PERJALANAN TERANCANG


Seawal jam 5.30 pagi, sahabat saya Jo bergerak meninggalkan istananya di Puncak Alam menuju ke teratak buruk saya di Kuala Selangor. Besar cita-cita dan semangat kami untuk bergerak dengan tenang menuju ke SMK Dato Mustaffa. Awal perjalanan kami lancar. Kami bertolak dari Kuala Selangor pada jam 6.45 pagi.

Perjalanan nampak mudah. Kami berhenti untuk mengisi minyak dan kemudian melanjutkan perjalanan kami. Setibanya di Sekinchan (sebelum pekan), ramai pelajar sekolah berderetan berdiri ditengah-tengah jalan untuk melintas.

"Bahaya budak-budak ni Jo, semalam baru masuk berita budak kena geles dengan tayar bas", kata saya kepada Jo.

Tiba-tiba, terdengar jeritan, berlaku kekalutan, kereta kami bergoyang dan dum! Bunyi hentakan yang kuat kedengaran.

"Jo kau tak apa-apa?" tanya saya kepada Jo.

"Aku ok" jawab Jo.

Maha Suci Allah, Allah Maha Besar. Kami terlibat dalam kemalangan. Hampir-hampir saya melanggar seorang ibu yang bermotorsikal. Kereta kami terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Menggigil kaki saya. Tergamam dan macam-macam perasaan ada. Saya bertemu dengan wanita yang melintas tadi, kemalangan itu berpunca daripada dia. Dia tidak menjawab apa-apa dan hanya senyum sahaja.

Kami ambil masa menenangkan diri ditengah-tengah kesibukan itu. Apa yang hendak dilakukan? Suasana kecoh tadi kembali tenang dan seperti biasa semula. Nampaknya seolah-olah keadaan itu seperti biasa berlaku. Tiada kematian, jadi tiada apa-apa yang berlakulah. Jo, kepalanya terlanggar cermin, berdarah jugalah gusinya.

Begitulah perjalanan terancang kami berdua sepanjang hari tersebut. Saya ada perancangan Jo juga ada perancangannya. Tetapi rupa-rupanya, perancangan Allah itu lebih sesuai dan bertepatan dengan kehendak-Nya. Dialah yang Maha Mengetahui. Pergerakan kami menjadi sederhana dan tidaklah lagi tergesa-gesa mengejar kesibukan dunia.

Kami tersentak seolah-olah dikejutkan dengan suasana yang amat menyayat hati. Allah tidak memilih antara kami untuk pergi dahulu, tetapi jelas, Allah Menguasai setiap inci ciptaan-Nya. Kehendak Allah mengajar manusia dengan musibahnya, atau mungkin adalah peringatan buat yang lupa, dan boleh jadi juga ia adalah pesanan kepada kita yang sentiasa ingat kepadanya dan apa yang lebih baik lagi, Dia hanya akan memberikan beban dengan apa yang mampu ditanggung oleh makhluk-Nya. Mungkin petanda untuk dihadiahkan sesuatu yang berharga.

Namun, hanya Allah yang tahu apa rahsianya. Tugas kita? Bersyukur dengan apa sahaja yang diberikan-Nya, jangan merungut, sebab ia adalah yang terbaik untuk kita semua. Apa yang paling utama, ia perlulah kembali kepada Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang.

2 comments:

Mohsen Amdan said...

Syukur kerana tiada yang cedera parah..
Syukur juga kerana kejadian berlaku ketika saudara dalam perjalanan hendak melakukan kebaikan..

Ciptaan Terhebat said...

Alhamdulillah... moga Allah tabahkan jiwa dan raga...

Terima kasih kerana sentiasa mendoakan...