Usrah pada malam ini berjalan dengan baik alhamdulillah. Setibanya aku di rumah Cikgu Maarof, kami menunaikan solat berjemaah Maghrib bersama. Aku mengimami solat (yang mana semakin jarang aku buat) bersama ahli usrah yang lain. Selesai solat Maghrib berjemaah, kami bersama-sama membaca Ma'thurat (wazifah sughra saja). INILAH AMALAN KEROHANIAN YANG WAJIB DISUBURKAN DALAM DIRI SETIAP DA'I, tetapi itu hanya cakap kosong dan tidak terbuat.
Kehadiran aku ke usrah ini tidaklah kerap setiap minggu memandangkan kesibukan dan jauhnya kantor (pejabat) aku suatu ketika dahulu. Tetapi hari ini, dan berikutnya, InsyaAllah, ia akan memberikan ketetapan dan semangat untuk aku terus memperbaiki dan bersama dalam majlis dakwah yang baik ini. Selepas selesai Ma'thurat kami berbual-bual tentang isu semasa. Ruangan ini cukup menarik. SESI PEMBINAAN UKHUWAH antara setiap ahli usrah. Perbincangan yang tiada tajuk tetapi menyeluruh tentang isu-isu berhampiran sambil menunggu ketibaan waktu Isyak.
Kami menunaikan solat Isyak berjemaah disamping bilangan kehadiran ahli usrah juga bertambah. Kami mulakan dengan jamuan hidangan untuk jasmani. Yang rohani pembukanya, jasmani ditengahnya dan diakhir dengan pengisian keilmuan pula. Perbincangan merujuk kepada hadith ke lapan dalam buku hadith 40. Membincangkan tentang keselamatan dan hak orang yang mengucapkan syahadah serta tanggungjawab serta hukuman kepada mereka yang meninggalkan solat dan zakat.
Antara intisari perbincangan yang aku perolehi adalah;
(1) Niat itu hanya Allah yang Maha Mengetahui, kita tidaklah tahu walaupun kita merasakan bahawa kita tahu, sekalipun kita adalah orang yang paling rapat dengannya.
(2) Tidak boleh kita menimbulkan syak di dalam hati bahawa mereka itu jahat atau melakukan dosa melainkan benar-benar dapat disaksikan dengan terang -terangan.
(3) Dengan mengucapkan syahadah sahaja adalah cukup untuk diri setiap manusia itu tidak boleh diperangi. Sebagaimana kisah Usamah bin Zaid yang membunuh seorang kafir yang pada akhirnya apabila diangkat pedangnya, maka si pulan itu pun mengucapkan syahadah. Tetapi dipenggalnya juga hanya kerana Usamah merasakan bahawa dia itu tidak ikhlas. Maka Rasulullah amat marah sehinggakan memulaukan Usamah bin Zaid.
(4) 3 golongan yang halal darah mereka ialah; 1. Janda yang berkahwin yang melakukan zina; 2. membunuh orang lain dan; 3. meninggalkan jemaah Islam.
Kesimpulan yang aku perolehi dari perbincangan yang tamat pada jam 10.45 malam itu ialah;
(1) Setiap kejahilan mestilah dibetulkan agar ia tidak terus jahil. Walaupun apapun balasannya, maka mereka mesti diingatkan dan hidayah kita serahkan kepada Allah.
(2) Hakikatnya, Allah ciptakan manusia ini sebagai makhluk yang bersosial. Maka ia memerlukan perhubungan, interaksi dan komunikasi. Sebagai Da'I, dalam konteks bersosial, kita haruslah sentiasa mencari perhubungan yang terbaik dari sudut natijah. Asasnya adalah, terbuka minda, berlapang dada, sentiasa ingatkan kepada mereka bahawa Allah lah Yang Maha Esa, dan yakinlah bahawa semua manusia datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Maka fitrah mereka sama sahaja. Baik dari penglihatan, pendengaran juga getar hati, pastinya apabila mendengar hal berkaitan dengan kekuasaan Allah pasti akan teruja. Maka tiada perkara yang sempurna yang patut mereka dengar melainkan Islam.
TUNE-lah diri kita.
Comments