Alhamdulillah, 11 Mac 2010, saya telah dipelawa oleh Datin Sri Ismalina untuk bersama-sama menghadiri taklimat Bengkel Pemantapan Akademik di SMK Kg. Soeharto pada 15 Mac 2010 akan datang. Pelawaan Datin Sri kepada saya pada pertemuan kami di Hotel Putra yang lalu ketika sama-sama menghadiri TOT Parenting@Work bersama LPPKN saya terima sebagai salah satu komitmen yang perlu saya berikan setelah mendaftar sebagai ahli MAPIM Selangor.
Alhamdulillah, saya berjaya tiba di SMK Kg. Soeharto. Harapannya program yang cuma dapat dilangsungkan selama lebih kurang 8 jam ini dapat memberikan 'impak maksima' kepada 80 orang peserta yang bakal hadir semuanya daripada pelajar PMR SMK Kg Soeharto dan SMK Gedangsa. Ia adalah ruang yang sangat luas selepas saya menerima laporan dari rakan-rakan yang mana pelajar berumur 12 tahun yang baru sahaja rakan-rakan saya programkan sudah pun terlibat dengan gejala dadah, zina dan juga sumbang mahram. Contohnya adalah dari ahli keluarga terdekat mereka sendiri. Nauzubillahiminzalik.
Apa lagi yang perlu kita lakukan? Tanyalah diri kita untuk terus berkhidmat dan memberikan seberapa daya usaha untuk membenteras dan membendung gejala-gejala yang merosakkan generasi pengganti kita pada masa akan datang. Marilah kita semua berbuat sesuatu.
Saya berharap, penglibatan saya ini akan memberikan lebih banyak pengajaran dan pendedahan serta kesempatan untuk memberikan khidmat bakti kepada anak bangsa di Malaysia ini. Percayalah wahai kawan-kawan, anak bangsa kita ini semakin sakit dan penyakitnya ada ubatnya. Malangnya, mereka ini telah dimomokkan bahawa ubat yang mereka perlu makan itu pahit berbanding racun yang mereka gunakan. Ubat itulah Al-Quran dan Sunnah Baginda s.a.w manakala racun itu adalah cintakan dunia.
Comments