Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

JALAN DAKWAH; SATU PENCARIAN SEMULA...


Apakah makna jalan dakwah ini? Siapakah yang melaluinya? Apakah yang disediakan untuknya? Dimanakah pengakhirannya? Adakah ia menyerupai dengan jalan-jalan yang lain. Sejarah telah membuktikan bahawasanya setiap tubuh manusia yang melalui jalan ini pasti akan merasai kejauhan, kesukaran, kepenatan dan juga perasaan lesu dan sering diperkotak-katikkan. Apabila melalui jalan ini, seorang manusia itu tidak akan sunyi dari ujian, mehnah serta fitnah yang mampu merobek iman dan menghilangkan kewarasan akal dalam kehidupan.

Namun, pendokong agama yang berjalan di atas jalan ini harus jitu dengan pegangan membawa kalimah Al-Hak. Sekiranya mereka terlepas dari cengkaman ujian itu, pasti tekad dan kesungguhan mereka bertambah mantap serta lebih kuat untuk terus menyebarkan ajaran dan berita gembira kepada seluruh alam dunia ini.

Pencarian jalan dakwah ini perlu dimulakan semula. Ini disebabkan oleh kerosakan generasi hari ini yang disebabkan oleh konspirasi jahat musuh-musuh Islam terhadap usaha dakwah ini. Pelbagai cara yang digunakan samaada melalui cara keras atau sekadar dengan menyebarkan dakyah-dakyah kotor mereka melalui media-media yang diwujudkan oleh mereka sendiri. Usaha mereka ialah untuk memastikan gerakan-gerakan Islam ini kering dari darah-darah baru pemuda-pemuda yang berjuang atas nama Allah dan berusaha untuk menegakkan agama dalam diri mereka sendiri dan kelompok masyarakat mereka. Apa yang mereka mahukan ialah, gerakan Islam hari ini terus ketandusan generasi yang menghasilkan lompong-lompong kelemahan serta menampakkan ketidakseriusan pejuang-pejuang agama Islam itu sendiri.

Generasi terdahulu telah mempelopori dan merentas jalan dakwah ini bagi memberikan ruang seluasnya untuk kita bersama generasi baru ini menyambung di mana yang telah mereka sampai. Walaubagaimana sekalipun, gerakan Islam ini digasak, disentuh dan dirosakkan, Allah tidak akan membiarkan Islam itu berkubur begitu sahaja. Jika bukan kita yang melakukannya, pasti akan ada mereka yang lain akan diberikan amanah ini untuk diteruskan. Janji Allah tidak akan pernah padam dan janji Allah pasti DIA akan tunaikan.

JALAN DAKWAH

Hanya satu jalan dakwah yang dilalui iaitulah jalan yang dilalui oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda. Begitulah juga kita pada hari ini, dengan memohon petunjuk dan hidayah daripada Allah, moga-moga usaha ini dipandu Allah s.w.t. dalam menelusuri usaha dakwah yang telah dikepalai oleh Bagidan s.a.w. Sebagaimana yang dicontohkan Baginda s.a.w., marilah kita lalui jalan ini dengan berbekalkan iman, amal, mahabbah dan ukhuwah.

Seru Baginda s.a.w. kearah iman dan bersama mengamalkannya. Perjuangan bermula di Mekah dengan pelbagai ancaman dan cemuhan. Kemudian Bagidan s.a.w. bergerak ke arah menyatupadukan hati-hati mereka atas dasar mahabbah dan ukhuwah. Inilah perjalanan bersejarah hijrah Baginda s.a.w. ke Madinah. Bertunjangkan keimanan yang utuh, aqidah yang jitu serta ukhuwah yang dirahmati, maka wujudlah satu jemaah yang sangat ideal untuk kita bersama contohi. Tiada yang lebih benar melainkan apa yang telah dicontohkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

SATU PENCARIAN SEMULA...

Firman Allah dalam surah Az-Zaariyat ayat 50 yang berbunyi;

“(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.”

Ini merupakan halatuju yang terutama dalam persiapan melalui jalan dakwah yang penuh ranjau dan amat jauh sekali. Justeru tujuan yang pasti dan bukan lagi perlu diragui adalah Allah s.w.t. Tidak ada tujuan lain di dalam melaluinya. Usah rosakkan ia dengan kepentingan-kepentingan kecil lain yang hasilnya hanyalah kemuliaan dan kesenangan di dunia. Apa sahaja yang dilakukan adalah semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t. Jika Allah redha dengan kita, apatah lagi dunia yang fana ini, bukanlah nilai yang patut kita merasai kerugiannya.

Apabila kita membawa kalimah Al-Hak sebagai perisai kehidupan dan matlamat perjalanan kehidupan, maka perlu kita jelas bahawa, bersama kalimah Al-Hak itu ada tugas dan ada kepentingannya. Adakah kita sangka apa sahaja yang Allah sediakan untuk manusia itu percuma sahaja? Pasti ada amanah yang perlu dipenuhi dan dilaksana. Maka sampaikanlah berita gembira itu kepada siapa sahaja yang bersama-sama kita. Berita gembira itu bukan sahaja meliputi bidang politik sahaja, ekonomi sahaja atau sosial semata-mata, tetapi segenap aspek dalam kehidupan dan setiap isi makhluk di muka bumi Allah ini harus merasainya sesungguhnya Muhammad s.a.w. itu diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Sekiranya ini yang kita usahakan atas jalan dakwah yang kita pilih, maka balasannya pastilah besar yakni syurga yang lebih baik dari segala isi langit dan bumi. Selain dari syurga, nilainya adalah amat kecil. Kemewahan, kemasyhuran, kesenangan di dunia, harta benda dan sebagainya adalah amt kecil nilainya berbanding anugerah syurga Allah itu. Pada ketika itu, kita akan dapat hidup bersama-sama para anbiya’, para siddiqin, para syuhada’ dan para salihin kerana mereka inilah sebaik-baik sahabat yang sebenar. Firman Allah s.w.t. dalam surah At-Taubah ayat 72 yang bermaksud;

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan Yang besar.”

JALAN DAKWAH ADALAH JALAN YANG SUKAR

Ia pastilah tidak mudah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 1 hingga 3.

1. Alif, Laam, Miim. 2. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 3. dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.

Pasti sekali sukar untuk kita melihat sesuatu kejayaan hasil dari perjuangan melalui jalan dakwah ini. Pasti ramai yang bertanya, mengapa? Kalau ini jalan dakwah, bukankah ia harus dipermudahkan oleh Allah? Firman Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat 18 berbunyi,

“Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).”

Janji Allah ini menyebabkan, mereka yang melakukan kerosakan berasa takut dan terancam kerana sesuatu yang hak itu pasti akan menjatuhkan yang batil. Maka, yakinilah bahawa, jika kita membantu agama Allah maka Allah akan membantu urusan hidup kita. Oleh yang demikian akan datang kepada mereka yang melalui jalan ini fitnah dan kedengkian kerana hendak mengekalkan hakmilik sementara mereka itu. Maka, manusia yang di atas jalan dakwah ini digambarkan sebagai musuh dan menggalakkan orang ramai menentang mereka. Telah Allah gambarkan di dalam surah Al-Mukmin ayat 26 tentang apa yang dilakukan oleh Firaun dan para pembesarnya terhadap Nabi Musa.

IKUTILAH JALAN INI, BALASANNYA PASTI YANG TERBAIK

Maka Allah perintahkan Nabi Musa a.s. bersama pengikutnya bersabar kerana barang siapa yang melalui jalan ini, pasti. Pasti, Allah akan memberikan ganjaran dan bersama-sama dengan mereka.

MARHALAH JALAN INI

Hari ini, akhlak Islam telah dihilangkan, kebudayaan dan cara hidup Islam sudah tidak diamalkan maka dari situ hilanglah kehebatan dan keagungan Islam serta kekuasaannya. Ini disebabkan generasi kita yang tidur lena dek kerana kesenangan serta kehidupan yang berbentuk ananiah (individualistik) dan kekacauan jiwa. Akhirnya kekufuran mengambil ruang dalam kehidupan manusia sehingga tercabut iman mereka dan menjadi Muslim dari segi nama tetapi tidak pada jiwa mereka.

Generasi baru hari ini semakin dihidangkan dengan corak hidup hendonisme yang melebihkan hiburan dari amalan kerohanian. Gelombang jahiliyah kini kembali dan kedegilan ini mula menular apabila Muslim itu lebih ramai yang kecil imannya. Sorotilah ketabahan, kesabaran dan pengharapan yang ditonjolkan oleh Baginda s.a.w. bersama sahabat-sahabatnya yang tabah, sabar dan cekal dalam menyampaikan dakwah kepada seluruh umat manusia di alam ini. Teladanilah mereka, dan jadikanlah iktibar buat kita semua.

LANGKAH-LANGKAH DAN CARA

Menurut Al-Ustaz Mustafa Masyhur di dalam bukunya yang bertajuk ‘Jalan Dakwah’, beliau menegaskan hanya terdapat 3 perkara pokok yang tidak bertukar ganti di dalam kerja dakwah yang berlaku iaitulah;

1. Iman yang amiq (iman yang mendalam);
2. Takwin daqiq (pembentukan yang rapi dan teliti) serta;
3. Amal mutawasil; (usaha dan amal yang berterusan).

Asas utamanya adalah iman. Dari mana datangnya iman? Iman ialah bersetuju dengan sesungguhnya dengan hati, bercakap dengan lidah serta beramal dengan tubuh. Melalui iman yang mendalam ini akan membentuk peribadi yang unggul sehingga akhirnya menjadi keluarga, masyarakat serta negara yang diidamkan. Sesungguhnya, dua perkara ini haruslah sentiasa dilakukan secara berterusan dan istiqamah dan jangan sekali-kali ia datang dalam keadaan gopoh-gapah. Ini turut dipesan oleh As-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna;

"Hai Ikhwanul muslimin terutama yang gopoh dari kamu. Dengarkanlah daripadaku satu kalimah yang tinggi yang berkumandang dari atas mimbar ini di dalam muktamar umum ini. Sesungguhnya jalan kamu ini adalah yang telah digariskan langkah-langkahnya, ditentukan batas-batasnya dan aku tidak mahu melanggar batas-batas itu. Aku telah yakin dengannya. Keyakinan yang sebenar-benarnya, bahawa itulah jalan yang paling selamat untuk mencapai tujuannya.

Ya... boleh jadi ia satu jalan yang panjang, tetapi di sana tidak ada jalan lain selain itu. Sifat kelakian tidak akan lahir kecuali dengan keberanian, ketekunan, kesungguhan dan amal usaha yang serius dan berterusan. Barangsiapa dari kalangan kamu yang hendak cepat dan gopoh memetik buah sebelum masak atau hendak memetik hasil sebelum masanya, maka aku tidak bersama dengannya sama sekali dan lebih baik baginya meninggalkan dakwah ini dan carilah dakwah yang lain. Barangsiapa yang bersabar bersama aku sehingga berkembang dan membesar benih itu lalu tumbuh pokoknya, baik buahnya sehingga tiba waktunya untuk dipetik dan diambil, maka ganjarannya terserahlah kepada Allah semata-mata. Kita dan dia tidak boleh lari dari dua kebaikan ini. Sama ada kita menang dan berkuasa atau mati syahid dan berbahagia".

Semoga apa yang dicatatkan ini mendatangkan semangat, keberanian dan kemahuan untuk terus berada di jalan ini. Adalah menjadi tugas kita bersama untuk sentiasa mencari dan menilai adakah kita berada di atas landasan dakwah yang benar atau keliru dengan apa yang kita laksanakan atau mungkin kita hanya ‘syok’ sendiri sahaja? Renungi dan ‘TUNE’ lah diri kita.

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang