juga atas pilihan-Nya. Jangan lupa, kita adalah pilihannya untuk masih mengingati-Nya. Kita hanya diberikan peluang untuk memperbaiki diri kita kerana kita banyak berdosa berbanding orang-orang lain. Usahlah mendabik dada apabila berjalan di atas muka bumi Allah ini.

Teringat kata-kata Imam Hassan Al-Banna, “Sesungguhnya pembentukan ummah, pendidikan bangsa-bangsa, merealisasikan cita-cita dan mendokong pendirian (pegangan hidup) memerlukan ummah yang berusaha ke arah itu atau dari golongan yang menyeru kepadanya. Ini sekurang-kurangnya memerlukan kekuatan jiwa yang terhimpun di dalamnya beberapa perkara;
  1. iaitu kemahuan yang tidak mengenal lemah,
  2. kesetiaan yang tetap yang tidak disaduri oleh kepura-puraan dan khianat,
  3. pengorbanan yang banyak yang tidak dihalang oleh tamak dan haloba serta kebakhilan,
  4. dan makrifah (mengenalpasti) dasar pegangan hidup, beriman kepadanya dan menghargainya sungguh-sungguh.

Semuanya itulah yang memelihara (kita) dari kesalahan dan penyelewengan daripadanya (pembentukan) dan tawar-menawar (apologetik) di atas perkara dasar dan tidak terdaya dengan yang lainnya".

Maka, marilah kita berusaha ke arahnya, biar sedikit, asal berbuat dari sekadar bising tetapi tidak memberi manfaat. Semoga Allah masih memilih aku dan kita semua untuk kekal berjalan atas muka bumi ini dengan berdakwah dan memberikan peringatan kepada sesama Muslim. Moga apabila kita dipilih oleh Allah, kita akan memanfaatkan peluang itu sebaiknya, BEREMOSI TENTANG UMMAT, agar kita sentiasa merasai keperitan perjuangan Rasulullah dan para sahabat dalam memastikan keIslaman kita hari ini, dan dek kerana kasih sayang mereka yang amat tinggi. TUNE diri kita.




9.04 pagi,
7 Oktober 2010
Rumah PKNS 2, Kuala Selangor




Penulis adalah merupakan;
Perunding Utama IQ Class Management (http://iqclassmanagement.blogspot.com)
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia
Setiausaha ABIM Cawangan Negeri Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)


2 comments:

Fikrah Imayu said...

memang beremosi membaca kupasan kali ini...

tahniah Kamz, dan teruskan usaha dakwah kepada ummat.

abang doakan perjuangan ini, dan doakan abang juga!

(... dan ya, Wakjam memang macam tu :-p

Anak Cucu ADAM said...

sangat suke membca post kali ni..ini telah menimbulkn semangat saya untuk trus ke dalam medan ni
dan kami dr PEPIAS amat memerlukan sokongn dr senior2 ni.
tegurlah kami jika ada salah
dampingi lah jika kami memerlukan.
tiupkn la semangat kepada kami dan adk2 baru PEPIAS