Saya sedang memberikan taklimat. |
Program Ihya' Un-Nahar Imarah Ramadan ABIM Selangor.
Pada 12 September yang lalu, bersamaan 22 Ramadan 1430 Sabtu, saya telah bersama dengan ABIM Selangor menjalankan satu program yang bertajuk Program Ihya' Un-Nahar Imarah Ramadan di Pusat Pendidikan ABIM Klang (PPAK) Meru. Penyertaan alhamdulillah memberangsangkan apabila disertai oleh hampir 56 orang peserta. Kehadiran peserta seperti yang dijangkakan seawal 7.30 pagi dan program tamat pada jam 5.15 petang yang berakhir dengan penyampaian sijil oleh YDP ABIM Selangor.
YDP ABIM Selangor menyampaikan sijil penyertaan |
Kehadiran saya bersama rakan-rakan lain sebagai fasilitator adalah amat bermakna. Ia menguji ketahanan diri, kemahiran serta pemikiran kreatif berhadapan dengan peserta yang majoritinya adalah pelajar tahun 4 dan 5. Namun, setiap perkara yang berlaku pasti ada ruang dan tempat untuk diperbaiki dan kelemahan yang patut diatasi.
Persiapan program ini agak lewat namun, ianya tidaklah mengecewakan memandangkan kebiasaannya saya sentiasa bersedia untuk menghadapi situasi begini. Pastinya, kita akan dapat melakukan sesuatu itu dengan lebih baik jika sekiranya persiapannya dalam keadaan yang lebih baik.
Sedang menjalankan aktiviti |
Ini terbukti apabila, perancangan asal program, sesi ceramah akan berjalan pada jam 2.30 petang. Namun, penceramah yang dicanangkan akan hadir memaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir atas sebab tanggungjawab yang lebih utama yang perlu didahulukan. Saya bersama rakan-rakan akur akan keadaan itu, maka kami perlu melakukan aktiviti tambahan dari asal perancangan. Maka, disinilah kelemahannya apabila merancang tidak melihat kepada kebarangkalian yang berlaku.
Apa yang saya dapat terokai dari situasi ini, sebagai seorang ahli sebuah gerakan Islam seperti ABIM, kita perlu sentiasa bersedia menghadapi suasana mengejut serta perkara-perkara yang diluar jangkaan. Ini membuktikan bahawa, diri kita sebagai manusia dan hamba, wajib memenuhi kehendak Allah s.w.t bahkan kehendak kita adalah dibawah kehendak Allah s.w.t. Setiap kejadian yang berlaku sebegini merupakan satu ujian Allah kepada mereka yang berkata ianya adalah perjuangan untuk agama Allah s.w.t.
Namun, ia bukanlah alasan untuk kita tidak membuat sebarang persiapan. Ini kerana, peringatan Nabi Muhammad s.a.w juga perlu dijadikan sempadan bahawa, jangan sehingga kita masuk lubang 2 kali. Apatah lagi, Allah s.w.t amat menyukai sesuatu yang sempurna dan bersungguh-sungguh. Tahniah saya ucapkan untuk adik-adik yang menjadi fasilitator bersama iaitu Daus, Fizah, Ina, Ira, Azizah dan Pika. Tidak dilupa rakan-rakan seperjuangan yang turut menyumbang idea dan tenaga iaitu Farid, Abang Din, Dayah, Azam, Jo dan Ina. Semoga usaha kita diberkati Allah, dan semoga hidayah Allah tidak terputus buat kita semua.
Johari dan Azam antara fasilitator terlibat |
Comments