Skip to main content

DAFTAR SEKARANG!

DAFTAR SEKARANG!
Cemerlang Belajar Online, 20 Jun 2021, 9.00 pagi

BERSYUKURLAH

Apabila disebutkan ‘syukur’, ‘bersyukurlah’, pasti akan terbit dari lidah seseorang manusia yang mengakui Islam itu ucapan ‘Alhamdulillah’. Sejauhmanakah perkataan itu menjadi amalan kehidupan seorang Muslim? Adakah setiap hari, setiap masa atau setiap saat?

Pernah suatu ketika berbicara seorang pemuda dengan seorang Pak Tua yang kuat makannya, tinggi percakapannya serta tepat segala janjinya. Pada awal pertemuan si pemuda dengan Pak Tua, kerapkali dia melihat Pak Tua ini sangat kuat makan. Setiap yang dihidangkan pasti dihabiskan. Tuturnya pula ibarat menyatakan bahawa dia tahu lebih banyak perkara dan dia melebihi pengalamannya dari orang lain. Namun, disedari si pemuda bahawa pada setiap tutur kata Pak Tua ini akan dimulai dengan ucapan ‘Alhamdulillah’. Tidak pernah terlupa Pak Tua akan perkataan itu. Selepas bersama pemuda itu beberapa ketika dengan Pak Tua, maka timbullah tanda tanya pemuda itu kepada Pak Tua.

“Wahai Pak Tua, kenapa begitu mudah lidah Pak Tua menyebut ‘Alhamdulillah’? Belum pun Pak Tua menjamah apa-apa makanan pun, pak tua dah sebut ‘Alhamdulillah’, belum pun Pak Tua menaiki kenderaan atau sampai ke mana-mana Pak Tua sebut ‘Alhamdulillah’, kenapa?” tanya pemuda itu keliru.

“Wahai anak muda, pernahkah kamu bersyukur apabila perutmu merasai kelaparan?” tanya Pak Tua itu spontan.

“Bagaimana perasaan mu wahai anak muda, jika dijamu makanan yang amat sedap tetapi dalam keadaanmu yang kekenyangan? Adakah kamu akan menjamah makanan itu? Sesungguhnya, ‘Alhamdulillah’ku adalah kerana bersyukur kerana dikurniakan rasa lapar dan dapat berjalan juga merasai menaiki kenderaan dengan kakiku.” Jawab Pak Tua itu ringkas.

Benarlah kata-kata Allah di dalam Al-Quran dari surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”

Kesyukuran yang ditunjukkan oleh Pak Tua dalam artikel yang lalu amat jelas sekali. Itulah petandanya kesyukuran yang tidak pernah kenal masa dan tempatnya. Ia adalah hasil kepercayaan jitu Pak Tua kepada Penciptanya. Dialah yang Maha Pemberi. Pernahkah kita bertanya diri kita bagaimana kita bersyukur, rasa bersyukur dan untuk apakah kita bersyukur?

Menurut M. Quraish Shihab dalam ensiklopedia PSQ, syukur mencakup tiga sisi. Pertama, syukur dengan hati, yakni kepuasaan batin atas anugerah. Kedua, syukur dengan lidah, yakni dengan mengakui anugerah dan memuji pemberinya. Ketiga, syukur dengan perbuatan, yakni dengan memanfaatkan anugerah yang diperoleh sesuai dengan tujuan penganugerahannya.

Diriwayatkan oleh Yahya bin Ya'la dari Abu Khabab, dari Atha' yang berkata, "Aku bersama Ubaid bin Umair mengunjungi Aisyah r.a. dan berkata kepadanya, 'Ceritakanlah kepada kami sesuatu yang paling mengagumkan yang engkau lihat pada Rasulullah. saw.!' Lalu, beliau (Sayidatina Aisyah) menangis.

Kemudian ditanya kembali oleh Sayidatina Aisyah, 'Adakah yang beliau lakukan, yang tidak mengagumkan? Suatu malam, beliau datang kepadaku, dan kami tidur di tempat tidur hingga tubuh beliau bersentuhan dengan tubuhku. Setelah beberapa saat, beliau berkata, 'Wahai putri Abu Bakar, izinkanlah aku bangun untuk beribadat kepada Tuhanku!' Aku menjawab, "Saya senang berdekatan dengan mu,' tapi aku mengizinkannya. Kemudian beliau bangun, pergi ke tempat simpanan air dan berwudhu' dengan mencucurkan banyak air, lalu solat. Beliau mulai menangis hingga air matanya membasahi dadanya, kemudian beliau ruku' dan terus menangis, lalu sujud dan terus menangis, lalu mengangkat kepala dan terus menangis. Terus menerus beliau dalam keadaan demikian sampai Bilal datang dan memanggil beliau untuk solat Subuh. Aku bertanya kepada beliau, 'Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Rasulullah, sedangkan Allah telah mengampuni dosa dosa mu, baik yang dahulu maupun yang akan datang?' Beliau menjawab, 'Tidakkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur? Bagaimana aku tidak akan menangis sedangkan Allah telah menurunkan ayat ini kepadaku:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya siang dan malam, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang diturunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mau menggunakan akal.” (Al Baqarah:164)

Syukur manusia tentulah kepada setiap balasan yang diberikan Allah kepada manusia. Sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Nikmat terindah manusia adalah apabila dikurniakan agama Islam sebagai cara hidup dan keimanan kepada Allah, para Rasul, Malaikat, Kitab-kitab, hari Kiamat serta ketentuan Qada’ dan Qadar. Seketika, pada hari ini, manusia seringkali melupai nikmat yang Allah telah kurniakan ini. Alpa manusia, lupa dan kerapkali kita terlepas pandang atas nikmat yang telah dikurniakan. Kerap kita mencari perkara yang tidak Allah berikan tetapi tidak pula kita mensyukuri nikmat yang telah ada dihadapan mata kita.

Nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang. Ini jelas dinyatakan Allah dalam firman-Nya dari surah An-Nahl ayat 18 bermaksud:

"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang."

Menurut Imam Al-Junaid : “Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepadaNya”. Ertinya tanda bersyukur ialah menggunakan segala nikmat Allah untuk melakukan ketaatan dan memanfaatkan nikmat tersebut ke arah kebajikan, bukan menyalurkannya kepada maksiat atau kejahatan.

Nikmat yang Allah Taala anugerahkan kepada manusia bolehlah dibahagikan kepada dua iaitu;

Pertama: “Nikmat duniawi” iaitu nikmat untuk meneruskan kehidupan di dunia seperti makanan, minuman, kekayaan, keamanan, kesihatan, persaudaraan dan sebagainya.

Kedua: “Nikmat Ukhrawi” iaitu nikmat Islam dan iman, nikmat yang paling berharga serta tidak ternilai kerana ia bukan setakat menjamin kesejahteraan hidup di dunia tetapi berkekalan hingga ke akhirat.

Menurut Imam Al Ghazali pula, beliau mendefinasikan nikmat itu sebagai: setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup 'ukhrawi' - 'hari akhirat yang kekal abadi.'

Secara umumnya, nikmat kurniaan Allah kepada setiap orang manusia dapat dibahagikan kepada dua iaitu:

1) Nikmat bersifat 'fitri' atau asasi iaitu nikmat yang dibawa oleh manusia ketika dilahirkan lagi.
2) Nikmat mendatang iaitu nikmat yang diterima dan dirasakan dari masa ke semasa.

Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya.

Bersyukur dikurniakan ibu dan ayah;

Firman Allah di dalam Al-Quran, surah Luqman ayat ke 14 yang bermaksud:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu-bapakmu, hanya kepadaKu lah kembalimu.”

Bersyukur kerana yang memberikan rezeki kepadamu adalah Allah;

Firman Allah di dalam Al-Quran, surah Al-'Ankabuut ayat 17 yang bermaksud:

“Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala, dan kamu membuat dusta. Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezki kepadamu; maka mintalah rezki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepadaNya lah kamu akan dikembalikan."

Firman Allah dari surah Al-Baqarah ayat 172:

“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah."

Bersyukur kerana Allah sentiasa mengingati kita;

Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud:

“Karena itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”

Bersyukur dengan mencari rezeki yang halal;

Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nahl ayat 114 yang bermaksud:

“Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah ni'mat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah.”

Apa yang utama dalam usaha untuk kita mensyukuri nikmat Allah adalah bersabar dengan setiap yang ditentukan Allah kepada kita. Inilah yang diertikan sebagai beriman dengan Qada’ dan Qadar dari Allah. Ramai dari kalangan manusia hari ini tidak berupaya untuk bersabar dengan apa sahaja yang ditimpakan kepadanya baik dari segi kekayaan mahupun kemiskinan. Dari segi kesihatan mahupun kesakitan. Akhirnya, jadilah mereka manusia yang tidak bersyukur.

Firman Allah s.w.t dari surah Luqman ayat 31 yang bermaksud:

“Tidakkah kamu memperhatikan bahwa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur.”

Sebagaimana falsafah bagi kehidupan orang-orang Jawa apabila mereka ditimpa kemalangan, pasti mereka akan menyebutkan ‘untung’ dalam bicara mereka. Mungkin dengan falsafah kecil ini, jelas bagaimana umat manusia terdahulu cuba mengubah setiap perkara yang diciptakan dan dijadikan Allah pasti ada kebaikannya untuk manusia. Inilah hikmah dibalik kesabaran manusia itu sendiri.

Apabila sabar dikaitkan dengan syukur, maka, pastinya ia adalah suatu tugasan yang perlu berterusan ataupun istiqamah. Ini membuktikan, menjadi orang bersyukur bermula dengan membina kesabaran dalam setiap apa yang ditempuhi seharian dan membentuk kesabaran lahir dari sifat diri yang istiqamah. Bersyukurlah kerana sifat syukur adalah keuntungan buat diri kita sendiri. Ketahuilah bahawa, Allah adalah Maha Pemberi dan memberikan segala-galanya. Beriman kita kepada-Nya tidak menambah apa-apa pada sisinya juga kufur kita kepada setiap nikmat pemberian-Nya tidak akan mengurangkan apa-apa pada-Nya.

Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Naml ayat 40 yang bermaksud:

"Barang siapa yang bersyukur maka hal itu untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barang siapa yang ingkar maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Mulia."

Comments

Popular posts from this blog

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN

Insan berintegriti apabila mengamalkan sikap jujur ​​serta menonjolkan daya kepatuhan yang berterusan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai dan juga prinsip moral berlandaskan kepada etika sesuatu pekerjaan atau kelompok. Apabila kita merujuk soal etika, integriti di dalamnya adalah kejujuran dan kebenaran atau ketepatan tindakan seseorang. Integriti amat bertentangan dengan kemunafikan, kerana penilaian melalui neraca integriti akan mengambil kira konsistensi dalaman peribadi dengan sifat murnipada masa yang sama dinasihatkan kepada pihak yang memiliki nilai-nilai yang bertentangan dalam diri dan kelompok itu, harus memikirkan soal perbezaan tersebut lalu mengubahnya. Perkataan integriti sebenarnya dikembangkan dari kata asal integer dari perkataan Latin melambangkan satu sifat, yang bermaksud keseluruhan atau lengkap. Maka dari satu sudut pandang dunia kepimpinan, integriti adalah nilai jati diri kepimpinanyang dilambangkan melalui kualiti seperti kejujuran dan sifat ketekalan. Oleh se

KENAPA SAYA PERLU MENJADI FASILITATOR?

Apabila kita fikirkan bersama, keprihatinan masyarakat pada hari ini adalah amat kurang. Peningkatan gejala sosial semakin meningkat dan amat meruncing. Pelbagai cerita dan khabar yang telah kita dengari dan khuatiri. Apa peranan kita? Adakah kita hanya ingin mendengar dan melihat tetapi tidak mahu turut sama membantu? Masyarakat hari ini sudah hilang rasa peduli mereka kepada msayarakat. Mereka tidak berminat untuk mengambil tahu tentang masalah orang lain dan hanya menumpukan perhatian kepada kehidupan secara individu. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Apa itu fasilitator? Fasilitator datangnya dari perkataan Bahasa Inggeris 'facilitator'. Ia adalah kata terbitan dari kata dasarnya 'facilitate'. Secara bahasanya ia membawa maksud kemudahan, bantuan atau membantu. Ia juga dikenali sebagai pemudahcara, pembimbing dan banyak lagi istilah yang digunakan. Fasilitator adalah contoh, pencetus, motivator, provokator dan pelbagai

MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM ORGANISASI

Herbert A. Simon menganggap proses membuat keputusan adalah sama dengan keseluruhan proses pengurusan. Pandangan beliau 'Decision making comprises three principal phases: finding occasions for making a decision; finding possible courses of action; and choosing among courses of action.' Membuat keputusan di dalam sesebuah organisasi merupakan sesuatu yang amat penting dalam memastikan kelangsungan organisasi tersebut. Semua kita secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam proses membuat keputusan ini khususnya dalam hal peribadi, keluarga begitu juga dalam situasi bersama rakan-rakan sekerja. Apabila terhidang dihadapan kita beberapa pilihan untuk diambil khusus kepada isu-isu tertentu, pilihan kita itulah yang dikatakan sebagai keputusan. Selagi ia berhenti pada tahap pilihan maka ia belum dinilai sebagai sebuah keputusan. Pilihan adalah alat pandu kepada si pembuat keputusan sesuai dengan objektif yang ingin dicapainya. Pembuat keputusan kebiasaannya adalah mereka yang