1 jam bersama Pembimbing Rakan Sebaya Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor

Alhamdulillah, semalam, 9 September 2009 bersamaan 19 Ramadhan 1430 aku telah melalui Ramadhan dalam keadaan yang aman dan sentiasa tenang. Moga mendapat keberkatan dan kasih sayang Allah yang tidak terhingga. Pada siang harinya, aku telah mendapat 2 maklumat penting untuk diberikan perhatian sejurus selepas puasa nanti.


Pertama, mendapat sms daripada Jo berkenaan program Perkhemahan Kadet-kadet Sekolah Menengah Agama MAIWP dalam penghujung bulan 11 ini. Ustaznya meminta untuk diemelkan beberapa butiran dan alhamdulillah semalam telah berjaya dilakukan.


Kedua, panggilan daripada Kapten Nazri memaklumkan program bersama TUDM, Kursus Kepimpinan Islam yang ditangguhkan pada bulan lepas dijangka akan dilaksanakan pada 12 hingga 15 Oktober 2009 di De Palma Hotel Sepang. Alhamdulillah, aku perlu membuat persiapan segera.


Pada sebelah malam, aku berbuka di rumah Pakcik ku (Pak Cik Kamarudin) di Bandar Baru Melawati kerana menyambut hari kelahiran cucunya yang juga anak Edli Shah. Kemudian aktiviti malam selepas berterawih, aku telah bersama adik-adik Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor.


Sesi malam ini adalah ringkas dan memakan masa lebih kurang 1 jam sahaja. Ia adalah sebahagian dari aktiviti yang menjadi tanggungjawab aku untuk bersama remaja dan belia di Daerah Kuala Selangor. Bagi fasa pertama, pertemuan ini hanya tertumpu kepada proses membina hubungan. Antara perkara yang dibincangkan adalah konsep 4T, serta matlamat pertemuan kali pertama. Seramai 24 orang ahli PRS yang dapat dikumpulkan semalam.


Terima kasih buat Cikgu Rozali yang memberikan keizinan untuk aku bersama dengan pelajar-pelajar bimbingannya. Menurutnya, akan ada perjumpaan kedua yang akan diberitahu kemudian. Diharapkan, hubungan baik ini akan berterusan dan dijadikan disiplin untuk memenuhi perkara berikut;

1. Sebagai tuntutan untuk ku mencari ilmu (belajar), menyebar ilmu (mengajar) dan mencintai ilmu.
2. Biarlah aku berjalan jauh dan menimba pengalaman sebanyaknya.
3. Memenuhi tanggungjawab kepada masyarakat.
4. serta berusaha untuk menjadi sebaik-baik manusia.


Selepas berakhir semalam, ada juga terdapat beberapa orang dari pelajar ini yang berada disekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang aku rasakan berpotensi untuk mereka dibimbing dan dilatih untuk menggerakkan usaha dakwah bersama untuk daerah ini. Semoga usaha ini diberkati Allah s.w.t.

No comments: