Ubah Diri Untuk Memberi Manfaat Kepada Orang Lain


Apabila kita memerhatikan persekitaran kita, pastinya akan ada perasaan tidak senang, tidak puas hati dan kadangkala timbul rasa meluat dengan apa yang berlaku. Ini mungkin kerana timbul perasaan kita lebih baik atau kita lebih mengetahui dari mereka. Maka, timbullah selepasnya tindak-tanduk seperti mengumpat, mencaci, saling menjatuhkan dan setiap apa yang dilakukan orang lain yang dilihatnya adalah hanya pada kelemahannya sahaja tidak pada kebaikannya.

Perasaan atau perbuatan ini akan kerapkali kita rasai apabila wujud perasaan ego di dalam diri sendiri. Tidak berfikiran terbuka serta mempunyai dendam yang mendalam terhadap mereka yang bersama-sama dengan kita. Ia merupakan salah satu penyakit hati yang perlu dijauhi oleh manusia khususnya yang beragama Islam dan meyakini bahawa Allah itu Maha Mengetahui segalanya walaupun yang terpendam di dalam hati.

Penyakit ini menjadikan diri kita tidak senang apabila melihat ada orang lain yang lebih baik dari kita ataupun apabila kita ditegur, amat sukar bagi kita untuk mendengar tegurannya. Apabila penyakit ini meresapi, tidak diubati, tidak dijauhi, ia akan semakin membesar dan akhirnya kecenderungan mereka lebih kepada kebaikan dan kelebihan diri sendiri. Setiap apa yang dilakukan adalah bertujuan mementingkan diri sendiri walaupun ianya amat menyusahkan orang lain.

Peringatan ini patut diberikan kepada kita semua termasuklah yang menulis artikel ini. Yang paling utama di dalam kehidupan kita adalah diri kita sendiri. Itu benar. Tetapi keutamaan itu adalah untuk diperbaiki diri sendiri sebelum melihat dan mencari kelemahan orang lain. Sebelum berniat mengubah orang lain, ubahlah diri sendiri dahulu. Sebelum mencerdaskan orang lain, cerdaskanlah diri sendiri dahulu. Jika sekiranya keutamaan lebih kepada orang lain, kita pasti akan melupakan diri kita sendiri khususnya kelemahan diri kita.

Kita sepatutnya berusaha untuk memperbaiki diri, memerhatikan diri sendiri, mencerdaskan diri kita atas tujuan untuk berkongsikan manfaatnya bersama orang lain. Banyaknya harta kita bukan untuk bermegah tetapi untuk dikongsikan dengan orang lain, belajar bersungguh-sungguh bukan untuk menjadikan diri kita lebih tidak mengetahui tetapi untuk menjadikan orang lain lebih jernih pandangan mereka. Begitu juga dengan memperbaiki diri bukan untuk mendabik dada tetapi untuk mengajak orang lain juga menjadi jauh lebih baik. Di dalam hadis qudsi Allah s.w.t berfirman;
“Wahai hamba-Ku, andaikan orang yang pertama hingga terakhir dari kamu, pada jin dan manusia semua bertakwa, maka yang demikian itu tidak menambah kekayaan-Ku sedikit pun. Dan sebaliknya jika kamu melakukan sejahat-jahat perbuatan, maka yang demikian itu tidak mengurangi kekuasaan kerajaan-Ku sedikit pun, kecuali sebagi kurangnya air laut jika diambil dengan jarum...”

Kesimpulannya, setiap perbuatan kita natijahnya adalah untuk diri kita sendiri. Baik perbuatan kita maka baiklah balasan Allah yang disediakan dan jika sebaliknya maka akan berlakulah juga sebaliknya. Mudahkan? Kita sendiri sebenarnya boleh menentukan bagaimana cara hidup kita kemudiannya. Begitu jugalah kata-kata Imam Ibnu Atha’ilah di dalam kitabnya Hikam;

“Tidak berguna bagi Allah taatmu dan tidak mudarat pada Allah maksiat (dosa) mu, dan sesungguhnya Allah menyuruh kamu berbuat taat dan melarang kamu dari maksiat (dosa), sebab semuanya adalah untuk kepentinganmu sendiri.”

Pastinya kita memahami keadaan ini. Segala nikmat dan kebahagiaan pastinya akan kita rasai jika kita mampu menghayati 3 prinsip utama dalam kehidupan kita iaitu; pertama, kita hidup di dunia hanya sementara tidak untuk selamanya. Dunia hanya sarana bukan tujuan utama. Akhiratlah tujuan utama. Kedua, kita telah lahir ke dunia tidak membawa apa-apa dan ketika kembali pun tidak akan membawa apa-apa melainkan amal. Semua yang kita miliki hanya sekadar titipan yang bila-bila masa boleh diambil pemiliknya. Terakhir, setiap perbuatan akan kembali kepada pembuatnya. Tidak akan pernah bertukar. Kita tidak akan mempertanggungjawabkan orang lain. Kita hanya akan mempertanggungjawabkan perbuatan kita sendiri.

Ingatlah wahai teman. Sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.

No comments: